PNB lancar ASN Equity Global, labur saham luar negara

PNB lancar ASN Equity Global, labur saham luar negara

Permodalan Nasional Bhd (PNB) terus mengembangkan usaha pelaburan dalam pasaran saham luar negara menerusi pelancaran rasmi ASN Equity Global iaitu dana global kedua pengurus dana itu selepas ASN Imbang 3 yang diperkenalkan pada November tahun lalu.

Namun begitu, ASB Equity Global adalah dana ASNB pertama yang memfokuskan sepenuhnya kepada saham antarabangsa, sekali gus yang menawarkan peluang kepada semua warga Malaysia untuk mempelbagaikan pelaburan mereka dalam pasaran luar negara.



Sejak dibuka langganan pada 1 September lalu, ASN Equity Global iaitu satu lagi dana saham harga berubah kumpulan itu, sudah dilanggan sebanyak RM740 juta.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, pada Minggu Saham Digital (MSD) tahun lalu, PNB telah melancarkan dana global pertamanya, ASN Imbang 3 yang mana menerima sambutan positif daripada pelabur apabila dua bilion unit telah dilanggan.

Katanya, sehubungan itu pihaknya berpendapat sudah sampai masa untuk melancarkan dana global kedua susulan sambutan memberangsangkan yang diterima daripada ASN Imbang 3.

“ASN Equity Global adalah usaha ASNB untuk memperkenalkan konsep pelaburan kontemporari yang menepati cita rasa pelabur yang ingin mendapatkan pulangan menerusi pasaran ekuiti global. Dana ini akan banyak menumpukan kepada ekuiti awam global dengan ia akan dilaburkan di lebih 50 pasaran saham global utama.



“Pelaburan dalam dana ini juga sesuai bagi pelabur yang mempunyai tahap risiko tinggi dan menginginkan pulangan yang lebih besar dalam jangka masa panjang.”

“Setakat hari ini, lebih 740 juta unit telah dilanggan membabitkan lebih 14,000 pelabur sejak ASN Equity Global mula ditawarkan pada 1 September yang lalu, yang mana ia adalah permulaan yang menggalakkan buat dana ini” katanya pada sidang media selepas pelancaran MSD 2021 dan dana ASN Equity Global secara maya hari ini.

Majlis pelancaran dana terbaharu ASNB itu telah disempurnakan oleh Pengerusi Kumpulan PNB, Tun Arifin Zakaria.

Sempena penganjuran MSD 2021 yang bermula dari 17 hingga 23 November 2021, ASNB menawarkan caj jualan percuma untuk semua pelaburan melebihi RM1,000 dalam dana-dana harga berubah melalui portal dan aplikasi myASNB.



Pelabur yang berminat boleh mendapatkan khidmat nasihat berkaitan pelaburan ASN Equity Global dan dana harga berubah lain daripada pegawai kewangan bertauliah di 32 pejabat cawangan ASNB dan lebih 2,700 cawangan ejennya.

Ini termasuk maklumat mengenai keseluruhan portfolio pelaburan yang disediakan dan panduan bagaimana mengenal pasti jenis dana yang sesuai mengikut tahap toleransi risiko masing-masing. Maklumat lanjut mengenai produk ASN Equity Global juga boleh didapati di laman web ASNB di www.asnb.com.my.

PNB lancar ASN Equity Global, labur saham luar negara



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker