Rentas negeri: Tempahan hotel meningkat 40 peratus

Sebaran :

SHAH ALAM – Persatuan Hotel Malaysia (MAH) menganggarkan tempahan bilik hotel di beberapa lokasi meningkat sehingga 40 peratus terutamanya pada hujung minggu ini susulan aktiviti rentas negeri dibenarkan bermula Isnin lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Yap Lip Seng berkata, lokasi terbabit adalah Pulau Pinang; Port Dickson, Negeri Sembilan; Ipoh, Perak dan Pulau Langkawi, Kedah.

Menurutnya, sebelum pembukaan rentas negeri, kadar tempahan bilik hotel sekitar 25 hingga 30 peratus.

“Selepas pengumuman rentas negeri, beberapa destinasi telah menerima peningkatan tempahan hotel terutamanya pada hujung minggu, antaranya termasuklah Pulau Pinang, Port Dickson, Negeri Sembilan; Ipoh, Perak; dan Pulau Langkawi; Kedah yang telah menjadi destinasi terpilih sejak pembukaan gelembung pelancongan.



“Bagaimanapun, kemungkinan besar ini kesan sementara sahaja yang disebabkan oleh permintaan mendadak terpendam (pent-up demand) dan tertumpu kepada hujung minggu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Tambah beliau, dengan perkembangan positif ini, diharap ia berupaya memulihkan industri hotel yang terjejas teruk sejak pandemik Covid-19 melanda dunia termasuk Malaysia tahun lalu.

Dalam pada itu, Lip Seng berkata, industri pelancongan dan hotel masih memerlukan pasaran antarabangsa untuk proses pemulihan yang lebih lancar.

Ini kerana katanya, kebergantungan kepada pasaran domestik semata-mata belum mencukupi.



“Industri pelancongan dan hotel masih memerlukan pasaran antarabangsa kerana kemampuan berbelanja domestik sangat rendah.

“Jadi, kami masih menunggu pembukaan semula sempadan negara untuk ketibaan pelancong antarabangsa,” katanya.

Pada 10 Oktober, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan rentas negeri dibenar bermula 11 Oktober.

Kebenaran itu diberikan selepas kadar vaksinasi individu dewasa yang lengkap menerima vaksin telah mencapai 90 peratus.



Bagaimanapun, Ismail Sabri menegaskan kebenaran itu tidak terpakai kepada lokaliti yang diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Rentas negeri: Tempahan hotel meningkat 40 peratus


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Persatuan hotel tak setuju kerajaan batal ujian Covid-19 ke Langkawi


Sebaran :

Leave a Reply