Kenapa perlu hibah dalam Islam?

Kenapa perlu hibah dalam Islam?

Harta adalah sebahagian daripada nikmat Allah yang dianugerahkan kepada hamba Nya. Orang yang memiliki harta tidak semestinya dia memperoleh ganjaran semata-mata, tetapi boleh jadi juga itu adalah sebahagian ujian kepadanya.

Bermakna ujian Allah bukan hanya datang dalam bentuk penderitaan seperti kemiskinan, bahkan ia juga berupa kekayaan. Ini tidak lain untuk menilai sejauh mana rasa kehambaan mereka kepada Allah S.W.T.



Rasulullah s.a.w. tidak pernah menimbunkan harta kerana semuanya habis dibelanjakan untuk jalan Allah membantu orang-orang yang miskin. Allah juga melarang harta yang dimiliki hanya berlegar di kalangan orang-orang kaya sahaja. Kerana itu harta perlu dimanfaatkan bersama, sama ada dalam bentuk zakat, sedekah atau hibah.

Dalam surah al-Hasyr: 7, Allah berfirman

“Apa sahaja harta rampasan (fai-i) yang diberikan Allah kepada Rasul Nya (dari harta benda) yang berasal daripada penduduk kota-kota, maka adalah untuk Allah, rasul, kamu kerabat anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang dalam perjalanan supaya harta itu tidak hanya berlegar di antara orang-orang kaya sahaja di antara kamu. Apa yang diberikan Rasul kepadamu maka terimalah. Dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah amat keras hukumannya.”

Justeru itu, harta yang diperoleh bukan sahaja boleh diuruskan melalui zakat, sedekah atau wasiat sahaja, bahkan harta juga boleh dijadikan sebagai hibah sebagaimana dalam firman Allah surah al-Baqarah: 177



“…dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang-orang miskin, musafir (yang memerlukan pertolongan) dan orang-orang yang meminta-minta dan (memerdekakan) hamba sahaya.”

Islam mengharuskan harta yang dimiliki boleh dihibahkan kerana ia merupakan salah satu mekanisme yang terkandung dalam pengurusan harta, begitu kata Hafiz Noramli Halimi, Pensyarah Pengajian Islam Kolej Komuniti sewaktu ditanya tentang Hibah. Ulasnya lagi, dari segi bahasa, hibah ialah pemberian yang diberikan bukan kerana tanggungjawab tertentu namun pemberian itu memberi manfaat kepada si penerima.

Dari sudut syarak pula, hibah membawa konotasi suatu kontrak (akad) yang merujuk kepada pemindahan hak milik seseorang tanpa sebarang gantian ketika masih hidup dan ia dilakukan secara sukarela.

Definisi ini sedikit berbeza dengan wasiat kerana, sekalipun wasiat merupakan pemindahan hak milik seseorang yang bukan untuk suatu gantian, akan tetapi ia dilaksanakan selepas berlakunya kematian.



Sementara sedekah pula secara zahirnya adalah suatu bentuk pemindahan hak milik seseorang kepada orang yang lebih memerlukan. Tujuannya tidak lain hanya sebagai usaha mendekatkan diri kepada Allah dan memperoleh pahala keredaan Nya.

Dalam perlaksanaan hibah, pengertiannya hanyalah bersifat umum. Justeru itu sesiapa sahaja boleh memberi atau menerima hibah tidak kira sama ada ia daripada golongan kaya atau miskin.

Perlaksanaannya juga boleh jadi untuk mendapatkan pahala serta keredaan Allah, atau boleh jadi juga tidak. Manakala barangan yang dihibahkan (diberikan) boleh juga dipindahkan kepada penerima atau sebaliknya.

Jenis Harta Hibah



Tegas hafiz lagi, bagi yang ingin berhibah, tiada had jumlah mahupun bilangan pada barang atau harta yang hendak dihibahkan. Bahkan apa sahaja barangan yang boleh dijual beli boleh dijadikan sebagai harta hibah namun perlu memenuhi tiga syarat iaitu,

Barang yang ingin dihibahkan itu wujud dan ada ketika ia diberikan (dihibahkan)
Barang tersebut adalah barang yang mempunyai nilai dan memenuhi syariat Islam. Tidak sah memberikan barangan seperti bangkai, darah, arak, khinzir dan lain lain

Barangan yang ingin dihibahkan itu mestilah daripada hak milik si pemberi bukan hak milik orang lain.
Selain syarat yang dinyatakan di atas terdapat tiga rukun hibah yang mana setiap satu rukun tersebut ada disertai syarat-syaratnya iaitu.

Dua pihak yang berakad (berkontrak) iaitu pemberi dan penerima. Pemberi perlu memenuhi syarat berikut:



Pemberi mestilah pemilik kepada barang yang hendak diberi
Mestilah layak untuk memberi sumbangan. (bukan kanak-kanak dan orang gila)
Mempunyai kuasa penuh untuk menggunakan hartanya.
Sighah (lafaz kontrak) syarat-syarat sighah
Penawaran dan persetujuan mestilah berkesinambungan
Tidak bersyarat
Tidak bertempoh
Barang yang hendak dihibah.
Tarik balik Hibah

Dengan hibah tuntasnya lagi, ia dapat mewujudkan masyarakat ideal dan harmoni yang hidup berlandaskan semangat kasih sayang dan kemesraan serta saling berhubungan dengan rapat. Ini dikuatkan lagi dengan sabda Baginda s.a.w.

“Bertukar-tukarlah hadiah nescaya kamu akan berkasih sayang” (HR Imam Malik)

Walau bagaimanapun bagi seseorang yang sudah berhibah mereka tidak berhak menuntut semula pemberian yang telah diberikannya setelah ia sah diterima oleh penerima hibah tersebut.



Dalam situasi ini Baginda s.a.w. mencela mereka dengan sabdanya,

“Orang-orang yang meminta semula pemberiannya sama seperti orang yang menjilat semula muntahnya.” (HR Bukhari Muslim)

Namun hukum tersebut dikecualikan bagi hibah yang diberikan oleh bapa kepada anak. Seorang bapa berhak menuntut semula anugerah atau hibah yang diberikan walaupun ia telah sah menjadi milik penerima hibah tersebut bersandarkan pada hadis Nabi s.a.w.

“Tidak halal bagi seorang lelaki memberikan sesuatu pemberian atau menganugerahkan sesuatu anugerah kemudian dia memintanya semula kecuali bapa meminta semula apa yang diberikan kepada anaknya” (HR Imam Tirmizi dan Abu Daud) Utv

Kenapa perlu hibah dalam Islam?

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Februari 2023 paling unik, berlaku 823 tahun sekali

Zalim kalau tak hargainya – Shuib

Aliff akhirnya mengesahkan kontroversinya bersama Sophia Albarakbah

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker