Jika skuad elit polis masih ada, sindiket dadah mampu ditangani – Zahid

Jika skuad elit polis masih ada, sindiket dadah mampu ditangani – Zahid

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi percaya sekiranya tiga skuad elit Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih wujud, sudah pasti negara dapat membasmi kebanyakan sindiket dadah sekali gus mengelakkan anggota masyarakat daripada dipergunakan menjadi tokan akibat keinginan material atau atas desakan hidup.

Beliau berkata, tiga pasukan itu adalah Pasukan Tindakan Khas Judi, Maksiat dan Gengsterisme (STAGG), Pasukan Tindakan Khas Jenayah Terancang (STAFOC) dan Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) yang ditubuhkan semasa beliau menjadi Menteri Dalam Negeri pada 2014.

Sebaliknya kata beliau, semua pasukan itu dibubarkan ketika era kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas kejatuhan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Alasan Menteri Dalam Negeri ‘Kerajaan 22 bulan’ membubarkan unit elit polis ketika itu bagi menjimatkan perbelanjaan kerajaan, mengelak pertindihan fungsi dalam jabatan dan mengelak rasa kurang harmoni antara anggota. Seperti saya pernah katakan alasan-alasan pembubaran itu dibuat tanpa mengambil kira indeks jenayah membabitkan aktiviti kumpulan jenayah terancang turun mendadak sejak penubuhan skuad elit terbabit.

“Tanpa mengambil kira keyakinan masyarakat terhadap tahap keselamatan mereka dan fungsi pasukan polis semakin bertambah. Tanpa mengambil kira kegerunan dan ketakutan kumpulan jenayah terancang terhadap ketiga-tiga pasukan elit polis itu,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, kenyataan beliau itu bukan untuk menafikan sumbangan dan kemampuan pegawai serta anggota polis lain, namun semua skuad ini untuk memperkasa lagi usaha melawan jenayah.

“Mereka dianggap sebagai ‘doktor pakar’ dalam bidang tugas mereka menentang jenayah. Mereka terdiri daripada yang terlatih dan terpilih antara yang terbaik daripada yang terbaik dalam pasukan polis.

“Tetapi itulah antara yang telah berlaku selepas kerajaan BN ditewaskan angkara fitnah dan tipu daya. Insya Allah apabila BN menang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan kembali sebagai teras pentadbiran kerajaan kita tubuhkan semula unit elit ini,” jelas beliau.

Terdahulu, Ahmad Zahid mengakui hatinya pilu setelah melihat rakaman video seorang ibu tunggal berusia 55 tahun menangis dan merintih selepas dijatuhi hukuman mati oleh mahkamah atas kesalahan memiliki dan mengedar dadah syabu seberat 113.9 gram.

“Bukan mahu mempertikaikan keputusan mahkamah, tetapi membaca berita itu mengamit kekecewaan terhadap tindakan kerajaan 22 bulan membubarkan tiga skuad elit PDRM selepas mengalahkan kerajaan BN dalam PRU-14,” ujar beliau. Utusan

Jika skuad elit polis masih ada, sindiket dadah mampu ditangani – Zahid


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


3 pemimpin Umno konsensus pilih calon

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker