Hawk terhempas: Mejar Mohd Fareez selamat jalani pembedahan

Sebaran :

Hawk terhempas: Mejar Mohd Fareez selamat jalani pembedahan

Juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Mejar Mohd Fareez Omar yang cedera dalam nahas pesawat Hawk 108 terhempas di Pangkalan Udara Butterworth, Selasa lepas selamat menjalani pembedahan malam tadi.

Bapa Mohd Fareez, Omar Deros, 62, berkata, anaknya menjalani pembedahan akibat kecederaan di bahagian pinggang dan tulang belakang bermula 7.30 malam di Hospital Seberang Jaya (HSJ) dan selesai empat jam kemudian.

“Alhamdulillah, Fareez (Mohd Fareez) selamat menjalani pembedahan malam tadi dan menurut pihak TUDM, sekarang ini dia ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSJ untuk pemerhatian rapi pasukan doktor.



“Tengah hari semalam saya berpeluang berjumpa Fareez di ICU dan dia dalam keadaan stabil namun masih lemah. Kami sempat berbual dan dia maklumkan sakit di bahagian pinggang dan belakang namun dia okey,” katanya yang dihubungi Bernama hari ini.

Omar yang juga pesara tentera berpangkat Mejar berkata mereka sekeluarga bersyukur pembedahan Mohd Fareez yang merupakan anak kedua daripada lima beradik itu berjalan lancar.

Beliau berharap Mohd Fareez, 33, yang berkhidmat di Pangkalan Udara Butterworth kembali sihat dan bertugas semula kerana anaknya itu sememangnya bercita-cita menjadi juruterbang TUDM sejak kecil.

“Kami sekeluarga terima kejadian ini sebagai ujian namun dalam masa sama bersyukur kerana keadaan Fareez stabil dan selamat dalam pembedahan. Saya dan isterinya hari ini berharap dapat tengok dia di hospital bagi melihat keadaan selepas pembedahan,” katanya.



Omar yang tinggal di Selangor berkata beliau akan berada di rumah Mohd Fareez di kuarters TUDM di sini sehingga anaknya sihat dan dibenarkan pulang ke rumah selain membantu isteri Mohd Fareez menjaga dua anak mereka.

Ditanya sama ada Mohd Fareez telah mengetahui tentang Allahyarham Kapten Mohamad Affendi Bustamy, 31, yang terkorban dalam kejadian itu, Omar berkata, beliau langsung tidak berbual mengenainya ketika berjumpa dengan anaknya semalam.

“Setakat ini kami memang tidak maklumkan kerana dia masih dalam keadaan sakit, mungkin tunggu dia sihat sedikit baru kita beritahu Fareez kerana bimbang kesihatannya,” katanya.

Dalam kejadian pada 10.07 malam itu, kedua-dua juruterbang berkenaan sedang menjalani latihan penerbangan di kawasan landasan Pangkalan Udara Butterwoth. MG



Hawk terhempas: Mejar Mohd Fareez selamat jalani pembedahan


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU

Myvi 2022, ini 9 ciri menarik pada model kali ini

Lawak ‘Terlampau’ – Puteh mohon maaf kepada Najib


Sebaran :

Leave a Reply