Kenali syaitan bernama Khinzib
Kenali syaitan bernama Khinzib
Bagi yang pernah mengalaminya, terasa penat dan perit apabila terpaksa berulang alik dari tandas berkali-kali terutama saat azan berkumandang. Ramai yang memandang pelik, namun dia waswas sama ada wuduknya sah atau tidak disebabkan terasa seperti angin keluar daripada dubur seumpama kentut.
Itu satu senario yang berlaku dalam masyarakat. Belum lagi senario orang mengangkat takbir berulang-ulang kali sehingga ada kalanya perbuatannya itu mengganggu pula orang lain. Apabila ditanya, jawapannya, tidak pasti sama ada sudah niat atau belum. Maka diulang lagi. Aduhai seksa melihat keadaannya.
Pun begitu dikhuatiri, simptom waswas yang menguasai diri dibimbangkan menyebabkan ada yang mengambil tindakan untuk tidak melaksanakan ibadat yang difardukan. Hal ini mungkin disebabkan ‘penat’ dengan mainan hati dan bisikan yang meragukan atau malu apabila ditempelak oleh rakan-rakan ekoran sikapnya yang terlalu ‘berhati-hati’ itu.
Secara umumnya, waswas dalam ibadah ialah perasaan ragu-ragu atau syak dalam hati kita. Ia adalah perkara yang didatangi oleh bisikan atau hasutan syaitan. Bisikan atau hasutan syaitan ini, membuat kita lalai dan leka dalam menunaikan ibadah kita.
Kerana itu Allah sering mengingatkan manusia agar tidak terjebak dengan permainan syaitan melalui firman-Nya,
“Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku berlindung kepada (Allah) Pemelihara sekalian manusia, yang menguasai sekalian manusia, Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia, daripada kejahatan pembisik (syaitan), penghasut yang timbul tenggelam, yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia, (iaitu pembisik dan penghasut) daripada kalangan jin dan manusia.” – Surah an-Nas: 1-6
Apa pun tidak dinafikan, manusia tidak terlepas daripada sifatnya yang lemah. Contoh dalam firman Allah dalam surah an-Nisa: 28, “Allah (juga) hendak memberikan keringanan kepadamu kerana manusia diciptakan (bersifat) lemah.”
Membicarakan soal waswas dalam ibadah, Pensyarah Kanan, Jabatan Dakwah dan Kepimpinan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Abu Darda Mohamad berkata, perkara melibatkan keyakinan tidak boleh dihapuskan atau dilepaskan kerana syak (waswas). Banyak perkara di dalam ibadah yang terganggu oleh perasaan waswas. Antara ibadah yang paling jelas dibayangi waswas ialah wuduk dan solat.
Kebiasaannya, waswas di dalam solat melibatkan bilangan rakaat atau ragu-ragu tentang bacaan dalam solat. Umpamanya, waswas sama ada sudah membaca Al-Fatihah atau tidak. Justeru, apabila ia melibatkan ragu-ragu dan waswas, hukumnya berdosa sekiranya mengulangi bacaan surah Al-Fatihah. Ini kerana apa yang berlaku dalam ibadah tadi, ia hanya berasa waswas. Dan waswas adalah hasutan atau mainan syaitan. Andai kata ia melayan perasaan itu, ini bermakna dia melayan hasutan syaitan.
Bila semua perkara itu ‘mati’
Waswas dalam ibadah ini, jelas Abu Darda lagi ibarat duri dalam daging kerana ia melibatkan perkara yang kurang menyenangkan semasa melakukan sesuatu. Sudah menjadi fitrah manusia mempunyai hawa nafsu. Pun begitu, wajib untuk kita mengawal hawa nafsu tersebut dengan akal yang waras dan ilmu yang mampan.
Andai hawa nafsu tidak mampu dilawan, bagaimana mampu berdepan dengan hasutan syaitan. Ini membuatkan kita tidak khusyuk melakukan ibadah. Apatah lagi ibadah itu berkait dengan penyembahan kepada Allah, firman-Nya dalam surah al-Araaf: 16-17,
“Iblis menjawab: sebab Engkau telah menghukum aku dengan sesat, aku akan menghalangi mereka daripada jalan-Mu yang lurus. Kemudian aku akan mendatangi mereka daripada depan dan belakang mereka daripada kanan dan kiri mereka. Engkau tak akan mendapati kebanyakan daripada mereka bersyukur (taat).”
Berbalik kepada persoalan waswas, jika ia dilayan akan menyebabkan sesuatu yang diyakini menjadi ‘mati’. Yakni mematikan langkah kita untuk mengabdikan diri kita kepada Allah. Namun begitu, mematikan tidak bermaksud membatalkan sesuatu ibadah tetapi pemikiran kita berasa terganggu terhadap perbuatan itu.
Perkara sedemikian inilah membuat kita kurang selesa dengan ibadah yang dilakukan. Bagi mengelakkan keadaan seperti ini berlaku, Abu Darda Mohamad mengemukakan beberapa kaedah menghindari daripada sifat waswas.
Antaranya, berusaha melawan hasutan syaitan. Memang diakui segala perbuatan dalam ibadah kita sudah diyakini, seperti bilangan rakat dalam solat. Setiap Muslim sudah mengetahui dan yakin bahawa Zohor adalah empat rakat, dan Subuh dua rakat serta lain-lain. Jadi, jika merasa waswas ketika melaksanakan ibadah itu, sepatutnya ia tidak perlu dilayan.
Sabda Nabi s.a.w. “Jika seseorang daripada kamu syak dalam sembahyangnya, lalu dia tidak tahu berapa rakaat telah dilakukannya, adakah tiga atau empat, maka buanglah syak dan peganglah apa yang diyakini (buatlah jumlah rakaat yang diyakini). Kemudian sujudlah dua kali sujud sebelum memberi salam. Jika dia telah melakukan lima rakaat, maka ia (kedua sujud dan duduk antaranya) menggenapkan sembahyangnya. Jika dia telah melakukan sempurna empat rakaat, kedua sujud itu sebagai satu tanda kehinaan bagi syaitan.” HR Muslim
Apa pun perasaan waswas bukan sahaja dialami oleh manusia biasa bahkan sahabat Nabi s.a.w juga pernah mengalaminya. Hal ini pernah diadukan oleh seorang sahabat bernama Utsman bin Abil ‘Ash yang telah datang kepada Rasulullah s.a.w. seraya berkata,
“Wahai Rasulullah sesungguhnya syaitan telah hadir dalam solatku dan membuat bacaanku terganggu.”
Rasulullah menjawab, “Itulah syaitan yang disebut dengan ‘Khinzib’. Apabila kamu merasakan kehadirannya, maka meludahlah ke kiri tiga kali dan berlindunglah kepada Allah. Aku pun melakukan hal itu, dan Allah menghilangkan gangguan itu daripadaku.” HR Muslim.
Waswas Ketika Wuduk
Manakala dalam bab wuduk batal atau sebaliknya, ada hadis mengenainya, Abdullah b. Zayd b. Asim telah mempersoalkan kepada Rasulullah s.a.w. bahawa seseorang boleh merasakan dia telah terkentut ketika di dalam solatnya. Berkenaan ini Rasulullah s.a.w. berkata,
“Janganlah berganjak daripada tempat kamu kecuali kamu dengar atau bau sesuatu (keluar kentut).” – HR Bukhari dan Muslim
Apa yang perlu dilakukan seterusnya ialah lazimkan mengucap lafaz isti’azah atau ‘Audzubillahi minasy-Syaitanirrajim’ (Aku berlindung kepada Allah dari godaan syaitan yang terkutuk). Biasanya bacaan ini dilakukan sebelum memulakan sesuatu ibadah. Lebih afdal lagi, sebelum menunaikan sesuatu ibadah yang difardukan. Sebaik-baiknya membaca 4 atau 3 daripada surah Qul.
Apa pun yang penting, mengelak diri daripada terus merasa waswas adalah dengan ilmu. Hanya dengan ilmu, seseorang akan mengetahui hukum-hakam tentang sesuatu perbuatan atau amal yang dilakukan. Apabila memiliki ilmu pengetahuan yang tinggi, maka segala yang dilakukan akan bersandarkan kepada al-Quran dan hadis serta ijmak ulama. Justeru, sebarang keraguan yang timbul tidak akan dapat menyaingi ilmu yang diterapkan dalam diri daripada sumber yang sahih.
Tambah Abu Darda lagi, perasaan waswas juga oleh dielakkan dengan mengamalkan bacaan Al-Quran dan membanyakkan zikir kepada Allah. Ia bertujuan agar hati tidak terganggu dan membuat seseorang lebih tenang dalam melaksanakan sesuatu ibadah sebagaimana disebut dalam surah ar-Ra’d: 28
“(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah! dengan zikrullah itu tenang tenteramlah hati manusia.” Wallahu a’lam
Kenali syaitan bernama Khinzib
Baca Artikel Menarik :
- Dos penggalak COVID-19: ‘Pergi klinik, klinik tutup’, KKM perkukuh MySejahtera
- Anak arwah Vanessa masih di rawat
- Siakap kayangan, Restoren Terapung Sas Rimba tak terjejas
- Kerajaan gagal lucut hak barangan milik Najib, Rosmah
- PAS tidak boleh bermain ‘Dua Kolam’
- PRN Melaka: Serangan peribadi tidak melunturkan semangat Dira untuk berkhidmat
- Tak terkelip tengok Nabila Huda bertinju
- Sebak tengok ‘baby bump’ Neelofa
- Mike Tyson bidas pemimpin Melayu UMNO, Bersatu dan PAS
- Bekas YB ‘Juara Penambak Babi’ yakin menang walaupun bertanding bebas
- PRN Melaka: PH suka katak, pengkhianat hawau
Layari Laman Facebook MYKMU
PH sudah tersilap, jangan buat lagi dalam isu calon KM Melaka – Guan Eng