AS sekat import syarikat sarung tangan Malaysia atas dakwaan buruh paksa

AS sekat import syarikat sarung tangan Malaysia atas dakwaan buruh paksa

Amerika Syarikat (AS) mengenakan sekatan import daripada syarikat pembuat sarung tangan Malaysia, Supermax Corp atas dakwaan amalan buruh paksa di syarikat berkenaan.

Ia merupakan syarikat Malaysia keempat yang dikenakan sekatan itu dalam tempoh 15 bulan.

Dalam kenyataan semalam, Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) AS mengeluarkan ‘Perintah Sekatan Pelepasan’ (Withhold Release Order) yang melarang import daripada Supermax, yang menurut mereka berdasarkan maklumat munasabah yang menunjukkan amalan buruh paksa dalam operasi pengeluarannya.

“Dengan 10 daripada 11 indikator buruh paksa dikenal pasti semasa siasatan kami, CBP mempunyai bukti cukup untuk menyimpulkan bahawa Supermax dan anak-anak syarikatnya yang mengeluarkan sarung tangan melanggar undang-undang dagangan AS,” kata Penolong Pesuruhjaya Eksekutif di Pejabat Perdagangan CBP, AnnMarie R Highsmith seperti dipetik Reuters.

CBP merujuk indikator buruh paksa yang disenaraikan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa – termasuk waktu kerja berlebihan, perhambaan hutang, kekerasan fizikal dan seksual, keadaan kerja dan hidup yang teruk.

CBP bagaimanapun tetapi tidak memperincikan indikator mana yang dikenal pasti diamalkan Supermax.

Menurut Reuters, Supermax tidak memberi balasan segera ketika diminta memberi respons berkenaan sekatan itu.

Pada Mei lalu, Supermax berkata ia mematuhi undang-undang buruh dalam layanannya terhadap pekerja asing dan komited untuk memerangi amalan buruh paksa, selepas CBP dilaporkan memulakan siasatan ke atasnya.

Pada bulan lalu, sekumpulan bekas pekerja anak syarikat Supermax turut mendakwa berdepan amalan seperti pemotongan gaji secara tidak sah, denda tunai dan pengurungan, namun Supermax menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu.

Sebelum ini, pesaing Supermax iaitu Top Glove – yang merupakan pengeluar sarung tangan getah terbesar dunia – turut berdepan sekatan ekoran dakwaan serupa pada Julai, tetapi sekatan itu ditarik balik selepas syarikat itu menyelesaikan isu yang dibangkitkan.

Pengeluar minyak kelapa sawit Sime Darby Plantation dan FGV Holdings turut disekat CBP tahun lalu ekoran dakwaan amalan buruh paksa.

Kedua-dua syarikat telah melantik pengaudit untuk menilai amalan mereka dan berkata akan berhubung dengan CBP berkenaan kebimbangan yang dibangkitkan.

Kebanyakan pekerja asing di Malaysia adalah dari Bangladesh dan Nepal. Mk

AS sekat import syarikat sarung tangan Malaysia atas dakwaan buruh paksa


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Saya masuk PKR, Guan Eng siapa nak halang

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker