Apa jadi 49 syor ERC?

Apa jadi 49 syor ERC? Syor yang dicadangkan dalam laporan Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) perlu didedahkan dan dilaksanakan segera demi memantapkan sistem demokrasi berparlimen negara ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, jawatankuasa itu sudah selesai menjalankan tugasnya dan mengeluarkan laporan mengandungi 49 syor dan telah pun diserahkan kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Namun, kata beliau, laporan berkenaan tidak didedahkan, malah parti-parti politik dan rak­yat selaku stakeholder utama masih menunggu jawapan.

“Bilakah antara syor-syor ERC itu boleh dilaksanakan? Atau, masih ketiadaan iltizam politik di pihak siapa jua yang menang menjadi kerajaan? soalnya di sini semalam.

Beliau berkata, dua aspek lain yang perlu difikirkan ialah menggubal Akta Parti Politik untuk mewujudkan keseragaman dan keadilan keseluruhan aspek perjalanan institusi politik di negara ini yang bertanding dalam pilihan raya untuk menjadi kerajaan,” katanya di sini semalam.

Wan Ahmad berkata, aspek kedua dalam transformasi politik dan pilihan raya ialah menyediakan perundangan bagi sistem Pilihan Raya Semula (Recall Election) sebagai cara berkesan menghalang perbuatan lompat parti oleh wakil-wakil rakyat.

Katanya, jika perbuatan lompat parti dapat dicegah secara menarik balik kerusi yang dimenangi, seseorang wakil rakyat itu sudah tidak ada kerusi untuk dipindah kepada mana-mana parti politik lain bertujuan menjatuhkan kerajaan yang dipilih.

“Peraturan untuk mewujudkan proses Pilihan Raya Semula boleh dimasukkan dalam Akta Pilihan Raya 1958 atau Akta Kesalahan Pilihan 1954 atau Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan) 1981,” katanya.

Dalam aspek transformasi Parlimen pula, kata beliau ialah kajian semula prosedur pelantikan Yang Dipertua (Speaker) Dewan Rakyat, aspek kuasa dan peranannya dalam membuat keputusan hal-hal melibatkan kepentingan dan tanggungjawab Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

Menurut beliau, mengikut amalan sekarang, setiap kali kerajaan bertukar maka Dewan Rakyat akan memilih Speaker baharu pilihan Perdana Menteri baharu dan dilantik dengan sokongan kerajaan baharu di Dewan Rakyat.

Dalam hal ini, beliau mencadangkan pelantikan Speaker Dewan Rakyat dan Dewan Negara termasuk timbalan dalam kalangan mereka bertaraf ha­kim-hakim berintegriti tinggi oleh Yang di Pertuan Agong daripada senarai (sulit) pendek disediakan jawatankuasa khas di bawah Istana Negara.

Pada masa sama, katanya, sebuah Jawatankuasa Khas Transformasi Parlimen perlu ada untuk membincangkan perkara itu agar resolusi dan cadangan konkrit dibuat sebagai agenda pemerkasaan sistem demokrasi berparlimen di Malaysia.

“Iltizam politik adalah diperlukan, kerana tanpanya, semua hanya tinggal cadangan sekali gus kemelut politik tidak akan selesai walaupun sudah 14 kali pilihan raya umum,” katanya. -UTUSAN

Apa jadi 49 syor ERC?


Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214

Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Tangguh pemilihan Umno: SPRM terima aduan pegawai kanan RoS salah guna kuasa, rasuah

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker