Pengenalan Tulisan Jawi tetap kekal pada 2021

 

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan memaklumkan pengenalan tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu bagi murid sekolah Tahun 4 di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan diteruskan pada 2021.

Timbalan Menteri Pendidikan Muslimin Yahaya berkata kementerian pada dasarnya mengikut keputusan yang dibuat Jemaah Menteri pada 14 Ogos tahun lepas.

“Sebenarnya tulisan Jawi “dimomokkan”. Kita bukan mengajar pelajar kita menulis dan membaca berkaitan dengan tulisan Jawi.

“Kita hanya dalam proses pengecaman,” katanya di Dewan Rakyat, menjawab pertanyaan Sabri Azit (PAS-Jurai) yang ingin tahu sama ada pengenalan tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dikekalkan pada 2021.

Sementara itu, Muslimin berkata kementerian merasakan tulisan Jawi sebahagian seni bahasa.

“Kita mahu rakyat kita perkayakan warisan rakyat kita dan kita harapkan pengetahuan seni diberikan kepada pelajar,” katanya.

Pengenalan tulisan Jawi dimuatkan dalam tiga halaman buku teks Bahasa Melayu, dengan tumpuan kepada tulisan pada lambang negara, ringgit, dan setem.

Tidak dinilai dalam apa-apa ujian, ia hanya dilakukan jika dipersetujui Persatuan Ibu Bapa dan Guru serta ibu bapa dan murid.

Rancangan kerajaan memperkenalkan Jawi kepada murid Tahun 4 di SJK berdepan bantahan kuat daripada kumpulan pendidikan Cina.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker