PRN Melaka: Faktor calon jadi penentu

SHAH ALAM – Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO dan Pakatan Harapan (PH) mempunyai kelebihan dan peluang yang seimbang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar berkata, ia berikutan perubahan landskap politik negara selepas Langkah Sheraton dan pandemik Covid-19 yang secara tidak langsung melakar pola perubahan dalam psikologi para pengundi.

Tambahnya, faktor itu juga menyebabkan peluang kepada semua parti seakan-akan seimbang untuk mereka bersaing mendapatkan kepercayaan pengundi dalam PRN Melaka kali ini.



“Peratusan keluar mengundi yang disasarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebanyak 70 peratus bagi kami adalah agak rendah dan PH semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) catat kemenangan kerana peratusan keluar mengundi yang tinggi iaitu 88 peratus ke atas.

“Jadi kalaulah peratusan itu rendah di bawah 88 peratus peluang untuk PH mempertahankan prestasi mereka itu agak sukar,” katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas lanjut, beliau berkata, faktor calon lebih dominan berbanding parti dengan 43 peratus berdasarkan prakajian pilihan raya bermula dari 23 Oktober hingga 30 Oktober lalu.

“Dalam PRN Melaka, kami mendapati nampak gayanya konsiderasi pengundi terhadap calon itu sudah meningkat sehingga 43 peratus. Bagi kami angka ini sangat signifikan untuk dilihat dalam pilihan raya kali ini,” jelasnya.



Sementara itu, Ketua Penyelidik O2 Research Malaysia, Anis Anwar berpendapat, PRN Melaka akan menjadi medan bagi menguji strategi setiap parti sama ada BN, PN atau PH sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Anis Anwar
Anis Anwar

Menurutnya, pertembungan tiga penjuru bukan pertama kali berlaku di Melaka, namun selama ini BN secara demokrasi dipilih oleh majoriti rakyat Melaka dan kemudian berlaku perubahan pada PRU14.

Jelas Anis, maka PRN Melaka kali ini membolehkan berlakunya pemerhatian sama ada arus sokongan PRU14 lalu telah reda dan kembali menyokong BN atau masih sama seperti dahulu.

“Dalam konteks hari ini, BN memiliki kelebihan sebagai kerajaan sementara iaitu mereka memegang kunci kestabilan kepada kerajaan negeri,” jelas beliau.



 


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Bekas YB ‘Juara Penambak Babi’ yakin menang walaupun bertanding bebas



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker