Kita dah pagar calon BN dengan ‘pagar rusa’ – Tok Mat

Sebaran :

Kita dah pagar calon BN dengan ‘pagar rusa’ – Tok Mat

Calon Barisan Nasional perlu membayar jutaan ringgit, jika calon yang menang dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka itu melompat parti, kata Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan.

Beliau yang juga Pengarah PRN Melaka berkata, had siling maksimum denda yang ditetapkan oleh parti itu mampu “memagar” calon BN daripada mengulangi aksi lompat parti yang menyebabkan kerajaan negeri Melaka pimpinan Umno jatuh.

“BN dah pagar elok-elok. Sebab bukan sikit dia kena bayar, banyak juta dia kena bayar. Ini pagar rusa, bukan pagar itik yang kalau dia langgar melantun balik. Tak tahulah kalau dia kebal, langgar pagar elektrik (boleh lepas).



“Saya tak nak cakap berapa (juta) tetapi terpulang kepada mahkamah untuk tentukan tetapi kita dah tetapkan satu jumlah yang banyak, yang memang dia tak payah fikir banyak lagi sebab tak mampu nak bayar melainkan ada orang kaya nak beli dia macam Bill Gates ke nak suruh masuk parti dia,” katanya dalam program bual bicara secara maya sempena kempen PRN Melaka.

Mohamad berkata, sekiranya BN kembali berjaya menakluk Melaka, parti itu akan membawa usul untuk meminda Undang-Undang Tubuh Negeri Melaka dengan memperkenalkan Enakmen Anti Lompat Parti.

Walaupun mengakui perkara itu sukar dilaksanakan kerana bertentangan dengan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai hak asasi manusia untuk memilih, beliau secara sinis berkata cadangan itu pasti mendapat sokongan pembangkang terutama Pakatan Harapan yang sebelum ini tegas membantah aktiviti lompat parti.

“Saya yakin parti pembangkang terutama Pakatan Harapan takkan membantah, kalau dia bantah akan makan diri.



“Tetapi sekarang ada pula satu perumpamaan apa yang dipanggil katak berprinsip, tak tahulah saya siapa ibu katak siapa anak katak janji mereka bahagia,” katanya.

Jelasnya lagi, menerusi pindaan Enakmen Akta Lompat Parti di Melaka, pengundi di Dewan Undangan Negeri terbabit boleh melakukan petisyen atau bantahan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya supaya pilihan raya diadakan semula.

“Jika (calon) lompat parti, pengundi di DUN itu boleh buat petisyen di SPR, dan SPR boleh memungut referendum (pungutan suara) daripada rakyat jika didapati hampir 50% rakyat mahukan pilihan raya semula, maka adakan semula,” katanya.

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim sebelum ini mempertahankan tindakan PH menerima dua bekas ADUN Umno, Idris Haron dan Nor Azman yang terbabit menjatuhkan kerajaan Melaka dengan menggelar mereka sebagai katak berprinsip.



PH menamanakan Idris sebagai calon PKR di Asahan, manakala Nor Azman sebagai calon Amanah di Pantai Kundor. FMT

Kita dah pagar calon BN dengan ‘pagar rusa’ – Tok Mat


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU

Myvi 2022, ini 9 ciri menarik pada model kali ini

Lawak ‘Terlampau’ – Puteh mohon maaf kepada Najib


Sebaran :

Leave a Reply