Belum pasti bertanding tiket PH
SHAH ALAM – Tiada kepastian sama ada bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron dan tiga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menarik sokongan terhadap kerajaan negeri sebelum ini, bakal bertanding pilihan raya negeri (PRN) Melaka atas tiket Pakatan Harapan (PH).
Perkara itu dijelaskan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua susulan Idris dalam satu kenyataan media memberi bayangan akan bertanding atas tiket PH pada PRN Melaka bersama tiga ADUN lain.
Tiga ADUN bebas yang bersama Idris menarik sokongan terhadap bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dan menyebabkan Dewan Undangan Negeri (DUN) terbubar pada 4 Oktober lalu adalah ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan, ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee dan ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad.
Mengesahkan kehadiran keempat-empat bekas ADUN Bebas itu dalam satu program PH di Melaka pada malam Ahad, Tian Chua menegaskan kesemua bekas pemimpin UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan bebas itu hanya menyatakan komitmen mereka untuk menyokong PH bagi menghadapi PRN Melaka yang dijadualkan pada 20 November hadapan.
“Dalam majlis PH di Melaka semalam (Ahad), Idris tidak cakap kumpulan empat ADUN itu akan bertanding atas tiket PH, cuma mereka hanya nyatakan komitmen untuk menyokong kami bagi menghadapi PRN Melaka sahaja.
“Bagi saya, belum ada kepastian untuk mereka bertanding atas tiket PH kerana mereka juga mungkin boleh bertanding atas tiket Parti Pejuang Tanahairku (Pejuang) dan Parti Warisan Sabah (Warisan),” katanya kepada Sinar Premium pada Selasa.
Susulan tindakan Idris dan Nor Azman menarik sokongan terhadap Sulaiman sehingga menyebabkan kerajaan campuran UMNO-Bersatu terbubar, keahlian UMNO mereka digugurkan atas alasan cuba bekerjasama dengan DAP bagi membentuk kerajaan baharu menggantikan kerajaan campuran Barisan Nasional (BN) – Perikatan Nasional (PN).
Berikutan itu, timbul tanda-tanya sama ada keempat bekas ADUN yang menarik sokongan berkenaan akan bertanding atas tiket bebas atau menyertai platform parti lain susulan mereka masih menyuarakan keinginan untuk terus berkhidmat sebagai wakil rakyat.
SPR menetapkan 20 November ini sebagai tarikh pilihan raya negeri manakala hari penamaan calon pada 8 November dan tarikh mengundi awal pada 18 November.
Mengulas lanjut, Tian Chua yang juga bekas Ahli Parlimen Batu turut mengajak semua pemimpin PH untuk mengenepikan sentimen kebencian peribadi terhadap kumpulan 4 ADUN bebas berkenaan susulan tindakan mereka menyebabkan tercetusnya PRN negeri.
Sebaliknya, beliau berpandangan PH pula bersikap terbuka untuk bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang mahu bersama koalisi itu bagi menumbangkan UMNO dan Perikatan Nasional (PN).
“Pada PRN Melaka, PH pastinya mahu menang banyak kerusi (DUN) dan saya mahu mengajak semua pihak untuk mengenepikan sentimen peribadi dalam mengalu-alukan mana-mana pihak yang mahu bekerjasama dengan kita.
“Kita tidak mahu isu siapa pengkhianat menjadi perkara besar, sebaliknya semua pihak kena bekerjasama menguatkan PH dan jentera pilihan raya untuk mmenangi semula negeri Melaka.
“Biarlah isu siapa punca kejatuhan kerajaan negeri Melaka menjadi sejarah, usah tuding-menuding lagi siapa pengkhianat kerana kerajaan pun sudah jatuh dan perkara paling penting adalah kemenangan PRN Melaka,” katanya.
Pada Ahad malam, bekas ADUN Kota Laksamana, Low Chee Leong dari DAP mengkritik majlis anjuran PH yang meraikan empat bekas ADUN yang baru-baru ini menjatuhkan kerajaan negeri Melaka pimpinan UMNO-Bersatu.
Secara sinis, Chee Leong menyifatkan perbuatan meraikan empat bekas ADUN yang dianggap sebagai pengkhianat rakyat Melaka itu sebagai lawak kerana mereka seolah-olah disambut sebagai pahlawan.
Belum pasti bertanding tiket PH
Baca Artikel Menarik :
- PH Melaka tak bertanggungjawab cetus krisis – Ahli Parlimen PKR
- DAP tentang Norhizam sebagai calon PH
- Muhammad nama popular di UK?
- Golongan antivaksin tidak akan dianiaya – Hishammuddin
- Idris Haron dan 3 lain menaruh harapan kepada PH
- Timah, hanya modal untuk serang PAS – Tuan Ibrahim
- Bapa Perkosa Anak Kandung Konon Percaya ‘Nasihat’ Pakar Feng Syui
- Lelaki Terkaya Di Asia Miliki Aset RM415 Billion Setara Elon Musk dan Jeff Bezos
- Anak Pengasas Microsoft Bill Gates Kahwini Dengan Pemuda Muslim
- Kekasih Sajat ‘serang’ pegawai polis
- Mana ada orang betul-betul kaya baling duit
Layari Laman Facebook MYKMU