PKR wajib singkirkan DAP, Amanah kerana khianati Anwar’

image placeholder

Adun Sungai Acheh dari PKR, Zulkifli Ibrahim berkata tindakan Amanah dan DAP menolak pencalonan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri merupakan suatu pengkhianatan kepada parti itu.

Dalam satu kenyataan di Facebook, Zulkifli yang dispekulasi akan meninggalkan PKR, menggesa parti itu agar keluar dari kerajaan negeri Pulau Pinang yang dipimpin DAP.

Malah beliau turut menggesa Adun Amanah dan DAP disingkirkan dari kerajaan Selangor dan Negeri Sembilan setelah kedua-dua parti itu  ‘mengkhianati’ Anwar Ibrahim.

“Sebagai sebuah parti yang berprinsip, Keadilan (PKR) harus ambil pendirian tegas dan mengecam komponen PH yang seolah-oleh seperti kacang lupakan kulit.

“Saya berpandangan, atas dasar prinsip dan idealisme perjuangan, wajiblah Keadilan di Pulau Pinang untuk segera ambil ketetapan dengan keluar dan menarik sokongan ke atas Kerajaan Negeri Pulau Pinang kerana keengganan DAP dan Amanah untuk mengangkat Presiden Keadilan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri.

“Bukan itu sahaja di Selangor dan N.Sembilan PKR harus keluarkan Adun DAP dan Amanah dari kerajaan Negeri kerana ia mengkhianati matlamat PKR untuk menjadikan Datuk Seri Anwar Ibrahim (sebagai PM),” jelasnya.

Terdahulu, Zulkifli hari ini mengesahkan beliau dan Adun dari Umno, PAS dan Bersatu mengadakan pertemuan dengan Adun Seberang Jaya, Afif Bahardin,

Afif merupakan sekutu kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Azmin Ali.

Bagaimanapun, Zulkifli enggan mengulas lanjut mengenai pertemuan itu.

Afif sebelum ini digantung dari PKR kerana didakwa melobi wakil rakyat dari parti itu untuk keluar parti dan menyertai Perikatan Nasional (PN).

PKR berbalah dengan Amanah dan DAP selepas dua parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu menyokong Pengerusi Bersatu yang dipertikaikan, Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri bagi mengambil alih semula kuasa di peringkat kerajaan persekutuan.

Pimpinan Amanah dan DAP berkata, ketika mereka menyokong Anwar sebagai perdana menteri, presiden PKR itu gagal mengumpulkan jumlah yang diperlukan untuk mengambil alih kerajaan, justeru memilih Mahathir sebagai pengganti.

Ketika Anwar berusaha mendapatkan sokongan yang mencukupi bagi membentuk majoriti sokongan di parlimen, partinya terus menyaksikan tindakan keluar parti di kalangan beberapa pimpinannya.

Dalam satu catatan berasingan di Facebook, Zuklifli turut meluahkan rasa kecewa selepas gambar pertemuan dengan Anwar pada 3 Jun lalu disebarkan di media sosial.

“Pertemuan tersebut sepatutnya pertemuan tertutup. Saya luah semuanya dan Datuk Seri Anwar gagal menjelaskan hampir semua persoalan dibangkitkan. Dia cuma mampu kata semua dibangkitkan perkara kecil. Jangan kecil hati, sebaliknya dia cuba menyakinkan perubahan kerajaan akan berlaku dan dia bakal menjadi perdana menteri.

“Selepas pertemuan ternyata Datuk Seri Anwar bukanlah ahli politik “gentleman”,” katanya dalam catatan Facebook pada 6 Jun.

Beliau berkata langkah itu bertujuan membuat dirinya dilihat seolah-olah sedang melakukan pusingan-U.

“Untuk pengetahuan, sebelum pertemuan itu saya dimaklumkan telah dinamakan untuk duduk di dalam Lembaga Pertubuhan Peladang, di mana kedudukan ini amat strategik untuk saya membantu masyarakat petani peladang di negara ini termasuk di Seberang Perai Selatan khususnya di Dun Sg Acheh yang ramai terlibat dalam bidang pertanian,” katanya.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker