Metaverse, Sebuah Dunia Baharu Ciptaan Mark Zuckerberg

Metaverse, Sebuah Dunia Baharu Ciptaan Mark Zuckerberg

Syarikat Facebook kini digelar sebagai Meta. Ketika mana ia diumumkan awal minggu lepas, ada segelintir yang keliru adakah media sosial Facebook itu ditukar nama “Meta”. Kiranya tiada lagi ikon “F”?



Buat pengetahuan, aplikasi media sosial lain milik Meta seperti Facebook, Instagram, WhatsApp dan Messenger masih lagi digunakan. Namun, visi Zuckerberg kini mahu menawarkan pengalaman bersosial ke satu dimensi baharu atau apa yang dimaksudkannya adalah dunia meta (metaverse).

Jadi, apakah itu Metaverse? Bagaimana idea tersebut dilaksanakan nanti?

Sebenarnya anda sudah pun melihat konsep dunia sebegitu di layar perak. Contoh yang paling terbaru melalui filem Ready Player One.

Dalam filem Ready Player One, manusia sudah menggunakan OASIS, iaitu sebuah simulasi realiti maya untuk lari daripada norma kehidupan sebenar.



Oleh itu, inilah konsep yang cuba dilakukan Meta. Bayangkan anda cuma berada di dalam bilik tetapi pada masa yang sama boleh ke mana-mana lokasi secara maya dengan memakai set kepala (headset).

Metaverse akan menggabungkan Horizon Home, Horizon Worlds dan Horizon Workrooms.



Secara ringkasnya, Horizon Home ibarat rumah kediaman anda dalam dunia ini. Apabila mula memakai Oculus Quest 2 Headset, benda ini yang akan mula muncul di depan mata.

Menurut Zuckerberg, mereka bakal memperkenalkan satu media sosial khusus untuknya dimana anda boleh menjemput rakan-rakan ke rumah kediaman tersebut untuk bersosial, menonton video mahupun membuka aplikasi lain bersama-sama. Buat masa sekarang, beberapa pilihan sudah diberikan. Akan tetapi pada masa hadapan, anda boleh membina rumah itu sendiri.

Seterusnya, Horizon Worlds. Di sini, pengguna Oculus boleh mempamerkan bakat kreativiti yang terpendam. Mungkin ala-ala permainan Minecraft. Dengan ini, anda boleh cuba membangunkan satu ruang baru, mencipta acara, sambutan Hari Lahir dan sebagainya.



Akhir sekali, Horizon Workrooms. Sejak pandemik COVID-19 melanda dunia, manusia mula mencuba untuk bertukar cara bekerja, iaitu dari rumah. Jikalau kita berasakan bermesyuarat menerusi aplikasi Zoom atau Google Meet membosankan, Workrooms ini lain daripada lain.

Pengguna dapat menggunakan satu ruang khusus untuk tujuan tersebut. Ini umpama satu pekerjaan hibrid. “Game Changer” kata Zuckerberg. Sama ada mesyuarat tersebut dilakukan secara fizikal, hologram atau pun boleh dibawa ke dunia meta. Namun, ini hanyalah secebis konsep Workrooms yang diperlihatkan.



Selain “Horizon”, mereka juga akan memperkenalkan produk VR baharu yang dipanggil Project Cambria. Avatar yang dicipta pengguna turut memaparkan reaksi muka mereka dalam masa nyata.

Projek ini cuba menggabungkan dunia maya dan sebenar. Ia turut menawarkan kamera beresolusi tinggi dengan warna penuh secara terus ke headset tersebut. Ini ibarat ura-ura yang mana Apple juga berminat dalam membangunkan headset seperti itu.



Pada masa yang sama, Mark Zuckerberg turut mengumumkan Project Nazare. Beliau berkata mereka akan membangunkan satu kaca mata realiti terimbuh (AR) yang akan dimuatkan dengan paparan hologram, bateri, projektor, kamera, cip pemproses serta sensor peta dalam bentuk kompak.

Secara keseluruhan, Metaverse ini walaupun masih lagi terlalu awal untuk kita bayangkan tetapi ia adalah bayangan masa hadapan. Zuckerberg dalam pembentangannya berkata ia bakal mengubah cara kita berinteraksi antara satu sama lain nanti dimana bakal menggantikan telefon pintar.

Mungkin satu masa nanti apabila dunia maya ini berkembang, manusia akan menghabiskan masa di dalam dunia tersebut. Mungkin juga satu hari nanti masyarakat dapat melakukan jual beli, bekerja, membeli hartanah di dalam metaverse.

Perkara ini tidak mustahil untuk dilakukan memandangkan Meta merupakan syarikat yang amat besar dan mempunyai dana yang sangat banyak dalam membangunkannya.

Namun begitu, adakah anda sudah bersedia menghadapinya? Rekod Facebook sebelum ini tidak berapa baik terutama isu privasi dan data pengguna. Walau apa pun, selamat datang ke era lebih moden umpama filem sains fiksyen. Wmy

Metaverse, Sebuah Dunia Baharu Ciptaan Mark Zuckerberg


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU

Pakej, baucar diskaun Kempen Jom Cuti-cuti Malaysia di Shopee

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker