Rakyat semakin berpecah, sudah tiba masa untuk ‘reset’ negara – Nazir

Rakyat semakin berpecah, sudah tiba masa untuk ‘reset’ negara – Nazir

Orang Melayu dan bukan Melayu semakin berpecah sejak beberapa tahun lalu, kata bekas Pengerusi Kumpulan CIMB Nazir Razak, yang mengimbau kembali bagaimana negara telah berubah sepanjang hayatnya.

Bukan hanya orang bukan Melayu yang mula menyedari Malaysia pada masa ini tidak sama dengan negara ketika mereka membesar, katanya dalam temu bual dengan FMT.

“Saya rasa orang Melayu juga sedar yang rakyat Malaysia hidup bersama namun semakin menjauh antara satu sama lain selama bertahun-tahun.

“Saya rasa ini didorong oleh dasar, sistem pendidikan kita dan pengaruh agama yang semakin kuat antara ramai orang di negara ini,” katanya.

Beliau berkata, apabila orang berkata mereka tidak lagi kenal dengan apa yang telah terjadi dengan negara, ia “menyedihkan”.

“Saya ingat lagi ketika saya di Sekolah Rendah St John, ketika itu kita sangat berbilang kaum, tetapi baru-baru ini, saya pergi dan lihat padang, ia telah jadi sekolah kebangsaan – kira-kira 96% orang Melayu dan 4% orang India, itu sahaja.

“Saya rasa sedih apabila melihatnya, sedangkan pada zaman saya, Institusi St John sangat mencerminkan populasi negara dari segi komposisi etnik.

“Baru semalam ketika saya berbual dengan Tun Musa (Hitam), beliau mengingatkan saya bahawa ketika semuanya bermula, kita menggunakan istilah ‘Malayan Nation’ sebagai agenda kita, pemimpin politik ketika itu, dan tentu saja ia menjadi ‘Malaysian Nation’.

“Namun, sekarang, projek pembangunan negara sebegini telah terhenti, atau tidak berfungsi,” katanya.

Nazir mengakui, mudah untuk menganggap masa lalu sebagai ideal, dengan mengingatkan orang ramai bahawa perpaduan negara dan kaum sentiasa diusahakan.

“Kita mesti sentiasa ingat, pada tahun 60-an, kita mengalami beberapa gangguan dalam ketenteraman awam – rusuhan kaum di Singapura pada ‘65, Pulau Pinang pada ‘67, dan sudah tentu 13 Mei pada ‘69, dan itu hanya yang utama.”

Beliau berkata, sudah tiba masanya untuk melakukan “penetapan semula” yang serupa, seperti yang dilakukan selepas 1969, apabila reformasi struktur seperti Dasar Ekonomi Baharu, Rukun Negara, pindaan Akta Hasutan dan pembentukan gabungan besar untuk mentadbir dilaksanakan untuk menstabilkan negara.

“Saya rasa cara yang tepat untuk menetapkan semula negara adalah dengan menubuhkan platform musyawarah baharu, lebih kurang seperti Majlis Perundingan Negara (MAPEN) pada 1970.”

“MAPEN hari ini, yang saya namakan sebagai ‘Better Malaysia Assembly’, perlu kurang elitis berbanding yang ditubuhkan pada 1970, dengan 67 individu terpilih,” katanya.

Beliau turut mencadangkan orang ramai dari segenap spektrum politik dan masyarakat sivil membantu mencalonkan individu ke dalamnya.

“Anda ada ‘Better Malaysia Assembly’ ini, komposisi individu yang membahaskan reformasi struktur selama, katakanlah, 18 bulan atau dua tahun, kemudian mengemukakan saranan yang kukuh dan membentangkannya di Parlimen, untuk Parlimen bahaskan dan luluskan perubahan dasar dan perundangan yang diperlukan,” katanya. FMT

Rakyat semakin berpecah, sudah tiba masa untuk ‘reset’ negara – Nazir


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU

Kau ini apa pun tak faham, kata Najib pada Hanipa

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker