1MDB: Tommy Thomas, kerajaan mohon batal saman Najib

KUALA LUMPUR – Bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas dan kerajaan Malaysia telah mengemukakan permohonan untuk membatalkan saman Datuk Seri Najib Tun Razak selepas mendakwa tindakan bekas Perdana Menteri itu menyaman mereka adalah suatu serangan sampingan bagi menghalang prosiding kes jenayah terhadapnya.

Najib memfailkan saman pada 22 Oktober lepas berhubung dakwaan bahawa kedua-dua defendan (Thomas dan kerajaan) menyalahgunakan kuasa untuk mendakwanya dalam beberapa kes termasuk membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan menuntut ganti rugi lebih RM1.9 juta.

Thomas dan kerajaan, melalui notis yang difailkan semalam, antara lain mendakwa jika saman Najib diterus dan dibicarakan, ia akan menyebabkan kes jenayah yang sedang dibicarakan di Mahkamah Tinggi tergendala.

Afidavit sokongan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib yang difailkan bersama notis itu menyebut dalam apa keadaan pun, pendakwaan boleh mengemukakan keterangan dan bukti berkaitan salah laku serta salah guna proses dengan niat jahat oleh Najib dalam perbicaraan kes jenayah terhadapnya.

Ahmad Akram berkata mengikut Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan dan subseksyen 376(1) Kanun Tatacara Jenayah, Peguam Negara sebagai Pendakwa Raya mempunyai kuasa yang boleh dilaksanakan menurut budi bicara beliau untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi satu kesalahan jenayah.

Katanya, keputusan Pendakwa Raya sama ada untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding adalah berdasarkan fakta dan keterangan setiap kes dan pada setiap masa, Najib tidak terlibat dalam apa-apa proses membabitkan siasatan oleh agensi penguatkuasaan dan ia dibuat secara bebas.

Beliau berkata, tindakan Najib memfailkan saman adalah suatu percubaan untuk menghalang Pendakwa Raya daripada menjalankan tugasnya di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Kesemua ini jelas menjadikan tindakan plaintif suatu tindakan yang tidak boleh dipertahan di mahkamah dan plaintif gagal mengemukakan fakta serta butiran mencukupi mengenai tindakan salah laku dalam jawatan awam, penyalahgunaan proses dan kecuaian seperti didakwa.

“Kausa tindakan penyalahgunaan proses bukanlah suatu kausa tindakan yang diiktiraf oleh undang-undang. Oleh itu, tindakan plaintif adalah mengaibkan, remeh, menyusahkan dan suatu penyalahgunaan proses mahkamah,” katanya dalam afidavit sokongan itu.

Peguam Yudistra Darma Dorai, yang mewakili Najib, pula berkata semasa kes itu disebut di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Nurliana Ismail secara dalam talian hari ini, mahkamah menetapkan 19 Jan 2022 untuk pengurusan kes selanjutnya.

Dalam pernyataan tuntutan itu, Najib, 68, berkata, beliau didakwa di mahkamah membabitkan kes 1MDB, International Petroleum Investment Company (IPIC), salah guna kuasa di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM) dan pengubahan wang haram di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Beliau mendakwa, pertuduhan terhadapnya adalah sebahagian daripada perbuatan yang telah dirancang lebih awal oleh Thomas dan ia juga selaras dengan rancangan kerajaan Pakatan Harapan ketika itu.

Ahli Parlimen Pekan itu mendakwa pada 2015, Thomas telah bertemu dengan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membincangkan kesalahan dan salah urus yang kononnya dilakukan kepada dana 1MDB dan turut menasihati Dr Mahathir supaya mengambil tindakan sivil dan jenayah terhadap Najib berhubung penglibatannya dalam 1MDB.

Najib menuntut secara bersama dan berasingan daripada Thomas dan kerajaan satu pengisytiharan bahawa Thomas telah melakukan misfeasans dalam jawatan awam dan menuntut kerugian berjumlah lebih RM1.9 juta termasuk bayaran rundingan untuk pasukan audit melakukan semakan dokumentasi bagi penyediaan fakta untuk menangani pendakwaan terhadapnya. – Bernama

1MDB: Tommy Thomas, kerajaan mohon batal saman Najib


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Walaupun layak mengikut undang-undang, Najib umumkan tolak tawaran kerajaan [VIDEO]

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker