Jadilah golongan ‘bersujud’

SESUNGGUHNYA manusia ialah makhluk yang terbaik diciptakan ALLAH SWT. Menurut Pak Hamka, menerusi bukunya, Kesepaduan Iman dan Amal Saleh: “Manusia ialah makhluk pilihan di sisi ALLAH SWT.

“Ia lebih mulia, lebih utama dan lebih tinggi daripada makhluk lain yang diciptakan ALLAH SWT. Ia diciptakan untuk membongkar rahsia Ilahi yang banyak terpendam di muka bumi ini.

Segala sesuatu isi alam ini dijadikan ALLAH SWT untuk manusia.”

Tambah beliau; “Dikhususkan manusia untuk meletakkan cinta ALLAH SWT, mengenal ALLAH SWT dan untuk mendekati-Nya.

Sehingga matahari memancarkan sinar, bulan menyebarkan cahaya dan bintang berkelipan di malam sunyi, semuanya untuk manusia.

Air sungai mengalir, lautan terbentang dan tumbuh-tumbuhan menghijau juga untuk manusia. Bahkan Malaikat yang menjadi penghuni ghaib dari langit dan bumi, banyak di antaranya yang ditugaskan semata-mata untuk menjaga dan memelihara manusia”.

Hebatnya ciptaan manusia, sehingga ALLAH SWT mengarahkan para malaikat dan iblis sujud kepada Nabi Adam seperti mana firman-Nya;

“Dan sesungguhnya kami telah menciptakan kamu, lalu kami membentuk rupa kamu, kemudian, Kami berfirman kepada malaikat-malaikat, ‘Sujudlah kamu kepada Adam’, lalu mereka sujud melainkan iblis, ia tidaklah termasuk golongan yang sujud. (Surah Al-Araf, 7:11).

Pun begitu, amat sedikit manusia bersyukur “Dan sesungguhnya Kami telah menetapkan kamu (dan memberi kuasa) di bumi, dan Kami jadikan untuk kamu kepadanya (berbagai jalan) penghidupan (supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur.” (Surah Al-Araf, 7:10).

SUMPAH

Sebetulnya, sikap iblis tidak bersujud atas perintah ALLAH SWT berjangkit kepada kebanyakan manusia.

Fenomena itu berlaku sejajar dengan sumpah iblis kepada ALLAH SWT untuk menyesatkan manusia agar menjadi golongan tidak bersujud atas kekufurannya.

Lihatlah apa yang berlaku hari ini? Betapa ramai yang mengakui kebesaran ALLAH SWT, namun menunjukkan tingkah laku yang memualkan.

Ada yang bangga menjaja konflik kisah cinta mereka sehingga lupa keaiban diri, ada juga mulutnya begitu celupar merendahkan martabat wanita dalam program televisyen yang menjadi tontonan umum, malah tidak kurang juga yang berbangga berhijrah ke luar negara untuk mengekalkan ‘prinsip’ hidupnya.

Pendek kata, kesemua tingkah laku yang tidak bermoral itu adalah ‘penyeri’ dan ‘pelengkap’ kepada perbuatan ‘tidak bersujud’ yang belum berkesudahan seperti, menerima rasuah, pecah amanah, menyalahgunakan kuasa, menipu serta pelbagai isu integriti dalam masyarakat.

Jelas, wujudnya tingkah laku tersebut kerana kesombongan diri yang lupa asal dan tujuan diciptakan ALLAH SWT.

Menurut perspektif psikologi, setiap manusia mempunyai kecenderungan untuk hidup bertuhan.

Justeru, psikologi spiritual atau kerohanian telah melengkapkan perkembangan psikologi konvensional sebelum ini yang cenderung kepada tiga elemen sahaja iaitu; fizikal (apa yang kita lakukan), mental (apa yang kita percaya) dan emosi (apa yang kita rasa).

Namun psikologi spiritual memberi fokus kepada keupayaan kita mengenal diri sendiri.

Apabila kenal diri sendiri, membolehkan kita tahu keupayaan diri, berani buat keputusan, sukar dipengaruhi, tidak berkompromi dengan kebatilan serta menjaga aib dan batasan diri.

Berkaitan menjadi diri sendiri, saya tertarik dengan kata-kata ahli falsafah di Amerika Syarikat tahun 1800 Masihi, Ralph Waldo Emerson iaitu: “Cabaran paling besar dalam kehidupan di dunia ini adalah menjadi diri sendiri, di mana ramai yang cuba mempengaruhi diri kita menjadi seperti mereka”.

Justeru, hakikat menjadi diri sendiri adalah berbalik kepada fitrah asal dan tujuan kejadian kita oleh ALLAH SWT.

Berpada-padalah kasihkan dunia, jadilah golongan bersujud.

Ada yang bangga menjaja konflik kisah cinta mereka sehingga lupa keaiban diri, ada juga mulutnya begitu celupar merendahkan martabat wanita dalam program televisyen yang menjadi tontonan umum.

* Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Inovasi dan Kelestarian Sosial (COESIS) Universiti Malaysia Perlis


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Arak Timah : Hadi tegur pihak jaga urusan agama

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker