KPM perlu tangani kerisauan ibu bapa terhadap PdP bersemuka

KPM perlu tangani kerisauan ibu bapa terhadap PdP bersemuka

Oleh Dr Nur Hafeeza Ahmad Pazil

SEJAUH mana ibu bapa dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersedia untuk sesi pembukaan semula sekolah secara bersemuka pada 3 Oktober nanti?

Amat diharapkan menjelang tarikh itu, kes COVID-19 di Malaysia menurun. Hal ini boleh dicapai jika kita mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan selain mengambil vaksin seperti disarankan.

Namun dalam masa yang sama, ibu bapa dan KPM juga sebenarnya perlu berperanan dalam mengatasi kebimbangan awam dan memastikan sekolah benar-benar selamat untuk pelajar. Justeru, persoalan mengenai keselamatan sama ada guru, pelajar atau kakitangan sekolah perlu diberi perhatian. Dalam hal ini beberapa langkah perlu diteliti antaranya;

1. Memastikan anak-anak menerima vaksin

Tidak dinafikan ibu bapa masih berasa bimbang dengan pembukaan semula sekolah secara bersemuka. Hal ini berkaitan dengan persoalan keselamatan iaitu isu pemberian vaksin kepada anak-anak.

Kajian terkini yang dijalankan di Pulau Pinang mendapati bahawa 70 peratus ibu bapa dalam kalangan etnik Melayu memahami kepentingan vaksin untuk anak-anak. Malah, 79 peratus daripada ibu bapa berkenaan sedar bahawa anak memerlukan vaksin walaupun mereka sihat.

Bagaimanapun, terdapat ibu bapa yang menyuarakan kebimbangan dan hal ini amat difahami berdasarkan laporan wujudnya risiko kes keradangan jantung akibat menerima vaksin COVID-19 jenis mRNA.

2. Guru perlu divaksin

KPM juga disaran peka dengan isu penolakan vaksin dalam kalangan guru seperti yang dilaporkan media beberapa minggu lalu. Malah, jadual vaksinasi guru dan kakitangan sekolah juga seharusnya tidak meninggalkan sesiapa pun.

Walaupun secara umum hampir 90 peratus guru di seluruh Malaysia sudah mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin, namun masih terdapat risiko kebolehjangkitan yang tinggi terhadap murid di sekolah yang masih belum menerima vaksin.

Kita sedia maklum bahawa vaksin mampu mengurangkan komplikasi terhadap penerima tetapi tidak dapat mengelakkan jangkitan terutamanya kepada mereka yang masih belum divaksin. Dalam hal ini, ada pandangan daripada guru dan ibu bapa yang menyarankan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) diteruskan dalam jika kes jangkitan COVID-19 tidak surut.

3. Capaian kepada teknologi

Kebanyakan murid hari ini memiliki peranti elektronik masing-masing namun dalam masa sama, perlu untuk memastikan mereka yang datang daripada keluarga berpendapatan rendah, murid luar bandar serta mereka yang berkeperluan khas perlu diberi perhatian dengan lebih serius.

Sekiranya kita dapat memastikan setiap murid tanpa mengira batas demografi ini menerima akses yang sama terhadap PdPR, perkembangan akademik pelajar dapat dicapai dengan baik tanpa memerlukan mereka untuk kembali ke sekolah secara fizikal dalam masa terdekat.

4. Pembelajaran teradun

Seperti mana disebut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bahawa kita mesti belajar untuk terus ‘hidup’ dengan COVID-19, perancangan yang rapi diperlukan bagi memastikan pembelajaran norma baharu ini relevan untuk setiap pelajar. Antara kaedah yang dilihat sesuai adalah pembelajaran teradun atau ‘blended learning’.

Kaedah ini adalah gabungan kelas secara bersemuka dan pembelajaran dalam talian. KPM dan pihak sekolah boleh merancang secara terperinci sebagai contoh, mengadakan tiga hari kelas secara bersemuka di sekolah dan dua hari kelas PdPR sama ada secara segerak atau tidak segerak. Sekolah juga boleh mengehadkan bilangan pelajar ke sekolah berdasarkan jadual yang lebih tersusun.

Cadangan ini perlu diambil perhatian disebabkan oleh pematuhan SOP secara konsisten di sekolah amat sukar dijalankan terutamanya dengan kekangan ruang fizikal di sekolah. Untuk mengatasi kebimbangan ibu bapa, kelas bersemuka wajar dikendalikan oleh guru yang sudah menerima vaksin. Sebaliknya, guru yang masih belum menerima vaksin, mereka masih boleh terus mengajar secara atas talian.

Dalam hal ini, perancangan rapi amatlah diperlukan sebelum pembelajaran teradun ini dijalankan membabitkan kelas dan subjek yang diajar. Sekolah juga boleh mengambil pendekatan untuk membenarkan kerjasama daripada semua guru untuk mengurangkan beban semua pihak. Hal ini juga memerlukan penjadualan kelas yang lebih sistematik.

Mengapa sesi sekolah bersemuka ini penting?

1. PdPR memberi tekanan pada guru dan ibu bapa

PdPR diakui menimbulkan tekanan dalam memastikan kehadiran pelajar malah dalam melakukan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD). Penilaian ini memerlukan pemerhatian yang khusus terhadap perkembangan, kemajuan, kebolehan dan pencapaian murid yang sukar dinilai sekiranya murid tidak mengikuti sesi pengajaran yang dijalankan.

Malah, guru juga tidak dapat memastikan sama ada aktiviti tidak segerak yang dijalankan menerusi Google Classroom dan juga aplikasi WhatsApp atau Telegram adalah berkesan. Hal ini disebabkan oleh terdapat ibu bapa yang menyelesaikan semua kerja sekolah yang diberikan kepada murid.

Namun ada juga ibu bapa yang tidak mampu berbuat demikian disebabkan keterbatasan masa dan kekurangan pengetahuan akademik.

Terdapat juga sesetengah ibu bapa yang perlu bekerja seperti biasa misalnya petugas sektor kritikal dan barisan hadapan. Justeru, agak sukar untuk mereka meluangkan masa yang cukup memantau perkembangan akademik anak-anak.

2. COVID-19 menyebabkan keciciran

Pandemik ini dan pelaksanaan PKP memberikan dilema kepada segolongan kelompok masyarakat. Bukan semua keluarga bernasib baik untuk menyediakan kemudahan pembelajaran dalam talian untuk anak.

Bagi keluarga berpendapatan rendah, sesi pengajaran dan pembelajaran sama ada dibuat secara bersemuka atau dalam talian, isunya masih sama iaitu berlaku keciciran dalam pelajaran.

Namun, COVID-19 menyebabkan jurang itu semakin lebar dengan isu gajet dan capaian internet yang tidak stabil atau langsung tiada di sesetengah tempat. Semua cabaran ini menyebabkan ibu bapa dan ahli masyarakat meragui keberkesanan PdPR. BH

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia

KPM perlu tangani kerisauan ibu bapa terhadap PdP bersemuka


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


KPM perlu tangani kerisauan ibu bapa terhadap PdP bersemuka

Lagu Caprice membuatkan Yahudi lari bertempiaran

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker