Minggu Saham Digital 2021 platform terbaik Keluarga Malaysia – Ismail

Minggu Saham Digital 2021 platform terbaik Keluarga Malaysia – Ismail

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggalakkan masyarakat Malaysia supaya menyertai Minggu Saham Digital 2021 yang berlangsung bermula semalam sehingga 23 November 2021.

Beliau menyifatkan Minggu Saham Digital 2021 yang dianjurkan oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) akan meningkatkan lagi kefahaman masyarakat tentang pengurusan kewangan, sebagai usaha membantu rakyat meraih semula pendapatan yang hilang kerana pandemik.

“Pada saat negara berhempas pulas menguruskan impak pandemik Covid-19, PNB telah meneruskan agenda literasi kewangannya, malah, ditambah baik agar lebih ramai Keluarga Malaysia dapat terlibat sama.

“Pada hemat saya, ini adalah platform terbaik bagi Keluarga Malaysia untuk sama-sama mempelajari tips mengurus kewangan, menabung dan melabur dalam suasana santai dan selesa bersama keluarga,” katanya ketika pelancaran Minggu Saham Digital 2021 secara maya semalam.

Melangkah ke hadapan, katanya, beliau turut menyeru sektor awam dan swasta bekerjasama agar melengkapi antara satu sama lain, dalam usaha menyemarakkan pendigitalisasi perkhidmatan dan penyampaian kepada rakyat.

“Insya-Allah,dengan kolaborasi seperti ini, kita akan melangkah ke ekonomi digital dengan yakin dan cukup bersedia. Tahniah kepada PNB kerana bukan sahaja menyemarakkan agenda digitalisasi negara malah secara tidak langsung menambah baik kaedah penyampaian dan pendekatan kepada rakyat,” katanya.

Menerusi Minggu Saham Digital 2021 juga, Ismail Sabri menjangkakan PNB akan terus relevan dan lestari dalam mendukung mandat untuk meningkatkan kekayaan masyarakat Bumiputera dan negara secara keseluruhan.

“Harapan saya semoga usaha ini menjadi tarikan kepada pengunjung dalam talian khususnya golongan belia dan remaja dalam suasana harmoni Keluarga Malaysia yang kita cintai.

“Saya menyeru agar Keluarga Malaysia sama-sama menjayakan hasrat murni ini untuk membangunkan masyarakat celik pelaburan dan celik digital dengan menyokong Minggu Saham Digital 2021,” katanya.

Dilancarkan secara rasmi oleh Pengerusi Kumpulan PNB, Tun Arifin Zakaria semalam, Minggu Saham Digital 2021 diadakan buat kali kedua berikutan sambutan menggalakkan yang diterima pada tahun lalu apabila berjaya meraih lebih dua juta tontonan secara maya.

Minggu Saham Digital merupakan adaptasi digital Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) yang telah dianjurkan secara fizikal selama dua dekad semenjak tahun 2000 hingga 2019 namun kini dapat diakses khalayak ramai di mana jua mereka berada.

Minggu Saham Digital akan disiarkan secara langsung setiap hari melalui laman rasmi Facebook dan YouTube dari 17 hingga 23 November 2021, mulai 12.30 tengah hari hingga 10.00 malam yang menampilkan lebih 70 program hibur didik, bual bicara dan webinar oleh pakar bidang khusus, personaliti dan selebriti. Utusan


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU

Myvi 2022, ini 9 ciri menarik pada model kali ini

Lawak ‘Terlampau’ – Puteh mohon maaf kepada Najib

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker