KWSP bimbang, hampir separuh pencarum bawah 55 tahun hanya ada tabungan kurang RM10,000

Sebaran :

KWSP bimbang, hampir separuh pencarum bawah 55 tahun hanya ada tabungan kurang RM10,000

Sebanyak 46% pencarum berusia bawah 55 tahun hanya mempunyai caruman kurang daripada RM10,000 dalam simpanan mereka, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata, KWSP amat bimbang dengan keselamatan persaraan rakyat, walaupun yakin pakej rangsangan dan inisiatif kerajaan akan dapat membantu meningkatkan sentimen perniagaan dan permintaan dalam negara.

“Pandemik ini mengakibatkan kejatuhan ketara dalam peratusan ahli yang mencapai simpanan asas (RM240,000 pada 55 tahun) daripada 36% kepada 27%, susulan daripada pengeluaran yang dibuat bagi menampung pendapatan mereka ketika krisis Covid-19,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Beliau berkata, Covid-19 juga mencetuskan peningkatan jumlah pekerja gig di negara ini, biarpun ia membantu mereka untuk bertahan, ramai berhadapan dengan masalah ketidakcukupan simpanan persaraan akibat pendapatan yang tidak tetap atau stabil.

Selain itu, katanya manfaat pekerja dan liputan perlindungan sosial mereka juga bakal terjejas.

“Kesannya bukan saja terhadap kesejahteraan masa depan pekerja, malahan akan membebankan kerajaan.

“Strategi utama KWSP di masa hadapan adalah untuk memastikan pekerja gig serta mereka yang bekerja dalam sektor tidak formal untuk diserap ke dalam skim KWSP agar mereka juga berpeluang menabung seawal mungkin dan merancang persaraan.

“Penyelesaian jangka masa panjang amat diperlukan bagi memastikan perlindungan sosial yang lebih baik untuk semua rakyat Malaysia,” katanya.

Bagi membantu ahli terkesan pandemik, KWSP melancarkan kemudahan i-Sinar dan i-Citra yang bertujuan untuk meringankan beban kewangan ahli.

Setakat ini, RM67.6 bilion dikeluarkan merangkumi 6.6 juta pemohon i-Sinar membabitkan nilai RM58.8 bilion dengan RM58.5 bilion daripadanya sudah disalurkan, manakala i-Citra pula sebanyak lima juta pemohon berjumlah RM20.8 bilion dengan jumlah yang sudah disalurkan RM9.1 bilion.

Sekitar 89% pemohon i-Sinar dan 86% pemohon i-Citra menyatakan bahawa pengeluaran dibuat digunakan untuk menampung perbelanjaan harian atau keperluan kewangan mendesak.

KWSP bimbang, hampir separuh pencarum bawah 55 tahun hanya ada tabungan kurang RM10,000


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Tembakan rambang di pasar raya, 2 maut


Sebaran :

Leave a Reply