Saya dijadikan kambing hitam

DOKTOR peribadi Diego Maradona mendakwa dirinya tidak bersalah dan berkata, dia dijadikan sebagai ‘kambing hitam’ selepas polis menyerbu kediamannya, semalam.

Dalam satu kenyataan penuh emosi, Leopoldo Luque berkata, dia terkejut apabila dituduh melakukan kecuaian selepas laporan polis dibuat kematian legenda bola sepak itu berpunca daripada pembunuhan.

Pemenang Piala Dunia, Maradona, 60, yang merupakan ikon Argentina, mati kerana kegagalan jantung di kediamannya dekat Buenos Aires, Rabu lalu.

Dua anak perempuannya, Dalma dan Giannina memberitahu polis, kelmarin, bahawa mereka mengesyaki rawatan perubatan yang diterima Maradona tidak sesuai.

Semalam, selepas 40 minit polis menggeledah kediamannya, Dr. Luque berkata, dia telah melakukan yang terbaik untuk sahabatnya itu, selain turut mendedahkan Maradona bertarung dengan masalah penagihan sewaktu kematiannya.

Dengan linangan air mata di wajahnya, doktor itu berkata: “Saya terkejut apabila polis muncul di depan pintu rumah saya. Saya akan memberikan kerjasama sepenuhnya.

“Saya tahu apa yang saya lakukan dan segala tindak tanduk saya juga bertujuan untuk kebaikan Maradona sehinggalah pada saat terakhir hayatnya. Saya lakukan sedaya yang saya mampu.

“Saya berasa sangat sedih kerana seorang sahabat telah meninggal dunia. Saya tidak menyalahkan diri saya. Apa yang berlaku ini tidak adil.”

Doktor tersebut yang jelas kecewa berkata, dia jarang bertemu dengan anak-anak perempuan Maradona, sementara adik beradik dan anak buah lelaki legenda itu menghormatinya.

“Seseorang sedang cuba mencari kambing hitam di sini apabila mereka gagal meletakkan kesalahan itu kepada mana-mana individu.

“Kami telah berusaha sedaya yang kami mampu untuk Diego,” kata Dr. Luque yang melemparkan kritikan terhadap siasatan polis.

Katanya, Maradona yang menjalani pembedahan otak awal bulan ini, kelihatan sangat muram beberapa hari sebelum kematiannya.

Doktor itu memberitahu, legenda bola sepak tersebut berdepan masalah dengan pengambilan pil dan alkohol.

“Dia menghukum dirinya dengan cara yang saya sendiri tidak akan izinkan, bukan sebagai doktor, tetapi sebagai seorang sahabat,” tambahnya.

Dr. Luque juga menyifatkan bintang bola sepak tersebut seorang individu yang ‘leceh’.

“Anda tidak boleh berbuat apa-apa jika Diego tidak mahu melakukannya.

“Dia bencikan doktor dan pakar psikologi. Dengan saya, dia berbeza kerana saya jujur dengannya. Dia sahabat saya,” jelas doktor itu.

Dr. Luque berkata, bekas perancang Barcelona dan Napoli itu sepatutnya dihantar ke pusat pemulihan selepas menjalani pembedahan otak.

“Jika saya bertanggungjawab pun dengan apa yang berlaku ke atas Diego, ia hanyalah untuk kebaikannya dan membantu meningkatkan kualiti kehidupannya,” katanya.

Maradona mengetuai Argentina ke perlawanan akhir pada Piala Dunia sebanyak dua kali berturut-turut iaitu pada 1986 dan 1990, apabila dia memenangi trofi buat kali pertama dalam kariernya yang gemilang, tetapi turut dicemari kontroversi termasuk penagihan dadah dan pembabitan dengan mafia Itali.

Dia juga disingkirkan daripada Piala Dunia 1994 kerana mengambil dadah yang membantu merangsang persembahannya.

Penggeledahan kediaman Luque bermula, pagi semalam, empat hari selepas legenda berusia 60 tahun itu meninggal dunia.

Pendakwaraya yang menerima perintah itu, yang dikatakan telah dipersetujui oleh hakim, difahamkan sedang berusaha untuk memastikan sama ada legenda bola sepak tersebut merupakan mangsa kepada kecuaian perubatan.

Perubahan dramatik dalam siasatan kematian itu ekoran terdapat laporan yang mendakwa Diego bertelingkah dengan Luque beberapa hari sebelum dia mengalami kegagalan jantung.

Sebuah stesen televisyen tempatan menyiarkan imej polis memasuki klinik Luque. Media Argentina melaporkan, Luque boleh disoal sebagai ‘imputado’ iaitu seseorang yang sedang disiasat di bawah siasatan rasmi kerana disyaki melakukan mala praxis atau kecuaian berbanding tampil selaku saksi.

Tiada cadangan pada peringkat ini bahawa dia akan didakwa dengan sebarang perbuatan jenayah.
Peguam Maradona, Matias Morla, minggu lalu, menuntut siasatan peringkat tertinggi dilaksanakan mengenai bantuan kecemasan yang didakwanya lewat diberikan kepada legenda bola sepak itu.

Morla berkata, ambulans pertama mengambil masa lebih daripada setengah jam untuk sampai ke kediaman yang disewa bintang tersebut di utara Buenos Aires. Dia menyifatkan kelewatan itu sebagai satu ‘jenayah yang bodoh’.

Morla turut mendakwa, Maradona tidak menerima sebarang pemeriksaan perubatan dalam tempoh 12 jam sebelum kematiannya, yang mana tuduhan itu bakal meningkatkan tekanan ke atas Luque.

Legenda bola sepak Argentina itu sempat bergambar dengan Luque selepas menjalani pembedahan otak, hanya dua minggu sebelum dia ditimpa serangan jantung yang membawa kepada kematiannya.

Kelmarin, terdapat dakwaan jururawat Maradona mengakui berbohong bahawa dia ada melakukan pemeriksaan ke atas Maradona pada awal pagi.

Pengakuan mengejutkan itu telah mencetuskan lebih banyak misteri yang menyelubungi waktu sebenar kematian Maradona.

Laporan awal mendedahkan anak saudara lelaki Maradona berusia 24 tahun, yang menetap bersamanya, menjadi individu terakhir melihatnya masih hidup semasa sarapan pagi pada hari kematiannya.

Maradona telah menyatakan kepada anak saudaranya itu bahawa dia berasa tidak sihat sebelum kembali ke katilnya dan meninggal dunia di dalam tidur sebelum penyiasat dimaklumkan legenda itu tidak bangun pada Rabu untuk makan.

Penghormatan terhadap legenda itu telah dilakukan di seluruh dunia.

Maradona pernah bermain bersama kelab Argentinos Juniors, Boca Juniors, Barcelona, Napoli, Sevilla dan Newell Old Boys sewaktu kariernya yang gilang-gemilang.

Dia menjaringkan 34 gol dalam 91 penampilan bersama skuad kebangsaan Argentina sebelum bersara daripada bola sepak profesional pada 1997. – The Sun – SM

[FOTO] Dipecat Bergambar Dengan Mayat Maradona

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker