Punca harga tiket tinggi kerana had kapasiti penerbangan

Punca harga tiket tinggi kerana had kapasiti penerbangan

Kementerian Pengangkutan mengulangi persoalan yang dibangkitkan pembangkang berhubung harga tiket penerbangan dari Sabah dan Sarawak ke Semenanjung yang agak tinggi.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, harga tiket itu ditentukan dengan menggunakan kaedah dinamik yang antaranya mengambil kira kadar penawaran dan permintaan yang didorong oleh pasaran.

Tegas beliau, harga tiket yang tinggi bagi penerbangan antara Semenanjung dan Sarawak antara lain merupakan kesan daripada pelaksanaan had kapasiti penerbangan oleh kerajaan negeri dalam usaha menangani penularan wabak Covid-19.

Katanya, sesi libat urus dengan syarikat penerbangan Malaysia Airlines Berhad (MAB), AirAsia dan Malindo Air telahpun diadakan pada 3 November lalu, bagi membincangkan isu berkaitan kenaikan harga tiket penerbangan khususnya ke Sarawak.

“Berdasarkan sesi libat urus itu, syarikat penerbangan telah disaran untuk memastikan harga tambang yang dikenakan adalah kompetitif. Pada masa sama, orang ramai juga disaran membuat perancangan dengan membeli tiket lebih awal bagi mendapatkan tawaran harga murah berbanding pembelian di saat akhir.

“Harga tiket penerbangan bagi laluan ke Sarawak pula dijangka kembali ke paras purata apabila jumlah kekerapan penerbangan beroperasi seperti biasa. Malah, kerajaan negeri ini wajar mempertimbangkan untuk mempermudahkan protokol kesihatan bagi kemasukan penumpang ke Sarawak.

“Perkara ini juga perlu disokong oleh peningkatan keyakinan penumpang untuk terbang di fasa endemik,” katanya menggulung perbahasan RUU Perbekalan 2022 di Parlimen, hari ini.

Berhubung cadangan pemberian subsidi tiket penerbangan, Ka Siong menjelaskan, sejak Oktober 2018, MAB telah pun memperkenalkan portal web MHexplorer yang menyasarkan pelajar universiti berumur antara 18 hingga 26 tahun untuk menggunakan perkhidmatan penerbangan itu.

Kata beliau, antara keistimewaan ditawarkan ialah pengurangan tambang penerbangan sehingga 20 peratus daripada tambang penerbangan biasa, selain elaun bagasi tambahan sebanyak 10 kilogram.

“Ini termasuk perubahan tarikh penerbangan percuma, mata ganjaran Enrich untuk program pelajar, diskaun khas untuk hotel terpilih dan tambang teksi melalui ejen yang dilantik oleh MAB.

“Sejak 31 Julai 2019, program MHexplorer juga telah diperluaskan kepada pelajar berusia antara 13 hingga 26 tahun serta guru dan ahli akademik yang berusia sehingga 60 tahun yang masih aktif bekerja di sekolah dan institut pendidikan tinggi,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ka Siong turut menjawab persoalan yang dibangkitkan Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd. Kadir mengenai perjawatan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), beliau berkata,

Jumlah keseluruhan perjawatan JPJ semasa adalah 8,793 dan peratusan pengisian sebanyak 92.02 peratus.

Katanya, daripada jumlah perjawatan itu, sebanyak 289 adalah jawatan sementara bertempoh sehingga 31 Disember 2022.

“Berdasarkan perbincangan dengan JPJ, 289 jawatan sementara itu akan dipohon untuk diberi status tetap mengambil kira keperluan JPJ Mobile, pengoperasian UTC, pertambahan kenderaan, pertambahan institut pemandu yang memerlukan penguatkuasaan yang komprehensif dan penguatkuasaan ke atas Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

“Pertambahan jawatan ini juga perlu bagi memastikan sasaran kutipan hasil tercapai dan pada masa ini, jumlah anggota yang menjalankan fungsi penguatkuasaan adalah mencukupi.

“Sekiranya jawatan sementara itu diberi status tetap, maka aktiviti penguatkuasaan peraturan jalan raya juga dilaksanakan sepenuhnya oleh polis di seluruh negara,” katanya. MG

Punca harga tiket tinggi kerana had kapasiti penerbangan


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU

Gangguan seksual berleluasa dalam industri hiburan

Mawar Rashid dilabel materialistik

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker