Dimudahkan Sakaratul Maut Bagi Belum Islam. Ini Sebabnya

Dimudahkan Sakaratul Maut Bagi Belum Islam. Ini Sebabnya

Perjalanan setiap orang menuju ke alam barzakh berbeza-beza bergantung pada bagaimana persediaan mereka. Jika banyak amalan kebaikan yang dilakukan, sudah pasti perjalanannya dipermudahkan. Namun jika tidak cukup persediaan selama berada di alam dunia, perjalanan menuju ke alam barzakh menjadi sukar.

Walaubagaimanapun jelas Halmi Jaafar, Pengarah & Motivator G-Hard Motivation and Training terdapat perbezaan yang jelas antara orang Islam dan orang kafir ketika menghadapi saat sakarat. Bagi kita umat Islam, sudah barang tentu percaya proses saat sakarat bagi muslim adalah lebih ringan berbanding orang kafir kerana kita berada di landasan agama yang benar.



Hakikatnya, tanggapan kita itu silap. Sebenarnya bagi orang kafir mereka ketika menghadapi saat sakarat, kesakitan yang ditanggung lebih ringan berbanding umat Islam. Mengapa Allah berikan keringan sakarat kepada orang kafir sedangkan mereka tidak mahu menyembah Allah?

Jawapan kepada persoalan ini telah dijawab oleh Zaid b. Aslam dalam hadis riwayat Ibnu Majah, “Jika masih ada satu dosa pada diri seorang mukmin yang tidak tersentuh oleh amalannya, maka akan disulitkan baginya kematiannya supaya dengan sakarat dan kesulitan itu akan dapat mencapai darjat syurga.

“Sesungguhnya bagi orang kafir pula, jika telah berbuat baik di dunia, maka akan dipermudahkan kematiannya untuk menebus pahala kebaikannya di dunia dan seterusnya berjalan menuju ke neraka.”

Terang Halmi, apa yang disebutkan dalam hadis di atas telah menunjukkan dengan jelas pada kita tentang sifat ihsan Allah kepada setiap hamba Nya waima orang kafir sekalipun. Walaupun mereka ini tergolong di kalangan orang yang ingkar dan tidak beriman kepada Allah S.W.T. tetapi kerana sifat ihsan dan adil itulah mereka tetap diberikan ganjaran atas segala amal perbuatan baik yang telah mereka lakukan di dunia.



Kita tidak dapat menafikan, dalam melayari kehidupan di dunia yang hanya sementara ini, sudah pasti di kalangan orang-orang kafir yang membuat nilai murni kebaikan dan kebajikan sama ada bersedekah, berbuat baik, amanah dan sebagainya.

Bahkan terdapat juga di kalangan mereka yang turut menyumbang untuk pembangunan umat Islam seperti pembinaan masjid atau bantuan kemanusian seperti di Somalia, Rohingya, Palestin dan banyak lagi tempat.

Segala bantuan dan kebajikan ini sudah pasti tidak memberi pahala kepada mereka namun dengan segala macam bantuan dan kebaikan yang dilakukan inilah dibalas Allah sewaktu mereka menghadapi sakaratul maut.

Bukankah dalam surah al-Zalzalah ayat 7 dan 8 Allah telah menjelaskan bahawa setiap amalan yang dilakukan umat manusia, sama ada Islam atau tidak akan dibalas sesuai dengan apa yang mereka lakukan.



“Barangsiapa yang melakukan perbuatan baik sekalipun sekecil zarah nescaya ia akan melihat (balasan) nya. Dan barangsiapa mengerjakan kejahatan seberat zarah nescaya ia akan melihat (balasan) nya.”

Cuma perbezaan perbuatan baik umat Islam akan dibalas dengan pahala. Sebaliknya bagi yang belum Islam, perbuatan baik mereka tidak dibalas dengan pahala tetapi balasan kebaikan itu hanya diperoleh saat sakarat (menghadapi kematian). Lagi banyak nilai murni yang ia lakukan semakin ringan sakarat nanti.

Mati Tersenyum Bukan Kerana Rahmat

Tidak mustahil juga apabila kita mendengar kisah orang-orang yang kufur dengan Allah ini turut meninggal dalam keadaan tersenyum wajahnya. Situasi itu sebenarnya bukan bermakna Allah S.W.T. memberi rahmat pada mereka sewaktu meninggal atau kerana amalan dan kepercayaan mereka betul, tetapi itulah ihsan yang mungkin selama ia berada di dunia terlalu banyak nilai-nilai murni yang dilakukan dan dibalas ketika menghadapi sakarat yang diringankan sebagaimana yang disebut dalam hadis di atas.



Bahkan ada juga timbul desas-desus mengatakan, “Eh! orang bukan Islam mati tersenyum, sedangkan kita orang Islam mati dalam keadan menderita.”

Memang benar kerana sakarat mereka telah diringankan kerana kebaikan yang dilakukan itulah. Walau bagaimanapun ada juga orang kafir yang mati dalam keadaan terseksa dan derita, itu juga kerana kurang nilai-nilai murni yang dilakukan.

Ibnu Mas’ud pernah mengatakan, “Sesungguhnya nyawa seorang mukmin itu keluar disertai dengan cucuran keringat. Sementara nyawa orang kafir keluar disertai keluarnya buih dari bibirnya seperti keluarnya nyawa keldai.

“Sesungguhnya orang mukmin itu mungkin pernah melakukan perbuatan buruk. Oleh itu ia akan disusahkan ketika menghadapi kematiannya sebagai tebusan atas keburukannya. Sementara orang kafir mungkin pernah melakukan kebaikan, oleh itu ia akan dimudahkan dalam kematiannya sebagai tebusan atas kebaikannya.” – HR Ibnu Abi Syaibah & al-Baihaqi



Setiap orang akan merasai kematian namun yang membezakannya adalah pengalaman saat menghadapi sakaratul maut berdasarkan amalan kehidupan mereka.

Tambah Halmi lagi, bagi umat Islam seringan-ringan sakarat juga tetap terasa sakitnya. Keadaan sakitnya sebagaimana yang disabdakan oleh Baginda s.a.w. seperti sehelai selendang yang tersangkut pada pohon berduri. Ditariknya selendang itu pasti ada cebisan kain yang tercarik dan tertinggal di pohon tersebut. Itulah gambaran seringan sakarat bagi umat Islam.

Bahkan yang melakukan kejahatan juga boleh dibalas di sakarat bergantung pada dosa apa yang dilakukan. Lazimnya perbuatan derhaka terhadap kedua ibu bapa. Kemungkaran ini dibalas di dunia, saat sakarat, dalam kubur dan juga di akhirat.

Begitu juga halnya dengan dosa melakukan perbuatan zalim. Mereka akan dibalas ketika sakarat namun bagaimana keadaannya, itu bergantung pada Allah yang akan membalasnya.



Jika seringan-ringan sakit sakarat bagi umat Islam pun tetap terasa sakitnya, apatah jika sakarat itu lebih berat. Sudah pasti tidak tertahan menanggung deritanya. Sehubungan dengan itu, sebagai umat Islam yang telah diberi nikmat Islam dan mengenal Allah kejarlah kebaikan dan kebajikan dalam apa juga tindakan, serta berlumba-lumbalah mencari keredaan Allah dan keredaan sesama manusia.

Ini yang akan menjadi kunci bagi kita untuk merasai ringannya saat sakarat sebelum berpindah ke alam barzakh. Wallahu a’lam Utv

Dimudahkan Sakaratul Maut Bagi Belum Islam. Ini Sebabnya


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Fesyen Ameera Khan disamakan karpet Nilai 3

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker