Pemohon kewarganegaraan perlu kuasai bahasa Melayu

Pemohon kewarganegaraan perlu kuasai bahasa Melayu

Individu yang lahir dalam Persekutuan sebelum 31 Ogos 1957, perlu menguasai bahasa Melayu sebagai antara syarat utama bagi kelulusan permohonan kewarganegaraan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said, berkata ia termasuk bagi individu berkenaan yang memiliki Kad Pengenalan Pemastautin Tetap (MyPR) dan sijil kelahiran Malaysia.



Selain itu, beliau berkata, individu memohon kewarganegaraan juga perlu memiliki rekod kelakuan yang baik dengan melepasi tapisan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Saya faham banyak permohonan kewarganegaraan dikemukakan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN), sama ada bawah Perkara 19, Perkara 15(1) atau Perkara 16 Perlembagaan Persekutuan.

“Cuma, asasnya adalah (pemohon) mempunyai pengetahuan berbahasa Melayu.

“Ini syarat untuk individu yang lahir dalam Persekutuan sebelum merdeka, iaitu mesti memahami dan menguasai bahasa Melayu, serta berkelakuan baik melalui tapisan PDRM.



“Ini sangat penting dalam usaha kita menilai dan memproses bagi memberi kad pengenalan (MyKad) dan kewarganegaraan mengikut undang-undang negara,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Negara, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan N Balasubramaniam mengenai punca masih ramai individu yang lahir sebelum merdeka, khususnya masyarakat India, belum diberi kad pengenalan biru.

Terdahulu, menjawab soalan asal Seruandi Saad mengenai rancangan kerajaan untuk mempertimbangkan isu kad pengenalan merah bagi masyarakat Siam yang lahir sebelum merdeka tetapi belum mendapat taraf warganegara, Ismail berkata, individu terbabit boleh membuat permohonan bawah Perkara 16 Perlembagaan Persekutuan.

Beliau menjelaskan, antara syarat permohonan kewarganegaraan mengikut Perkara 16 ialah berusia 18 tahun ke atas pada tarikh permohonan; bermastautin dalam Persekutuan bagi tempoh tujuh tahun terdahulu dan tidak kurang lima tahun pada tarikh permohonan dikemukakan; serta pemohon berniat bermastautin dalam Persekutuan.



Selain itu, katanya, pemohon perlu berkelakuan baik; mempunyai pengetahuan asas bahasa Melayu; serta mengisi borang dengan lengkap dan menyertakan semua dokumen sokongan yang diperlukan.

“Setiap fakta dan dokumen sokongan yang dikemukakan akan diteliti sewajarnya mengikut giliran.

“Sehubungan itu, tiada tempoh tertentu ditetapkan bagi pengeluaran keputusan dan ia berbeza-beza mengikut keperluan kes,” katanya. BH

Pemohon kewarganegaraan perlu kuasai bahasa Melayu




Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Fesyen Ameera Khan disamakan karpet Nilai 3



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker