Apa nasib PRK Grik dan Batu Sapi

Oleh Nurul Aisyah

MASIHKAH anda ingat Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi dan PRK Parlimen Gerik yang ditangguhkan berikutan Proklamasi Darurat? PRK Batu Sapi itu perlu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Liew Vui Keong (Warisan) pada 2 Oktober 2020 lalu akibat jangkitan paru-paru. PRK Gerik pula disebabkan kematian penyandangnya iaitu Ahli Parlimen Gerik, Allahyarham Datuk Hasbullah Osman (Barisan Nasional).

Ketika dua ahli Parlimen ini meninggal dunia, tempoh matang Pilihan Raya Umum ke 14 belum berakhir maka Pilihan Raya Kecil perlu diadakan. Walaupun ianya ditangguhkan kerana Proklamasi Darurat namun apabila darurat telah berakhir, sepatutnya PRK perlu dilaksanakan.



Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 18 November telah mengisytiharkan Proklamasi Darurat di Parlimen P.185 Batu Sapi, Sabah, sekali gus membatalkan PRK kerusi itu sebagai langkah proaktif untuk membendung pandemik Covid-19.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akur dengan pengumuman pengisytiharan Proklamasi Darurat membabitkan PRK Parlimen Batu Sapi dan PRK Parlimen Gerik.Oleh itu, Pengerusi SPR ketika itu, Datuk Abdul Ghani Salleh, memaklumkan apa-apa prosiding yang sudah dimulakan bagi tujuan Pilihan Raya Kecil (PRK) di kedua-dua kawasan itu tidak akan diteruskan. Suatu tarikh lain akan ditetapkan bagi kedua-dua PRK itu, selari dengan pengisytiharan Proklamasi Darurat di Gerik dan Batu Sapi.

Sebagaimana yang kita tahu, darurat telah pun berakhir di Sabah dan Perak. Persoalannya, adakah PRK akan diadakan di Parlimen Gerik dan Batu Sapi? Jika merujuk kepada kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh, PRK Batu Sapi akan diadakan dalam tempoh 60 hari selepas tamat tempoh proklamasi darurat yang diisytiharkan di kawasan itu. Suatu tarikh lain juga akan ditetapkan bagi PRK Gerik selari dengan pengisytiharan Proklamasi Darurat di parlimen tersebut.

Merujuk Perkara 54. Kekosongan di dalam Dewan Negara dan kekosongan luar jangka.



(1) Kecuali sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Fasal (3), apabila terdapat sesuatu kekosongan di kalangan ahli Dewan Negara atau sesuatu kekosongan luar jangka di kalangan ahli Dewan Rakyat, maka kekosongan atau kekosongan luar jangka itu hendaklah diisi dalam tempoh enam puluh hari dari tarikh dipastikan oleh Yang di-Pertua Dewan Negara bahawa ada kekosongan atau oleh Suruhanjaya Pilihan Raya bahawa ada kekosongan luar jangka, mengikut mana-mana yang berkenaan, dan suatu pilihan raya hendaklah diadakan atau suatu pelantikan hendaklah dibuat dengan sewajarnya:

Dengan syarat bahawa kegagalan membuat apa-apa pelantikan sedemikian dalam tempoh yang dinyatakan dalam Fasal ini tidaklah menidaksahkan apa-apa pelantikan yang dibuat di luar tempoh itu:

Dengan syarat selanjutnya bahawa, jika kekosongan luar jangka di Dewan Rakyat dipastikan pada suatu tarikh dalam masa dua tahun dari tarikh Parlimen akan terbubar mengikut Fasal (3) Perkara 55, maka kekosongan luar jangka itu tidak boleh diisi melainkan jika Yang di-Pertua Dewan Rakyat memberitahu Suruhanjaya Pilihan Raya secara bertulis bahawa kekuatan dari segi bilangan parti yang membentuk majoriti semua ahli Dewan Rakyat terjejas oleh kekosongan itu, dan dalam keadaan sedemikian kekosongan itu hendaklah diisi dalam masa enam puluh hari dari tarikh pemberitahuan itu diterima.

(2) (Dimansuhkan).



(3) Jika sesuatu kekosongan di kalangan ahli Dewan Negara adalah berhubungan dengan suatu kekosongan yang hendaklah diisi oleh seorang ahli yang hendaklah dipilih oleh sesuatu Negeri mengikut Jadual Ketujuh, maka peruntukan Fasal (1) tidaklah terpakai bagi mengisi kekosongan itu.

 

Ini bermakna sepatutnya PRK Batu Sapi dan PRK Gerik perlu dibuat dalam tempoh 60 hari setelah darurat ditamatkan.

Ada kemungkinan kedua-dua PRK tersebut tidak diadakan memandangkan kes harian Covid 19 masih tinggi. Sekiranya ini berlaku, apa nasib rakyat di Parlimen Batu Sapi dan Gerik? Tidak ada Ahli Parlimen yang menjaga dan membela nasib mereka sejak akhir tahun 2020 lagi.  Isu ini perlu diberi perhatian memandangkan ianya membabitkan kes kematian yang berlaku sebelum tarikh matang tamat.  Covid 19 sudah tidak boleh dijadikan alasan lagi. SPR perlu tampil dengan penyelesaian yang lebih pro aktif dan munasabah.



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker