Pakar kesihatan bingung kerajaan guna ordinan darurat dapatkan kerjasama hospital swasta

Pakar berkata, pemegang taruh penjagaan kesihatan swasta, terutama hospital, berusaha mendapatkan kerangka kerjasama awam-swasta sejak awal 2020. (Gambar Freepik)

PETALING JAYA: Keputusan kerajaan untuk menggunakan ordinan darurat bagi memanfaatkan aset kesihatan swasta dalam memerangi wabak Covid-19 membingungkan kumpulan perubatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial Azrul Mohd Khalib berkata, berdasarkan ucapan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada Selasa, perisytiharan darurat turut membabitkan penggunaan sumber sektor swasta.

Beliau berkata, ini mungkin bermakna beberapa hospital swasta dan fasiliti perubatan diminta untuk meningkatkan kapasiti sektor kesihatan awam untuk rawatan intensif, katil dan kakitangan khusus.

Katanya, sektor itu sentiasa bersedia membantu memerangi pandemik tersebut dan kerajaan tidak perlu menggunakan peraturan darurat.

Azrul Mohd Khalib.

Namun beliau memberitahu FMT bahawa pemegang taruh penjagaan kesihatan swasta, terutama hospital, telah berusaha mendapatkan kerangka kerja awam-swasta dalam bentuk kerjasama dan dana membabitkan pesakit Covid-19 dan bukan Covid-19 sejak awal 2020 lagi.

“Namun kemajuan dalam isu ini agat terbatas. Keputusan terbaru merupakan sesuatu yang mengejutkan kerana kerajaan nampaknya mahu menggunakan undang-undang darurat untuk mendapatkan sesuatu yang ditawarkan secara sukarela,” katanya.

Bekas timbalan menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata, adalah “tidak masuk akal” untuk mengisytiharkan darurat hanya kerana mahu melibatkan sektor swasta dalam perang melawan Covid-19.

Beliau memberitahu FMT, perdana menteri hanya perlu bertemu dengan pemilik hospital dan fasiliti swasta untuk membincangkan bagaimana mereka boleh membantu.

Bekas menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye.

“Secara mudahnya 70% hospital swasta dimiliki syarikat berkaitan kerajaan (GLC),” tambahnya.

Muhyiddin mengadakan pertemuan dengan pegawai Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) di Putrajaya selepas beliau memberi ucapan menyusuli pengisytiharan darurat di seluruh negara, dan ketika itu berkata, kerajaan menimbangkan untuk menggunakan aset penjagaan kesihatan swasta dalam memerangi Covid-19.

APHM menolak khabar angin bahawa sektor itu dimilik negara dengan berkata, Muhyiddin mahu hospital swasta membantu berdasarkan kemampuan mereka dari segi prasarana, tenaga kerja dan sumber lain.

Sementara itu Azrul berkata, kuasa darurat tidak bermakna apa-apa sehingga orang ramai menerima hakikat bahawa mereka memainkan peranan penting dalam mencegah virus itu daripada merebak.

Katanya, kunci untuk mengurangkan jangkitan adalah dengan mematuhi SOP, sambil menekankan bahawa rakyat perlu menjaga diri mereka sendiri dan individu di sekeliling mereka, hatta di luar pengawasan pihak berkuasa.

“Kita perlu bertanggungjawab dan tidak hanya melakukannya kerana takutkan hukuman atau denda.”

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker