Kecewa bahasa Melayu dianaktirikan, tokoh bahasa cadang tutup DBP

Sebaran :

 

SHAH ALAM – Seorang tokoh pengajian bahasa Melayu mencadangkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ditutup setelah kecewa di atas kegagalan pihak berkuasa tempatan (PBT) memartabatkan bahasa kebangsaan dalam aspek menamakan hartanah, jalan serta kompleks komersial di negara ini.

Secara menyindir, Dekan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Abdul Mua’[email protected] Ahmad turut menyifatkan langkah penutupan DBP, entiti dipertanggungjawabkan memartabatkan bahasa Melayu, akan memberi lebih banyak untung kepada kerajaan berbanding keperluan menjaga bahasa berkenaan.

Jelas beliau, tiada faedah bagi Malaysia memiliki satu entiti bahasa Melayu jika ia terus dianaktirikan dengan tiada iltizam daripada pihak berkuasa untuk menjaga bahasa itu.

“Bayangkan jika DBP ditutup, berapa banyak peruntukan dapat dijimatkan daripada perbendaharaan kerajaan. Kompleks DBP pula boleh dijadikan hotel dan pasar raya, lagi banyak untung daripada jaga bahasa.

“Nak bagus lagi dalam sidang Parlimen akan datang, harap ada YB (Yang Berhormat) yang usulkan supaya bahasa Melayu digugurkan daripada menjadi bahasa kebangsaan. Saya cadang digantikan dengan bahasa Inggeris atau bahasa-bahasa Eropah,” katanya melalui satu hantaran dalam laman Facebooknya pada Rabu.

Hantaran yang dimuat naik Abdul Mua’ti itu turut disertakan dengan beberapa keping gambar papan tanda yang tertera nama jalan dan pusat penempatan awam, menggunakan bahasa Inggeris berbanding bahasa Melayu.

Mengulas lanjut, Abdul Mua’ti turut meluahkan rasa kecewa dengan barisan kepimpinan Melayu di negara ini yang langsung tidak memikirkan kepentingan memartabatkan penggunaan bahasa Melayu dalam aspek menamakan harta awam dan komersial.

Jelas beliau, bahasa Melayu juga seolah-olah dilihat seperti tidak memiliki nilai komersial apabila penggunaan bahasa Inggeris menjadi semakin berleluasa ketika ini.

“Bahasa Melayu bukan ada nilai komersial. Bayangkan kalau bahasa Inggeris jadi bahasa kebangsaan, tentu Malaysia boleh jadi negara maju dalam masa singkat.

“PBT, kerajaan negeri dan kerajaan pusat tentu mudah memasarkan hartanah dan komoditi kita di pasaran antarabangsa.

“Kalau boleh nama-nama tempat dan nama negeri pun kita tukarlah ke nama berbau Inggeris. Kuala Lumpur tak ada nilai komersial. Tukar saja ke Muddy Valley. Perak paling sesuai dinamakan Silver State. Takkan itu pun pemimpin Melayu tak boleh fikir…,” sindirnya lagi.

Sementara itu, Sasterawan Negara, Datuk Dr Mohd Anuar Rethwan turut berkongsi kekecewaan Abdul Mua’ti terhadap kegagalan bahasa Melayu dimartabatkan dalam setiap urusan rasmi pihak kerajaan.

Jelas beliau, baik di peringkat sektor kerajaan mahu pun swasta, rakyat negara ini masih berada dalam kondisi minda tertawan (captive mind) dengan majoritinya merasakan penggunaan bahasa Melayu untuk menamakan sesebuah pusat membeli-belah, kompleks perumahan dan jalan adalah tidak sesuai dan cukup komersil.

“Sekiranya pihak kerajaan di setiap peringkat berasa megah dengan entiti bahasa Melayu yang kita miliki, tiada masalah untuk nama tempat, pusat komersil atau hartanah kediaman dinamakan atau ditukar kepada bahasa Melayu.

“Sebagai contoh, negara Jepun begitu komited mempertahankan nama tempatan bagi setiap lokasi, bangunan kerajaan atau jalan yang pernah dinamakan dengan bahasa Inggeris dengan langkah itu sama sekali tidak menjejaskan nilai komersil hartanah berkenaan.

“Kita mesti membebaskan pemimpin atau pegawai kerajaan daripada dikongkong pemikiran kolonial. Dengan langkah itu, barulah usaha memartabatkan bahasa Melayu akan dapat diangkat sepenuhnya,” kataya.

Kecewa bahasa Melayu dianaktirikan, tokoh bahasa cadang tutup DBP

Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


PRN Melaka: PH selesai isu bahagi kerusi dalam masa dua hari lagi


Sebaran :

Leave a Reply