Perjanjian bersejarah Ismail – PH turunkan suhu politik

Perjanjian bersejarah Ismail – PH turunkan suhu politik, capai muafakat perkasa Parlimen

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan tiga pemimpin tertinggi Pakatan Harapan (PH) mencapai kata sepakat untuk memperkukuhkan fungsi Parlimen sebagai institusi bertanggungjawab menyemak dan mengimbang tadbir urus eksekutif.

Dalam kenyataan bersama yang dianggap bersejarah, Ismail, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim yang juga presiden PKR, Mohamad Sabu (Presiden Amanah) dan Lim Guan Eng (Setiausaha Agung DAP) turut “bersetuju dan memahami pentingnya kebebasan badan kehakiman, reformasi institusi dan pemerintahan yang baik”.



Persetujuan itu menandakan julung kali perdana menteri dan blok pembangkang utama menurunkan tandatangan untuk bermuafakat dalam mendukung dan memperkukuhkan sistem demokrasi negara, sekali gus menurunkan suhu politik negara yang agak panas sebelum ini.

Kenyataan Ismail dan tiga pemimpin PH itu dikeluarkan selepas perjumpaan lebih sejam di pejabat perdana menteri petang tadi.

Susulan perjumpaan itu, Anwar memberitahu media, PH tidak bercadang “mempersulitkan” usul undi percaya terhadap Ismail di Dewan Rakyat bulan depan jika kerajaan mengutamakan isu rakyat.

Kenyataan bersama Ismail dan PH itu dilihat petanda awal hubungan pembangkang dan kerajaan yang tegang bawah pentadbiran Muhyiddin Yassin sebelum ini, berpeluang membuka lembaran baharu bawah teraju perdana menteri baharu.



Dalam kenyataan itu, Ismail dan pimpinan PH berkata perjumpaan mereka adalah untuk menyahut titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mahukan suhu politik negara diturunkan.

“Pertemuan yang berlangsung lebih satu jam ini tertumpu kepada agenda kepentingan rakyat dalam mencari titik persamaan terbaik bagi menangani krisis pandemik Covid-19, menjaga nyawa dan keselamatan diri daripada ancaman wabak dan membebaskan rakyat daripada cengkaman ekonomi berikutan kehilangan pekerjaan dan pendapatan,” menurut kenyataan itu.

Mengenai kerjasama memperkasa Parlimen, Ismail dan PH bersetuju keperluan memperkasa fungsi Dewan Rakyat dan Dewan Negara sebagai “institusi yang bertanggungjawab dan konstruktif supaya lebih telus dan memenuhi kehendak rakyat”.

Sultan Abdullah melantik Ismail sebagai perdana menteri ke-9 minggu lalu, selepas beliau memperoleh sokongan majoriti mudah 114 Ahli Parlimen berbanding Anwar (105).



Bagaimanapun, Sultan Abdullah bertitah Ismail, yang juga naib presiden Umno, perlu melalui undi percaya di Dewan Rakyat secepat mungkin untuk memperoleh keabsahan jawatan disandangnya.


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Dalam ucapan pertamanya sebagai perdana menteri Ahad lalu, Ismail menjemput pembangkang untuk menyertai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.



Langkah itu disambut baik oleh kalangan pemimpin PH.

Perjanjian bersejarah Ismail – PH turunkan suhu politik
I

Tak perlu lantik TPM pun, jangan peningkan kepala



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker