Negara perlu keluar dari sekatan dulu

Negara perlu keluar dari sekatan dulu, kata ahli ekonomi

Ketika Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mahu menjadikan Malaysia sebagai destinasi “utama” pelaburan langsung asing (FDI) di rantau ini, ahli ekonomi berkata negara ini perlu keluar dari pelbagai sekatan terlebih dahulu.

Ketua Ahli Ekonomi Malaysian Rating Corporation Bhd (MARC) Firdaos Rosli berkata dalam tempoh terdekat ini, kerajaan harus menangani sekatan itu dan elakkan daripada terus menggunakannya sebagai satu-satunya ‘non-pharmaceutical intervention’ dalam melawan wabak.



“Seiring pembukaan semula ekonomi, keyakinan pelabur juga akan meningkat. Perdana Menteri boleh memberi tumpuan kepada FDI selepas semua sekatan berakhir,” katanya kepada FMT.

Negara melalui pelbagai perintah sekatan sejak Mac tahun lalu apabila sekolah ditutup manakala rentas negeri dan perhimpunan sosial tidak dibenarkan dalam tempoh yang lama tahun ini.

Bagaimanapun, terdapat beberapa langkah yang dilakukan apabila aktiviti ekonomi kembali diteruskan secara berperingkat terutama bagi individu yang lengkap dua dos vaksin.

Kecuali bagi Labuan yang baru saja beralih ke Fasa 4 di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) hari ini manakala negeri lain dan Wilayah Persekutuan sama ada masih berada di Fasa 1, 2, atau 3.



Dalam ucapan pertamanya sebagai perdana menteri pada Ahad lalu, Ismail berkata kerajaan akan terus mengadakan kerjasama dengan pihak terbabit untuk membina strategi ekonomi baharu dan memperbaiki strategi sedia ada.

“Ini adalah untuk memperkukuhkan asas ekonomi dan sekali lagi untuk meletakkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama di Asia Tenggara,” katanya.

Pada Jun, Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidi berkata aliran masuk FDI di Malaysia menunjukkan pemulihan yang ketara pada suku pertama tahun ini selepas mencatatkan RM9.1 bilion (AS $2.2 bilion), yang tertinggi sejak pandemik melanda negara.

Beliau berkata pemulihan itu disebabkan oleh aliran masuk ekuiti dan dana pelaburan saham yang tinggi dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan.



Ketika Uzir berkata negara merekodkan penurunan FDI sebanyak 54.8% kepada RM14.6 bilion (AS$ 3.5 bilion) tahun lalu, Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD) melaporkan pada Januari bahawa FDI ke Malaysia menurun sebanyak 68% kepada RM10.5 bilion (AS$ 2.5 bilion) pada 2020, paling ketara di kalangan negara-negara Asean.

Felo penyelidikan kanan di Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia Shankaran Nambiar berkata, rancangan Ismail untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama adalah “sangat memberangsangkan”.

Katanya, negara mempunyai “semua ramuan” yang diperlukan untuk mencapai sasaran itu.

“Ia hanya perlu menggabungkan semuanya. Kita mempunyai bakat yang menunggu untuk dipupuk, sumber yang banyak dan dasar pelaburan yang akomodatif.



“Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) mempunyai rekod cemerlang dalam menyediakan pakej sesuai dan melakukan libat urus dengan syarikat bertaraf dunia,” katanya.

Yeah Kim Leng, seorang profesor ekonomi di Universiti Sunway, berkata kestabilan politik amat diperlukan selain rangka kerja sedia ada di negara ini untuk menarik kemasukan pelabur.

Menyifatkannya sebagai “pertimbangan yang terlalu tinggi” bagi kedua-dua pelabur asing dan tempatan, Yeah berkata mereka mencari destinasi yang mempunyai risiko politik yang rendah untuk melindungi pelaburan jangka panjang mereka.

“Selain kestabilan politik, pelabur meletakkan premium yang tinggi pada persekitaran dasar yang stabil, boleh diramal dan kondusif,” katanya.



“Mereka tidak menyukai ketidaktentuan dasar, tidak konsisten dan kejutan terutamanya dalam peraturan dan undang-undang yang menjejaskan operasi mereka.”

Katanya, pentadbiran baharu juga perlu meningkatkan iklim pelaburan dengan menyediakan infrastruktur tambahan, sumber tenaga mahir dan perkhidmatan sokongan yang efisyen termasuk perkhidmatan kerajaan. FMT

Negara perlu keluar dari sekatan dulu

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:



MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214

Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]

Tidak sempat tatap wajah suami


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Mohd Alwi minta MP Umno usah ‘overdose’ kerumun PM

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker