Agong, Permaisuri lawat projek Battersea

Agong, Permaisuri lawat projek Battersea

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, berkenan melawat Stesen Janakuasa Battersea, projek hartanah ikonik pelaburan Malaysia di London, hari ini.

Menerusi perkongsian di Facebook rasmi Istana Negara, keberangkatan tiba baginda berdua diiringi Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom, Zakri Jaafar.

Keberangkatan tiba baginda pada jam 11 pagi waktu tempatan itu disambut barisan kepemimpinan Battersea Project Holding Company bersama wakil Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Sime Darby Property dan SP Setia Berhad.

Dalam lawatan selama dua jam itu, baginda berdua berkenan menerima persembahan taklimat mengenai perkembangan terkini projek hartanah berkenaan yang membabitkan nilai pembangunan kasar sebanyak sembilan bilion pound (RM51.53 bilion).

Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong turut berkenan berangkat meninjau fasa perumahan yang siap dibina dan berkenan mendedahkan plak peringatan bagi memperingati lawatan baginda berdua ke projek hartanah terbabit.

Stesen Janakuasa Battersea adalah projek hartanah berkeluasan 16.99 hektar membabitkan usaha sama antara Sime Darby Property, SP Setia Berhad, KWSP dan PNB sejak 2012.

Lawatan ke Stesen Janakuasa Battersea itu adalah antara atur cara sempena Lawatan Khas Seri Paduka Baginda berdua ke United Kingdom selama 10 hari bermula pada 17 September lalu.

Atur cara lawatan khas ini turut diisi dengan lawatan ke Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Belgrave Square dan Pusat Penyelidikan Tun Abdul Razak di Brickendonbury, Hertford serta pertemuan antara Seri Paduka Baginda berdua bersama komuniti rakyat Malaysia di London.

Yang di-Pertuan Agong turut dijadualkan berangkat menghadiri Sandhurst Reunion Dinner di Royal Military Academy Sandhurst, tempat baginda pernah menimba ilmu ketenteraan di akademi berkenaan dari 1978 hingga 1979.

Baginda turut dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Ketua Staf Pertahanan United Kingdom, Sir General Nicholas Carter, yang akan menyentuh mengenai hubungan kerjasama ketenteraan dua hala Malaysia dan United Kingdom. Carter juga pernah menuntut di Royal Military Academy Sandhurst.

Selepas berakhir lawatan khas itu, baginda berdua berkenan beristirahat di London bermula dari 27 September ini dan dijadualkan berangkat pulang ke tanah air pada 23 Oktober depan.

Lawatan khas ini adalah kali kedua bagi baginda ke United Kingdom sejak dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16.

Lawatan khas yang pertama diadakan dua tahun lalu, selama tujuh hari bermula 9 Disember 2019. BH

Agong, Permaisuri lawat projek Battersea


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Tembakan rambang di pasar raya, 2 maut

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker