Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura Perlu Dikembalikan

Oleh Nurul Aisyah

EKONOMI negara berada dalam keadaan tenat. Perkara ini perlu kita terima dan akui. Jangan biarkan penipuan mengaburi mata kita kerana isu ekonomi ini melibatkan rakyat secara keseluruhannya. Ekonomi yang gagal akan menyebabkan rakyat sengsara.

Perkara ini sangat merungsingkan Datuk Seri Najib Tun Razak. Beliau tahu keputusan-keputusan yang dibuat ketika Pakatan Harapan(PH) dan Perikatan Nasional(PN) memerintah menyebabkan ekonomi negara merudum dengan sangat teruk sehingga menjejaskan kehidupan rakyat. Salah percaturan, rakyat yang sengsara.

Demi untuk menyelamatkan rakyat dari terus menderita ditekan dengan ekonomi yang teruk, Najib menggesa agar projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura dikembalikan mengikut konsep dan perancangan asalnya.

“Tidak mengembalikan projek HSR ini dari Bandar Malaysia, Kuala Lumpur ke Singapura akan merugikan negara sebanyak RM500 bilion bagi jangka masa panjang sekiranya projek KLIA-Johor Bahru ini diteruskan,” katanya.

“Sebab itu ianya adalah satu kesilapan yang amat besar sekiranya hanya dibuat dari KLIA ke Johor Bahru.”

Beliau mencabar kerajaan mendedahkan kertas cadangan Kabinet pada 2020 supaya projek HSR Kuala Lumpur-Singapura digantikan dengan perkhidmatan baharu dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Johor Bahru.

Memetik sumber, Najib menuduh kerajaan PN sebelum ini meluluskan pertukaran itu, dengan pelantikan KLIA Express serta penggunaan teknologinya.

“Sebab itu mereka sanggup membayar pampasan sebanyak RM320 juta kepada Singapura untuk batalkan projek asal supaya kontraktor boleh dilantik terus kerajaan tanpa ‘open tender’ antarabangsa bersama Singapura,” tambahnya.

“Bolehlah beri projek secara terus ke syarikat KLIA Ekspress dimiliki syarikat tertentu sebab ada yang amat sayang pada mereka,” katanya.

Kata-katanya itu dipercayai merujuk kepada YTL Corporation, yang mengepalai konsortium yang memiliki syarikat pengendali, Express Rail Link Sdn Bhd.

Malah Najib mengingatkan kita berkenaan dakwaan bekas Menteri Pendidikan Maszlee Malik yang mendakwa didesak meletak jawatan kerana membantah kontrak melibatkan YTL Communications, yang mencetuskan kemarahan Presiden partinya, Muhyiddin Yassin.

Pembatalan projek HSR itu diumumkan kerajaan pada 1 Jan selepas Singapura tidak bersetuju dengan pindaan dicadangkan Malaysia.

Kertas cadangan akhir diluluskan kerajaan PN menunjukkan jumlah penumpang akan berkurangan separuh kepada 4.2 juta setahun menjelang 2031 tanpa penyertaan Singapura.

“Kos projek HSR KLIA-JB adalah antara RM64 bilion hingga RM65 bilion, iaitu tidak jauh berbanding kos asal KL-Singapura sebanyak RM60 bilion,” katanya.

Katanya, selain projek tidak lagi berdaya maju dan kerajaan terpaksa menampung kerugian selama puluhan tahun, projek Bandar Malaysia dengan nilai pembangunan kasar RM140 bilion juga tidak akan kesampaian.

Keputusan yang tepat tanpa kepentingan peribadi sangat penting apabila ianya melibatkan ekonomi rakyat. Kita sangat berharap agar desakan Datuk Seri Najib agar projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura dikembalikan mengikut konsep dan perancangan asalnya dapat direalisasikan agar ekonomi Malaysia dapat pulih semula.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker