Muflis Gara-Gara Elak Bayar

Apabila disebut tentang Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) penulis sering teringat kisah pengakuan seorang bekas pemain bola sepak kebangsaan era 90-an terlibat dalam perbuatan mengelak membayar cukai.

Siapa sangka seorang pemain bola sepak pun cuba mengelak daripada melaksanakan tanggungjawab kepada negara. Itulah sifat manusia yang sukar mahu berkongsi nikmat hidup mereka.

Tetapi implikasinya sangat besar apabila kantoi. Pemain bola yang pernah mengecapi zaman gemilang memenangi kejuaraan Piala Malaysia tersebut menceritakan dia dijatuhkan muflis disebabkan perbuatan tersebut.

“Bayangkan bila kita dah diisytiharkan bankrap oleh mahkamah, semua duit dan harta hilang dirampas oleh pihak berkuasa. Malah, saya juga tak boleh bekerja hingga ia menjejaskan kehidupan saya sampai sekarang.

“Paling sedih, saya pernah dipanggil untuk menjadi tetamu bual bicara bola sepak, tetapi terpaksa menunggu bayaran cukup lama kerana masalah status bankrap yang menyebabkan wang tak boleh dikreditkan ke akaun bank,” katanya.

Begitu juga pada tahun 2017 apabila dilaporkan banyak selebriti Malaysia tidak membayar cukai pendapatan mereka walaupun memperoleh pendapatan berjuta-juta ringgit.

Pada tahun 2019 isu sama terbongkar apabila lebih 30 artis muda popular atau yang menikmati pendapatan ratusan ribu ringgit diletakkan di bawah radar LHDNM selepas didapati gagal mendaftar sebagai pembayar cukai.

Artis muda yang mampu memperolehi pendapatan lumayan sehingga enam angka sebulan hasil persembahan, jemputan stesen televisyen, penajaan syarikat korporat atau hadiah program realiti disertai cuba mengelak cukai.

Kesan daripada perbuatan mengelak cukai sangat buruk kepada negara. Ibarat pendapatan yang sepatutnya diperoleh Malaysia untuk pembangunan dan kemakmuran telah dirompak.

Penulis masih ingat tentang kisah pada 2011 apabila negara dilaporkan kerugian sekitar RM2.02 bilion akibat perbuatan 1,748 syarikat pelbagai sektor yang dikesan oleh LHDNM lari cukai dalam tempoh tiga tahun.

Kesimpulannya mudah sahaja. Mereka yang mengelak daripada membayar cukai bolehlah dianggap telah melakukan pengkhianatan kepada negara.

Malaysia perlu mempunyai sumber bagi menampung segala keperluan negara terutamanya dalam membangunkan kemudahan infrastruktur dan mereka ini antara yang menyulitkan.

Bagaimana kerajaan dapat memajukan kampung tradisional dan bandar kecil, membina jalan raya baharu, sekolah, universiti dan sebagainya tanpa dana yang mencukupi.

Maka kepada seluruh rakyat Malaysia yang layak membayar cukai ingatlah kewajipan membayar cukai merupakan satu daripada semangat patriotisme terhadap negara.

Kecuali anda tiada semangat tersebut dan tidak mempedulikan masa depan negara itu adalah diri anda insan yang terkeji lagi memalukan.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker