Al-Haj Automotive Pakistan mula pasang Proton Saga

Al-Haj Automotive Pakistan mula pasang Proton Saga

KUALA LUMPUR: Al-Haj Automotive telah memulakan pemasangan tempatan (CKD) model Proton Saga di Karachi, Pakistan pada 13 Oktober lalu, demikian mengikut pengeluarnya, Proton Holdings Bhd (PROTON).

Saga adalah model pertama Proton yang dipasang di negara itu sebelum memulakan pula pemasangan tempatan bagi model Proton X70



Ketua Pegawai Eksekutif Al-Haj Automotive, Hilal Khan Alfridi, berkata kedua model itu akan dipasang di kilang baharunya di Karachi yang dibina dengan kos sebanyak AS$20 juta.

Beliau berkata, dengan kapasiti awal tahunan sebanyak 25,000 unit setahun, potensi jualan pasaran Pakistan menjadikan ia adalah kritikal bagi rancangan PROTON untuk berkembang di pasaran eksport di masa hadapan.

“Kejayaan pemasangan Proton Saga di Pakistan adalah kemuncak kerja keras dan usaha berterusan PROTON serta Al-Haj.

“Walaupun berdepan kesukaran disebabkan pandemik COVID-19, kami terus berusaha untuk membina kilang baharu.



“Kumpulan yakin dapat merekodkan piawaian industri baharu, sekali gus membolehkan kami memperkenalkan lebih banyak produk yang menepati piawaian kualiti antarabangsa yang ditentukan oleh PROTON,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah, berkata Proton X70 akan menjadi model kedua dipasang di Pakistan selepas penghantaran terakhir unit dipasang sepenuhnya (CBU) dari Malaysia.

Beliau berkata, Proton X70 dijangka akan memulakan pemasangan tempatan di Pakistan pada Disember 2021.

Katanya, sebelum bermulanya pemasangan tempatan itu, sebanyak 154 unit terakhir Proton X70 telah dihantar pada 17 Oktober lalu, menjadikan jumlah eksport model CBU ke negara itu adalah sebanyak 602 unit.



“Disebalik krisis COVID-19, permintaan bagi model Proton di Pakistan masih kekal tinggi terutamanya model Proton Saga dan X70.

“Al-Haj telah menerima sebanyak 2,500 unit tempahan bagi Saga dan lebih daripada 2,000 unit tempahan bagi X70.

“Dengan penghantaran terakhir unit CBU dan permulaan pemasangan tempatan, PROTON akhirnya dapat mengorak langkah ke hadapan dalam memenuhi permintaan pasaran,” katanya. BH

Al-Haj Automotive Pakistan mula pasang Proton Saga




Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU

Timbalan Menteri tersipu malu bila ditanya hendak bernikah ke?



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker