Kejayaan kes harian, kematian Covid-19 tunjuk trend penurunan – KKM

PUTRAJAYA: Pelaporan kes harian, jumlah kematian, kapasiti penggunaan katil COVID-19 di hospital dan unit rawatan rapi (ICU) terus menunjukkan trend penurunan pada Minggu Epidemiologi (ME) Ke-41.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata trend positif itu selari dengan peningkatan liputan vaksinasi di negara ini yang menjadikan aktiviti pembukaan semula pelbagai sektor secara terancang melalui inisiatif #ReopeningSafely lebih meyakinkan.

“Bagi indikator jangkitan COVID-19, dari 10 Oktober hingga Sabtu lalu kes baharu menunjukkan penurunan sebanyak 17.9 peratus iaitu daripada 63,722 kes (ME ke-40) kepada 52,321 kes (ME ke-41).

“Jumlah kes baharu di Selangor, Negeri Sembilan, Putrajaya dan Kuala Lumpur juga mulai menunjukkan trend mendatar serta purata kes aktif menunjukkan penurunan 21.0 peratus iaitu daripada 133,450 kes (ME ke-40) kepada 105,497 kes (ME ke-41),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, jumlah kluster turut menunjukkan penurunan iaitu sejumlah 83 kluster dilaporkan pada ME ke-41 membabitkan kluster tempat kerja (37), komuniti (25), institusi pendidikan (10), kumpulan berisiko tinggi (9) dan kluster pusat tahanan (1).

“Kementerian Kesihatan (KKM) juga ingin memaklumkan sehingga 16 Oktober lalu, sejumlah 25,079,220 individu mendaftar bagi mendapatkan vaksinasi COVID-19.

“Sebanyak 91.5 peratus daripada populasi dewasa sudah lengkap vaksinasi, manakala 67.8 peratus daripada keseluruhan penduduk sudah menerima imunisasi COVID-19 yang lengkap,” katanya.

Mengenai kapasiti hospital, Dr Noor Hisham berkata, pihak kementerian sudah memperuntukkan 29,809 katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC), katil di wad biasa (15,653) katil di ICU (1,400) dan alat bantuan pernafasan bagi merawat pesakit COVID-19 disyaki dan berkemungkinan (2,863).

“Penggunaan katil di PKRC dan wad serta alat bantuan pernafasan menunjukkan trend penurunan sekitar satu hingga tiga peratus pada ME ke-41.

“Walaupun perkembangan COVID-19 semasa terus menunjukkan penurunan, KKM ingin mengingatkan masyarakat supaya kekal mengamalkan tindakan kesihatan awam kendiri dengan penuh disiplin,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan lonjakan kes pada masa depan antaranya dengan menubuhkan National Rapid Response Task Force yang akan digerakkan ke negeri yang berdepan lonjakan kes COVID-19.

“Pasukan petugas ini akan menjalankan penilaian risiko dan mencadangkan strategi bersesuaian seperti penambahan kapasiti hospital, mobilisasi sumber tenaga petugas kesihatan dan tindakan kesihatan awam yang bersesuaian di negeri atau kawasan terjejas,” katanya.

Kejayaan kes harian, kematian Covid-19 tunjuk trend penurunan – KKM


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Saya masuk PKR, Guan Eng siapa nak halang

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker