Beri peluang, masa Ismail Sabri buktikan kemampuan



Saudara Pengarang,
Rasanya seluruh rakyat lega dengan perkembangan terkini politik dalam negara, keresahan yang membelenggu sejak awal Ogos lalu mungkin sudah reda apabila jawatan Perdana Menteri kesembilan sah diisi Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Ahli Parlimen Bera.
Semakin lega kita apabila mendengar ucapan sulung Naib Presiden UMNO itu yang dipancarkan secara langsung ke seluruh tanah air pada Ahad lalu, menggariskan komitmen jelasnya kepada rakyat dan negara.

Ungkapan perdamaian diucapkan, frasa Keluarga Malaysia  menghantar mesej bahawa Perdana Menteri baharu ini mahu unsur kasih sayang menjadi teras dalam kehidupan di negara kita ketika pelbagai krisis masih mengancam, paling merisaukan adalah penularan Covid-19 yang menjadi punca pelbagai masalah lain.

Metafora nilai kekeluargaan menjurus ke arah perpaduan, beliau mengajak rakyat berbilang bangsa, agama dan ideologi politik untuk bersolidariti tidak kira di mana tinggal mereka, dari Semenanjung hingga ke Borneo, dari Perlis hingga ke Sabah.

Sesungguhnya konsep keluarga dalam sebuah negara khususnya ketika kita masih berusaha menangani cabaran keluar daripada pandemik COVID-19 amat penting. Ia membawa maksud bahawa seluruh rakyat perlu saling bergantung antara satu sama lain jika mahu memenangi perang ini.

Namun, solidariti hanya sekadar ilusi jika kestabilan politik dibiarkan terus mengganggu. Impian menjadi negara maju dengan rakyat hidup dalam suasana selesa hanya boleh menjadi realiti jika politiknya stabil, menjadikan apa juga masalah serta cabaran lebih mudah diharungi.

Untuk itu, Perdana Menteri menawarkan ruang kepada kepemimpinan pembangkang menganggotai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19, tawaran kerjasama rentas parti yang pastinya akan membuka dimensi baharu buat Malaysia.

Sudah-sudahlah berpolitik kerana berebut kuasa, pertelingkahan ini dan pelbagai isu lain yang tidak penting pada saat ini hanya membuatkan rakyat  muak, menimbulkan keresahan dan semakin melebarkan jurang perpecahan dalam persepakatan.

Parti pembangkang perlu memasang niat yang betul untuk menyelamatkan rakyat yang sudah lama terhimpit dan negara yang sudah lebih setahun terjejas akibat COVID-19. Tidak perlu berprasangka sama ada tawaran itu sekadar untuk mencukupkan syarat atau hanya untuk mengiakan pandangan kerajaan semata-mata.

Alangkah molek jika Perdana Menteri diberi peluang untuk membuktikan keikhlasan niatnya,  tidak merugikan pun jika pembangkang pula menyambut tawaran dan ruang yang diberikan untuk bersama-sama dalam perang melawan musuh tidak kelihatan ketika ini, bersama-sama menyumbang dalam usaha memulihkan ekonomi negara dan bersama-sama menstabilkan politik Malaysia.

Kini adalah masa untuk rakyat, masa untuk semua pihak yang berada dalam barisan kepimpinan, yang berada di Parlimen sebagai wakil kepada kira-kira 32 juta penduduk Malaysia untuk benar-benar berkhidmat.

Lalun untuk tujuan itu sudah dirintis Perdana Menteri yang menggariskan dua objektif utama dalam usaha mengurangkan kesan berpanjangan disebabkan pandemik COVID-19.

Sama-samalah pihak kerajaan dan pembangkang saling membantu mengembalikan kesejahteraan rakyat seiring usaha meningkatkan kuasa beli pengguna,selain mengangkat semula sektor swasta sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negara.

Apakah kita tidak mahu mempermudahkan niat Perdana Menteri untuk memastikan tiada mana-mana rakyat Malaysia, tanpa mengira agama, bangsa dan kaum tercicir atau terpinggir daripada bantuan.

Adakah kita sangsi dengan jaminan dan komitmen kerajaan untuk mendengar dan memberi tumpuan kepada suara anak muda dalam menjayakan agenda besar pemulihan negara.

Perlukah diganggu program vaksinasi ketika kerajaan sudah meluluskan tambahan pembelian enam juta dos vaksin lagi sebagai antara ikhtiar dan jalan keluar daripada krisis pandemik, sekali gus menjamin hidup dan kehidupan rakyat.

Semua komitmen yang dinyatakan Perdana Menteri dalam ucapan sulungnya seharusnya menyejukkan apa yang panas, menghentikan cubaan politiking jika ada lagi pihak yang masih ghairah untuk mencipta ketidaktentuan.

Tiada apa yang merugikan jika kita memberi peluang dan masa kepada pemimpin baharu ini untuk membuktikan apa yang dikata.

Azman Mohamed
Bangi, Selangor

Beri peluang, masa Ismail Sabri buktikan kemampuan


Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214




Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Jangan susahkan PM baharu



Leave a Reply

Your email address will not be published.