Bolehkah takdir Allah diubah?

Sebaran :

Bolehkah takdir Allah diubah?

Bila bercakap berkaitan dengan ketentuan atau takdir, menurut Ketua Program Akidah dan Agama, Universiti Sains Islam Malaysia, Profesor Madya Dr. Kamaluddin Nurdin Marjuni, menegaskan ada dua perkara yang boleh dibahaskan.

Pertamanya ialah soal ketentuan dan takdir itu adalah rahsia Allah S.W.T.. Contohnya, setiap manusia memang tidak akan dan tidak boleh tahu mengenai jangka hayat hidupnya dan di mana umurnya yang pinjaman ini dihabiskan serta bagaimana.

Allah telah berfirman dalam surah Lukman ayat 34,



“Sesungguhnya Allah, hanya pada sisi-Nya sajalah pengetahuan tentang Hari Kiamat; dan Dia-lah Yang menurunkan hujan, dan mengetahui apa yang ada dalam rahim. Dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui (dengan pasti) apa yang akan diusahakannya esok. Dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi mana dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.”

Begitu juga dalam hal berkaitan rezeki, mana mungkin kita mengetahui jumlahnya yang kita dapat dan dalam bentuk keadaan yang bagaimana. Kesemua itu adalah rahsia Allah.

Maka, kesemua itu adalah ketentuan dari Allah, tiada kebetulan dalam kehidupan ini, segala-galanya direncanakan dengan sesempurna mungkin oleh Pencipta. Sedangkan Rasulullah s.a.w pun tidak mampu menembusi segala hal berkaitan takdir Ilahi, apatah lagi kita hamba biasa.

Kemudian Allah menjawab segala berkaitan rahsia-Nya itu dalam surah yang sama tetapi ayat 59,



“Dan pada sisi Allah-lah kunci-kunci semua yang ghaib; tak ada yang mengetahuinya kecuali Dia sendiri, dan Dia mengetahui apa yang ada di daratan dan di lautan, dan tiada sehelai daun pun yang gugur melainkan Dia mengetahuinya (pula), dan tidak jatuh sebutir biji pun dalam kegelapan bumi dan tidak sesuatu yang basah atau yang kering, melainkan tertulis dalam kitab yang nyata (Luh Mahfuzh).”

Berdasarkan kepada tafsiran ayat di atas, maka jelaslah bahawa rahsia takdir ini sangat kompleks, kita tidak mempunyai keupayaan untuk memikirkannya dengan lebih mendalam, sebab itu junjungan besar Muhammad s.a.w tidak membenarkan umatnya terlalu memikirkan tentang persoalan takdir seperti yang diterangkan dalam hadisnya yang diriwayatkan oleh Tabrani,

“Jika sahabatku menyebut perkara takdir, maka hentikanlah mereka (membahas takdir).”

Perubahan takdir



Menurut Dr. Kamaluddin lagi, meskipun takdir itu telah ditetapkan oleh Allah sejak usia mencapai 40 hari dalam kandungan ibu, tetapi ianya masih lagi boleh berubah.

“Kalau saya katakan bahawa takdir boleh berubah, kemungkinan besar ramai yang tidak setuju dan merasa hairan kemudian bertanya, “takdir boleh diubah?”

Bukankah dalam riwayat penciptaan manusia itu malaikat ditugaskan mencatat tentang rezeki dan hidup matinya ketika usia mencecah 40 hari dalam kandungan?

Bagi menjawab persoalan tersebut, Dr. Kamaluddin menjelaskan tentang dua bahagia Qada’ iaitu Qada’ Mubham dan Qada’ Mu’allaq.

Qada’ pertama yang disebut Mubham itu ialah segala ketentuan Allah yang memang pasti akan berlaku. Sama ada manusia itu menginginkannya, atau mengelak daripadanya, tetapi perkara ini pasti, seperti kematian.

Sembunyi di tempat mana sekalipun, menyorok di dalam lautan dalam dan sebagainya, tetapi manusia tidak juga akan hidup selama-lamanya, sampai masa, akan juga mengadap Ilahi.

Sebagaimana firman Allah dalam surah Anbiya’ ayat 35

“Tiap-tiap yang berjiwa akan merasai mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kami lah kamu dikembalikan.”

Qada’ Mubham juga disebut oleh Allah

“Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap suatu kamu, maka tak ada yang dapat menolaknya dan sekali-kali tak ada pelindung bagi mereka selain Dia,” surah al-Ra’d (11) .

Begitu juga seperti yang diterangkan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadisnya yang diriwayatkan oleh Muslim,

“Sesungguhnya Tuhan berkata kepadaku: Wahai Muhammad! Sesungguhnya Aku kalau sudah menentukan sesuatu, maka tiada seorang pun yang sanggup menolaknya.”

Manakala, Qada’ Mu’allaq ialah takdir yang bergantung dan bersyarat. Qada’ ini boleh jadi berlaku pada manusia, dan boleh jadi juga tidak berlaku, meskipun telah ditetapkan oleh Allah.

Bahkan ianya bergantung kepada usaha manusia itu sendiri. Ketentuan dalam bahagian ini disampaikan oleh Allah kepada malaikat, lalu disimpan olehnya. Firman Allah yang berkait rapat dengan Qada’ ini ialah melalui surah ar-Ra’ad ayat 11,

“Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan suatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.” Wallahu a’lam Utv

Bolehkah takdir Allah diubah?


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU

Kekayaan Elon Musk kini RM1 trilion


Sebaran :

Leave a Reply