Jangan Biarkan Syaitan Kencing di Telinga, Buruk Padahnya

Jangan Biarkan Syaitan Kencing di Telinga, Buruk Padahnya

Daripada Abdullah bin Mas’ud r.a. katanya, “Diberitahu kepada Rasulullah s.a.w. seorang lelaki yang tidur sepanjang malam sampai pagi.” Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda, “Orang itu telah dikencingi syaitan pada telinganya.” HR Muslim

Aduh…! kena kencing di telinga. Tidak boleh dibayangkan bagaimana kalau benar-benar kena kencing di telinga, sedangkan termasuk air sedikit ketika mandi pun sudah mengundang ketidakselesaan.



Kencing di situ bukan bermaksud kena tipu seperti istilah orang sekarang kena kencing tetapi ia adalah air kencing. Bukan air kencing biasa sebaliknya milik syaitan yang direjam.

Syaitan pun memang kita tidak nampak apalagi air kencingnya, sah tidak kelihatan langsung.

Mengapa Rasulullah s.a.w. menyebut air kencing syaitan dan di telinga pula ketika subuh? Bagi Pensyarah Jabatan al-Quran dan as-Sunah, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Suriani Sudi, ada banyak perbahasan ulama tentang kencing syaitan.

Ada ulama mengatakan dikencingi syaitan adalah memang benar-benar dikencingi kerana ia juga boleh makan, minum maka tidak mustahil juga boleh kencing dan berak.



Misalnya, al-Qurthubi mengatakan tidak salah untuk mentafsirkan dikencingi syaitan sebagai air kencing kerana memang telah terbukti syaitan makan, minum dan berkahwin. Malah tidak ada larangan untuk mengatakan bahawa syaitan pun kencing.

Namun ada juga ulama yang mengatakan bahawa ia hanya sebagai kiasan atau perumpamaan saja. Orang Arab mengumpamakan air kencing itu sebagai satu perkara yang tidak baik kepada diri serta membawa keburukan. Ia bukanlah perkara hakiki.

Hanya Perumpamaan

Tambahnya, ia juga dikatakan sebagai perumpamaan iaitu syaitan menutup telinga orang sedang tidur sehingga tidak terjaga dan tidak dapat mendengar azan atau zikir yang dibaca.



Dengan erti kata lain, ia bagaikan satu penghinaan syaitan terhadap orang yang lena diulit mimpi ketika subuh menjelma. Dikatakan juga, ia perumpamaan bahawa syaitan telah menguasainya hingga menjadikannya semacam bilik tempat untuk membuang air. Di mana biasanya tempat yang diabaikan dibuat tempat untuk kencing.

Selain itu, Suriani juga tidak menafikan bahawa ia boleh diertikan sebagai syaitan menutup telinga orang tidur agar menjadi liat untuk bangun solat Subuh.

Mengisi telinga orang yang tidur dengan kebatilan hingga telinganya tersumbat dan tidak dapat mendengar sebarang peringatan.

“Kiasan itu juga boleh membawa maksud syaitan melakukan perbuatan keji semasa seseorang tidur. Tambah-tambah lagilah jika tidurnya tidak didahului dengan menyebut nama Allah.



Namun tidur yang disertai dengan zikir kepada Allah dan niat untuk bangun mengerjakan solat Subuh dapat melindungi dari perbuatan keji syaitan.

Mengapa Telinga?

“Manakala ath-Thayyibi memberikan penjelasan mengapa telinga yang menjadi sasaran syaitan sedangkan yang tidur adalah mata.

Dalam hal ini, telinga adalah pintu masuk termudah bagi syaitan dan pantas menghantar hasutannya hingga ke urat nadi yang akhirnya menyebabkan kemalasan di seluruh tubuh.



Disebut air kencing di situ kerana air lebih mudah masuk ke dalam rongga-rongga dan cepat bertindak balas di urat-urat dan akhirnya menyebabkan kemalasan seluruh anggota badan,” ulasnya.

Baginya, dikatakan telinga kerana yang mengejutkan kita semasa tidur adalah telinga bukannya mata. Syaitan akan tutup telinga kita supaya tidak boleh mendengar azan Subuh yang mengejutkan untuk bangun bersolat.

Ia akan lebih melalaikan manusia apabila syaitan menutup telinga. Semisalnya, anak menangis ketika kita tidur atau bunyi bising yang mengganggu, perkara pertama memberi kejutan adalah telinga.

Allah sudah menjadikan telinga itu sebagai anggota paling peka walaupun ketika tidur yang akan bertindak pantas dan bukannya mata. Sebab itulah syaitan kencing di telinga bukannya pada mata atau anggota badan yang lain.



Apabila telinga tertutup maka kita akan menjadi tidak sensitif pada apa yang didengar terutamanya seruan azan.

Mengapa kita tidak boleh sentiasa diberak dan dikencingi syaitan? Jika sering dikencingi syaitan adakah mungkin akan menjadikan hati keras, gelap dan degil?

Suriani mengiakan pertanyaan itu. Katanya, sebab itulah Nabi mengajarkan kita memulakan sesuatu pekerjaan dengan Bismillah dan selalu meminta perlindungan Allah daripada syaitan yang direjam.

Semua itu tujuannya adalah untuk menjaga manusia daripada gangguan syaitan. Untuk menjaga kesucian, Allah ajarkan juga adab ketika memasuki tempat kotor seperti tandas dimulai dengan doa.

Kena jaga adab supaya terselamat daripada kotoran hakiki dan maknawi kerana tempat itu adalah rumah syaitan. Memang benar kita tidak boleh mengelak untuk berkunjung ke situ tetapi dengan ada adab ia seakan perisai.

Memanglah secara fizikalnya tidak akan kelihatan bahawa syaitan itu kencing namun ia memberi kesan dalaman yang bersangkut dengan hati. Sukar mendapat kebaikan, keras hati kerana meninggalkan perkara sunah yang kecil-kecil.

Yang mencantikkan lagi Islam itu adalah perkara adab yang kecil-kecil itu.

Daripada Abu Hurairah r.a. katanya, bersabda Rasulullah s.a.w. “Apabila orang azan syaitan itu lari sambil terkentut-kentut sampai ia tak mendengar suara azan itu; setelah azan selesai, syaitan itu kembali pula, dan lari lagi tatkala ia mendengar suara iqamat, kemudian ia kembali lagi, dan ketika itu terlintaslah dalam hati orang yang sembahyang pelbagai soal kerana syaitan itu membisikkan kepadanya, ingatlah ini, ingatlah itu tentang soal-soal yang tidak pernah diingatnya sebelum sembahyang, sehingga orang itu ragu-ragu berapa rakaat yang telah sudah.

Rasulullah s.a.w. berkata, “Apabila di antara kamu ragu-ragu berapa rakaat yang telah sudah, hendaklah ia sujud dua kali sambil duduk.”

Jangan Biarkan Syaitan Kencing di Telinga, Buruk Padahnya


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Mahathir jawab Sultan Johor isu Pulau Batu Puteh

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker