Lanjutan caruman pada kadar 9%, KWSP sokong penuh kerajaan
Keputusan kerajaan untuk melanjutkan kadar minimum caruman berkanun syer pekerja pada kadar sembilan peratus untuk enam bulan tambahan mengambil kira cabaran ekonomi semasa yang dihadapi oleh ahli.
Dalam kenyataan hari ini, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berkata pelanjutan kadar tersebut bermula daripada gaji bulan Januari 2022 (caruman bulan Februari 2022) hingga gaji bulan Jun 2022 (caruman bulan Julai 2022) dan ahli boleh memilih keluar sekiranya tidak mahu mengekalkan kadar ini.
Selepas tempoh itu, kadar minimum caruman berkanun syer pekerja akan kembali kepada 11 peratus.
Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata langkah untuk melanjutkan kadar caruman berkanun pada sembilan peratus sehingga pertengahan 2022 dijangka memberi kelegaan kepada ahli untuk meningkatkan jumlah gaji yang dibawa pulang dan mengurangkan beban kewangan yang dihadapi.
“Kami turut menerima baik keputusan kerajaan untuk memperluaskan had umur bagi menerima insentif i-Saraan kerana ini dapat menggalakkan lebih ramai individu yang bekerja sendiri dan pekerja sektor tidak formal untuk membuat simpanan persaraan dengan KWSP.
“Selain itu, mereka yang bekerja sendiri dan pekerja gig juga diberi pelepasan cukai sehingga RM4,000 untuk caruman KWSP secara sukarela.
“Ini selaras dengan matlamat KWSP untuk menggalakkan pekerja gig dan sektor tidak formal menyertai skim KWSP bagi menjamin masa depan persaraan mereka,” katanya.
Dalam pembentangan Bajet 2022 bertemakan “Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera”, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan sumbangan kerajaan sebanyak 15 peratus di bawah i-Saraan, tertakluk kepada maksimum RM250 setiap ahli setahun, akan dilanjutkan kepada mereka yang berumur 55 hingga 60 tahun.
Sementara itu, Caruman Sukarela Insentif Suri atau i-Suri yang membolehkan suri rumah dan balu untuk menabung dengan KWSP akan disepadukan dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan dijenamakan semula sebagai ‘Kasih Suri Keluarga Malaysia’.
Inisiatif ini memberi peluang kepada suri rumah dan balu yang berdaftar di bawah sistem eKasih untuk mendapat akses kepada keselamatan sosial.
Amir Hamzah berkata KWSP menyambut baik langkah-langkah perlindungan sosial yang diumumkan dalam Bajet 2022 termasuk bantuan insurans, takaful, perubatan serta sokongan yang diberi kepada kanak-kanak dan warga emas.
“Memandangkan liputan KWSP merangkumi hampir separuh daripada penduduk Malaysia, KWSP akan terus bekerjasama dengan kerajaan dan agensi berkaitan ke arah mencapai kesejahteraan sosial untuk ahli, serta rakyat Malaysia amnya, melalui pendekatan yang telus, inklusif dan selaras dengan semangat ‘Keluarga Malaysia’,” katanya. – Bernama
Lanjutan caruman pada kadar 9%, KWSP sokong penuh kerajaan
Baca Artikel Menarik :
- Meta nama baru Facebook
- Islam boleh menang – Khabib
- Adakah saya makan Tun Daim, minum wanita Belanda?
- Umno jangan masuk lubang biawak kali kedua – Puad
- Asyraf jawab kritikan Mokhtar Senik
- Pelanggan Maybank dakwa duit dalam bank hilang
- ‘1980-an dulu satu episod RM800, sekarang RM250, kenapa kejam!’
- Dewan Ulama PAS bidas Muhyiddin, lambang pilihan raya dasar parti
- Resepi asam pedas ikan kembung pekat
- Shopee 11.11 : Jualan Hebat kembali
- Sajat dikecam pakai bikini
Layari Laman Facebook MYKMU</a