Dakwaan kerajaan negeri bertukar, PN guna modal kitar semula

Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail menolak dakwaan PN bahawa kemenangan mereka di Pelangai boleh mencetuskan perubahan kerajaan negeri.

Dakwaan itu dibuat Pengerusi PN Muhyiddn Yassin semalam yang menyatakan ia boleh berlaku dengan Adun kerajaan melompat parti.

Wan Rosdy menyifatkan dakwaan itu dibuat bagi mencetuskan kekeliruan dan menakut-nakutkan pengundi menjelang hari mengundi Sabtu ini.



Pengerusi BN Pahang itu berkata kesemua 15 Adun BN di negeri itu telah mengeluarkan kenyataan bagi memaklumkan mereka teguh bersama kepimpinannya, susulan spekulasi tersebut.

“Ini satu lagi bukti jelas mereka suka mainkan sentimen dan (isu) sensasi untuk bimbangkan rakyat (ada kemungkinan) berlakunya perubahan kerajaan negeri.

“Sebagai ahli politik, kita seharusnya berhujah tentang dasar dan prestasi, bukan mewujudkan sentimen. Ini tidak sepatutnya dinyatakan oleh seorang pemimpin.

“Untuk kata ada Adun BN akan lompat parti, sedangkan ia tak berlaku. Mereka buat cerita dan bila rakyat dengar, (jadi) bimbang. Ini sesuatu yang tak sihat,” katanya ketika ditemui pemberita di program kempen di Pelangai, hari ini.



Wan Rosdy yakin dakwaan itu tidak akan menjejaskan undi untuk BN nanti.

Mengulas langkah PN mendapatkan bantuan sejumlah NGO Melayu untuk membawa pengundi luar untuk pulang mengundi, Wan Rosdy berkata BN juga telah menggerakkan usahanya.

“Kita pun gerakkan NGO – Melayu dan bukan Melayu. Mereka (melibatkan) NGO Melayu sahaja,” katanya lagi.

Ketika sesi dialog bersama beberapa NGO mesra PN semalam, Muhyiddin berkata PN mampu mengambil alih pentadbiran Pahang jika menang dalam PRK Pelangai, menerusi penyertaan daripada Adun kerajaan.



Jika menang, kata Muhyiddin, PN hanya memerlukan empat lagi kerusi untuk meraih majoriti di DUN.

“Mungkin nanti ada YB Umno sedar kesilapan dan ingin masuk jemaah kita. (Jika ia berlaku) Insya-Allah (Timbalan Presiden PAS) Tuan Ibrahim (Tuan Man) bakal menteri besar Pahang,” katanya lagi.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker