Kerjasama UMNO, PAS dalam MN perlu dipertahan – Pas Selangor

Kerjasama UMNO, PAS dalam MN perlu dipertahan – Pas Selangor

PAS Selangor menegaskan kerjasama dengan UMNO melalui Muafakat Nasional (MN) mesti dipertahan kerana ia memberi peluang sangat baik kepada mereka untuk merampas semula negeri itu.

Pesuruhjayanya, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata penilaian peluang itu berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dan ia tidak wajar dilepaskan.

“Jika dilihat jumlah undian PAS dan UMNO, kita mempunyai satu peluang yang sangat baik melalui perpaduan ummah menerusi MN untuk ambil balik Selangor.

“Saya kira dengan kesempatan yang ada, kita tak boleh berpecah lagi. Bagi PAS, bukan saja (bekerjasama) dengan UMNO, malah semua parti Melayu Islam lain yang mahu bersama-sama termasuk BERSATU,” katanya kepada BH, hari ini.

‘Dakwaan PAS khianat, jangan sampai semuanya melopong’

Masa depan MN menjadi tanda tanya apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam satu wawancara Isnin minggu lalu, berkata parti itu dan Barisan Nasional (BN) akan bertanding secara bersendirian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tanpa kerjasama parti lain termasuk PAS.

Menafikan kecewa dengan MN, Ahmad Zahid bagaimanapun menyebut mengenai pengkhianatan berulang kali terhadap UMNO, namun tidak memperincikan maksud kenyataan itu.

Kelmarin, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid menjelaskan soal kerjasama dalam PRN Melaka belum diputuskan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu yang bermesyuarat Khamis lalu.

Sementara itu, Dr Ahmad Yunus yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sijangkang berkata, formula bertanding secara bersendirian dan hanya bekerjasama selepas PRU-15 adalah tidak sesuai kerana ia menyebabkan peluang meraih kemenangan menjadi tipis.

“Sudah tentu peluang ini lebih tipis, kenapa kita tak ambil peluang yang besar sebelum PRU berbanding selepas PRU yang mungkin menyebabkan kita tidak akan ke mana pun.

“Malah pada PRN Melaka walaupun mungkin senarionya berbeza, saya lihat perlu ada kebersamaan untuk duduk semeja, berlapang dada berbincang soal pembahagian kerusi.

“Memang setiap parti mahu jumlah kerusi yang besar, tetapi jika boleh dibincangkan formula pembahagian secara kebersamaan, ia mungkin hasilkan kekuatan yang lebih baik,” katanya.

Dr Ahmad Yunus berkata, beliau memahami ‘ketajaman’ hubungan di antara UMNO dan BERSATU berdasarkan sejarah mereka.

Bagaimanapun, beliau berkata, semua pihak perlu berlapang dada dan melihat jauh ke hadapan berdasarkan keputusan PRU-14 yang perlu dijadikan pengajaran.

Katanya, dalam sesebuah negara atau negeri, demografi majoriti perlu menjadi pentadbir kerana ia adalah pasak kepada kestabilan politik dan pentadbiran.

“Yang sangat jelas di Selangor, jika kita lihat keputusan PRU lalu, akibat perpecahan atau tidak ada kebersamaan menyebabkan parti berasaskan Melayu Islam ini hilang kuasa.

“Bagi UMNO dan BN, sudah tiga penggal hilang kuasa di Selangor,” katanya. BH

Kerjasama UMNO, PAS dalam MN perlu dipertahan – Pas Selangor


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


3 pemimpin Umno konsensus pilih calon

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker