Balasan Mencela Mayat, Jangan Ikut Hati

Balasan Mencela Mayat, Jangan Ikut Hati

“Janganlah kalian mencela mayat kerana mereka telah sampai (mendapatkan) apa yang mereka kerjakan.” – HR Bukhari

“Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.” Pepatah Melayu yang sarat dengan budi bahasa itu jelas difahami. Jika berbuat kebaikan, pasti namanya disebut-sebut walaupun telah meninggal dunia.

Namun jika sebaliknya, pasti tujuh keturunan pun tidak lagi berhenti orang bercerita tentangnya. Itulah sikap manusia! Menjadi tabiat, ada sahaja cerita mengenai manusia lain yang ingin dikongsi, meskipun insan itu telah meninggal dunia.

Bukan mudah hidup di zaman teknologi hari ini. Pelbagai cerita dicanang merata. Kadang-kadang sesuatu perbuatan itu bukan dibuat oleh si dia, tapi yang mengata seolah pernah hidup bersamanya, semua hal orang itu dalam poketnya. Alahai… macam mana la nanti nak mengesot di padang mahsyar mencarinya untuk meminta maaf.

Hal itu dibicarakan oleh Pensyarah, Akademi Islam Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Wan Ramizah Hasan menjelaskan, haram hukumnya bagi sesiapa yang mencaci atau membuka aib orang, tidak kira sama ada orang itu masih hidup atau meninggal dunia.

Jelas Wan Ramizah, walaupun orang yang telah meninggal itu pernah melakukan kesilapan sekalipun, ianya tidak boleh dibicarakannya lagi selepas dia meninggal dunia. Serahkan segalanya kepada Allah, kerana segala perbuatan baik atau buruk pasti akan mendapat balasan, sebagaimana hadis Nabi s.a.w.

“Janganlah kalian mencela mayat kerana mereka telah sampai (mendapatkan) apa yang mereka kerjakan.” – HR Bukhari

Orang meninggal telah kembali kepada fitrah, iaitu kembali kepada Allah. Segala urusan dia dengan dunia telah terputus dan yang ada hanyalah kenangan. Apabila telah kembali kepada Allah, sepatutnya kita tidak menceritakan keburukan orang kerana dia telah kembali pada Allah yang selayaknya menghukum atas apa yang dilakukannya ketika di dunia.

Apatah lagi jika apa yang dibicarakannya itu sebenarnya bukan perkara yang betul atas perbuatan si mayat. Sesekali jangan cuba membuka ruang untuk memburukkan orang lain, jika perkara itu benar dilakukannya, ianya akan jadi mengumpat, namun jika salah ia jadi fitnah.

Sanggupkah memakan daging saudara kita sendiri sebagaimana firman Allah surah al-Hujurat: 12

“..dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya.”

Begitu juga amaran Allah mengenai bahana fitnah sebagaimana firman-Nya surah al Baqarah: 217,

“Berbuat fitnah lebih besar dosanya daripada membunuh.”

Juga menerusi ayat 10 surah al-Buruj,

“Sesungguhnya orang-orang yang mendatangkan fitnah kepada orang-orang mukmin laki-laki dan perempuan, kemudian mereka tidak bertaubat, maka bagi mereka azab jahanam dan bagi mereka azab (neraka) yang sangat pedih.”

Kadang-kadang, orang yang dicela itu sebenarnya jauh lebih baik daripada yang mencela meskipun pernah melakukan dosa besar. Ini kerana taubat yang dilakukannya hanya antara dia dengan Allah, jadi dia tidak menghebohkan kepada orang ramai.

Apatah lagi jika celaan itu dibuat atas kesalahan yang bukan dilakukannya. Mungkin dari dengar cakap-cakap orang atau sifat manusia yang sengaja ingin berprasangka buruk agar dapat perhatian dari orang lain.

Disebabkan itu juga Allah menyeru agar meneliti dulu setiap berita yang diterima agar ia tidak terjadi fitnah kepada orang lain sepertimana amaran-Nya dalam surah al-Hujurat: 6

“Wahai orang-orang Yang beriman! jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – Dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.“

Wali Allah Melanggan Pelacur

Dalam sebuah kisah yang pernah terjadi di zaman Sultan Murad keempat Empayar Abbasiyah Iraq, wajar dijadikan pedoman.

Seorang jenazah yang meninggal dunia tetapi tidak disempurnakan oleh masyarakat setempat. Apabila Sultan Murad bertanya mengenainya, lalu jawab orang kampung “Si mayat ni orang Zandiq (fasik jahat), peminum arak dan penzina yang pergi kepada pelacur!”.

Saat di rumah jenazah itu, Sultan Murad juga mendengar isteri arwah berdoa dengan menyebut “Ya Allah, kasihanilah wali Allah, sesungguhnya aku saksi dia daripada kaum solihin.”

Lalu Sultan bertanya “Macam mana kamu boleh panggil arwah sebagai wali, tetapi orang ramai mengutuknya sehingga langsung tidak dipeduli mayatnya?” Isteri dia menjawab keadaan yang berlaku itu sudah dapat dijangka olehnya.

Jelasnya si suami selalu keluar pada waktu malam untuk pergi ke kedai bar dan beli sebanyak mungkin arak kemudian membawanya balik ke rumah. Kesemua arak yang dibelinya itu dituang ke dalam tandas rumah mereka. Lantas suaminya berkata “Alhamdulillah aku telah kurangkan bala arak yang ada untuk orang Islam.”

Selepas itu, dia keluar lagi dan pergi kepada wanita pelacur dan bayar duit kepada pelacur itu agar tidak mengambil pelanggan lain pada malam itu. Setelah balik ke rumah, dia akan bersyukur kepada Allah kerana berinya keupayaan untuk ringankan dosa si pelacur dan pemuda orang Islam pada malam itu.

“Tetapi malangnya orang awam nampak dia beli arak dan masuk ke rumah pelacuran, jadi mereka sangka suami saya orang jahat.”

Jelas si isteri lagi, dia juga pernah berkata pada suaminya tentang keadaan yang berlaku sekarang. “Jikalau kamu mati, tak akan jumpa sesiapa akan mandikan kamu, solatkan jenazah dan kebumikan kamu kelak!”

Tetapi sambil tersenyum dia menjawab “Jangan takut, jenazah aku akan disolatkan oleh Sultan Negara Islam ini dengan ulama dan wali-wali Allah”

Lalu, menangislah Sultan Murad dan menguruskan jenazah itu tadi bersama wali Allah dan seluruh manusia seperti yang diucapkan oleh si mati sebelum meninggal dunia.

Cerita itu perlu dijadikan iktibar kepada kita semua. Tidak semua perkara yang orang buat nampak pada zahirnya itu benar. Namun ada pelbagai maksud tersembunyi yang hanya Allah sahaja mengetahui niatnya. Betapa mulianya hati si mati dalam cerita di atas walaupun dihina oleh jiran tetangganya. Wallahu a’lam Utv

Balasan Mencela Mayat, Jangan Ikut Hati


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Tembakan rambang di pasar raya, 2 maut

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker