Kertas Pandora: Abim gesa RUU wajibkan pemimpin negara isytihar aset

Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menggesa sebuah rang Undang-undang (RUU) dibentangkan untuk mewajibkan pemimpin negara mengisytiharkan aset mereka susulan pendedahan Kertas Pandora baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan, Presiden Abim, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, pihaknya memandang serius pendedahan tersebut yang mengaitkan beberapa tokoh politik negara.

“Abim menggesa perlu ada rang undang-undang yang mewajibkan setiap pemimpin negara mengisytiharkan nilai wang serta aset yang dimiliki mereka baik yang ada di dalam serta luar negara.

“Rang undang-undang ini juga perlu mewajibkan setiap pemimpin negara berkenaan menjelaskan sumber serta bagaimana aset-aset ini dikumpulkan,” kata Faisal.

Kertas Pandora merujuk kepada sejumlah dokumen yang dibocorkan kepada Pusat Kewartawanan Penyiasatan Antarabangsa (ICIJ), yang juga merupakan rakan kongsi Malaysiakini.

Kebocoran itu berasal dari sejumlah syarikat yang membantu pelanggan menubuhkan atau menguruskan akaun luar pesisir dan syarikat di syurga perlindungan cukai (tax haven).

Malaysiakini telah mendedahkan beberapa tokoh yang dinamakan dalam Kertas Pandora itu termasuk Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz, Timbalan Menteri kewangan, Yamani Hafez Musa, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, Anggota Parlimen Selayang William Leong dan bekas menteri kewangan Daim Zainuddin.

Pada masa ini, tidak ada undang-undang yang mewajibkan anggota pentadbiran kerajaan, ahli parlimen dan ahli Dewan Negara mengisytiharkan aset mereka.

Pada tahun 2019, Dewan Rakyat meluluskan usul agar semua anggota parlimen mengisytiharkan aset mereka kepada Speaker Dewan dan salinannya diberikan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Bagaimanapun SPRM berkata tiada tindakan boleh diambil terhadap mereka yang enggan berbuat demikian.

Bahaskan di Dewan Rakyat

Abim merupakan sebuah NGO Islam yang pernah dipimpin oleh ketua pembangkang, Anwar Ibrahim dari tahun 1974 hingga 1982.

Dalam kenyataannya, Faisal menyokong usul Anwar agar pendedahan dalam Kertas Pandora dibahaskan di Dewan Rakyat.

“Abim merasakan desakan menerusi usul yang dibuat oleh Anwar agar pendedahan ini dibahaskan di parlimen adalah tepat memandangkan ia membabitkan ketelusan dan integriti dalam kalangan ahli politik khususnya mereka yang pada masa kini menjawat tugasan penting dalam pentadbiran pada ketika ini.

“Rakyat perlu terus menyuarakan keprihatinan mereka dengan tuntutan agar pendedahan Pandora Papers perlu dibahaskan secara terbuka semasa sidang rasmi Parlimen dan disiasat menerusi mekanisme perundangan rasmi,” tambah Faisal.

Minggu lalu, Anwar menggesa Dewan Rakyat agar membahaskan pendedahan dalam Kertas Pandora, namun gagal.

Speaker Dewan Rakyat, Azhar Harun menolak usul tergempar berkenaan dengan mengatakan perkara itu tidak cukup mendesak untuk dibahaskan dan sebaliknya harus diteliti oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen atau Suruhanjaya Siasatan Diraja.

Ahli Parlimen Port Dickson itu kemudian mengemukakan rayuan tetapi sekali lagi ditolak oleh Azhar dengan mengatakan bahawa keputusannya muktamad.

Ini mendorong Anwar mendakwa Azhar – seorang bekas peguam – bertindak sebagai “peguam bela” bagi mereka yang didedahkan dalam Kertas Pandora tersebut.

Persidangan Dewan Rakyat akan disambung pada 25 Oktober.

Kertas Pandora: Abim gesa RUU wajibkan pemimpin negara isytihar aset


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Perbezaan Kertas Pandora dan rantai ala Pandora

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker