“Janganlah ada lagi yang bawa SD selepas ini”

Seminggu dua ini, heboh orang bercakap soal politik. Ada mempersoalkan naratif kejatuhan Perikatan Nasional (PN), seolah-olah pihak lawan menggunakan akuan bersumpah (SD) sewenang-wenangnya sebagai ‘senjata politik’ menjatuhkan kerajaan.

Pada masa sama, ramai khuatir akan nasib kerajaan baharu pasca PN. Memandangkan Perdana Menteri (PM) ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempunyai sokongan tipis cuma 114 ahli Parlimen, apakah jaminan kerajaan akan terselamat dari sabotaj musuh luar dan dalam, yang sekali gus merencatkan usaha memulihkan negara dari pandemik dan masalah sosioekonomi?

Menggalas persoalan berkisar hal perundangan dan Perlembagaan ini, wartawan Mingguan Malaysia FAHMI FAIZ dan MOHD. FADHLI MOHD. SULAIMAN menemu bual Peguam Kanan, MOHAMED HANIFF KHATRI ABDULLA, di pejabatnya di Kota Damansara, Khamis lalu. Turut membantu jurugambar FAUZI BAHARUDIN.



Ikuti wawancara yang antara lain mengupas beberapa kemungkinan yang boleh dipertimbangkan demi mewujudkan mekanisme urus tadbir yang stabil.

MINGGUAN MALAYSIA: Komen mengenai pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri (PM) ke-9?
MOHAMED HANIFF: Pertama sekali, seperti diumumkan melalui kenyataan media pihak istana pada 20 Ogos, kalau sememangnya beliau memiliki sokongan majoriti, maka di bawah Perlembagaan tiada salahnya untuk Yang di-Pertuan Agong memilih beliau, jadi tiada isu di situ. Tapi isunya memandangkan ini adalah pelantikan kedua tanpa pilihan raya (sejak PRU-14), maka rakyat juga sebenarnya sedang menunggu dan melihat kalau ada arahan atau titah lanjut tentang pembentukan kerajaan selepas pelantikan PM.

Boleh jelaskan lebih lanjut?
Dalam dua muka surat kenyataan media pihak istana, saya percaya cuma ada pengumuman pelantikan (PM) sahaja, dan nasihat agar semua pihak sepakat untuk menangani masalah Covid-19 dan sebagainya. Tapi itu cuma sebagai saranan dan nasihat seorang ketua negara. Bagi saya seorang PM yang bertanggungjawab dalam keadaan sekarang ini, yang mengetahui segala kemelut yang dihadapi negara pada masa ini mempunyai beberapa pilihan. Satu, kalau beliau berpendapat sukar untuk membentuk sebuah kerajaan yang boleh berfungsi dengan kukuh dalam memberi fokus khusus kepada masalah-masalah kerajaan dan negara sekarang ini berkaitan ekonomi, kesihatan dan sebagainya lanjutan daripada Covid-19, beliau sendiri boleh nasihatkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

DUA MINGGU DIBAZIRKAN
Nasihat macam mana? Darurat politik?
Daripada kucar-kacir mahu cari jalan membentuk kerajaan tak kukuh, menambah pergolakan politik yang akan menghancurkan fokus, maka beliau boleh nasihat kepada Agong untuk membentuk atau mengisytiharkan darurat politik. Baginda kemudian boleh meletakkan pentadbiran, kuasa eksekutif serta tadbir urus negara kepada satu badan seakan-akan Mageran.



Sejauh mana kepentingan isytihar darurat politik?
Contohnya, kita ambil tempoh dua minggu sebelum ini. Apabila Muhyiddin dipersoal berkaitan sokongan majoriti sejak 3 Ogos lalu, dan akhirnya beliau letak jawatan pada 16 Ogos, dan dilantik pula pada 20 Ogos Ismail Sabri sebagai PM, tempoh dua hingga tiga minggu ini, kita dapat lihat dan ini tak boleh dinafikan, tiada langsung fokus kepada masalah negara sebaliknya hanya berkisar isu politik. Kita telah rugi sekurang-kurangnya dua minggu penuh untuk mana-mana pemimpin mentadbir urus dan melaksanakan tugas yang perlu untuk selesaikan masalah rakyat.

Apa rasional buat darurat sedangkan sudah ada majoriti?
Kalau kita lihat, jika dibentuk kerajaan yang hampir sama dan disokong oleh 114 undi yang sama, bagaimana boleh dijamin kedudukan 114 itu tidak boleh dicabar apabila Parlimen bersidang September nanti?

Jadi apa yang wajar dipertimbangkan oleh PM?
Sebaiknya selepas angkat sumpah, PM wajar berjumpa Agong untuk terus menasihati bahawa “patik tidak berhasrat membentuk jemaah menteri kerana pergolakan politik adalah tidak sihat. Atas iltizam menurut titah baginda agar kita fokus menyelesaikan masalah negara, patik syorkan dan nasihatkan sebagai PM, untuk mengisytiharkan darurat politik dan meletakkan urus tadbir negara di bawah satu badan penasihat”.

DALAMAN UMNO



Dari segi dalaman UMNO, sejauh mana darurat politik ini boleh diterima dan tidak ancam kedudukan beliau?
Saya setuju, ada kemungkinan Ismail Sabri akan dikutuk dan dikecam dalam kalangan UMNO tertentu, namun dalam kalangan UMNO yang lain pula, beliau akan dilihat sebagai wira yang akan menunjukkan bagaimana UMNO boleh membantu negara tanpa memikirkan kepentingan parti. Bila perkara itu berlaku, ramai di akar umbi dan pucuk pengurusan bahagian serta cawangan UMNO akan memberi sokongan yang lebih di masa akan datang.

Jadi bagus untuk kedudukan beliau?
Ya, sebagai Naib Presiden, untuk beliau naik kepada Presiden, akan membantu beliau dengan sokongan ini. Jadi dari sudut politik pun, PM kalau nak mengambil kira kepentingan politiknya, pilihan untuk menasihati Agong, walaupun nampak mungkin dikecam oleh segolongan UMNO, tapi akan disokong oleh segolongan besar UMNO dan juga rakyat. Jadi ada beberapa pilihan dari segi Perlembagaan yang boleh dibuat supaya beliau tidak ditenggelamkan oleh tekanan-tekanan politik dari sekeliling sudut.

BADAN ALA MAGERAN
Tekanan macam mana?
Bukankah Perikatan Nasional (PN) telah letak syarat bahawa pertama, tak boleh ada campur tangan dengan Dewan Rakyat atau Parlimen. Kedua, tidak boleh ada campur tangan berkaitan kes mahkamah. Ketiga, tidak boleh ada orang yang tak berintegriti khususnya yang mempunyai kes mahkamah dalam Kabinet. Jadi bagaimana PM nak selesa, nak puaskan hati UMNO atau mana-mana pihak lain, kalau beliau tidak melantik karakter-karakter atau individu ini? Yang mana mungkin kedudukan mereka bertindan antara kluster mahkamah dan kluster tidak bersalah. Jadi untuk perkara itulah, PM perlu fikir dengan matang, jangan bentuk kerajaan, iaitu jangan bentuk Kabinet. Tapi nasihatkan Agong untuk wujudkan darurat politik.

Jika diisytihar darurat politik, apa selepas itu?
Kemudian wujudkan dua bentuk sistem tadbir urus. Pertama, untuk masalah utama ini, perkara yang berlanjutan daripada Covid-19 ini, terus letak bawah badan urus tadbir ala Mageran dan beliau boleh jadi pengerusinya. Atau kedua, biar PM uruskan perkara-perkara lain seperti hubungan antarabangsa, isu urus tadbir polis, SPRM, mahkamah yang biasa, seperti isu kawalan harga barangan yang mungkin bertindan dengan Majlis Tindakan Negara. Atau yang ketiga, boleh syorkan agar diwujudkan (jawatan) Sultan di negeri Pulau Pinang, lantik saya untuk selesaikan masalah (tertawa).



‘POLITIK AKUAN BERSUMPAH’
Heboh sebelum ini ‘politik akuan bersumpah’ bagi jatuhkan kerajaan. Komen?
Akuan bersumpah (SD) sebenarnya adalah satu dokumen perundangan di bawah Akta Akuan Berkanun 1960. Itu satu bentuk akuan yang diterima sebagai pada dasarnya, apabila dokumen itu mematuhi peruntukan akta itu, maka kandungan dan kenyataannya diterima sebagai sah tanpa perlu pembuktian lain. Melainkan jika dibuktikan sebaliknya.

Pandangan terhadap penggunaan SD sewenang-wenangnya sebagai senjata politik?
Tidak, ia bukan senjata politik. Dari segi perundangan, ia satu cara untuk menampilkan keputusan mereka (ahli politik) kepada pihak yang perlu.

Tapi dari segi moralnya pula?
Moral lain, moralnya kita kena faham apa isunya, baru kita boleh tengok apakah keperluan SD. Kalau kita cakap dari segi sokongan majoriti, maka kita kena tanya, bagaimana kita mahu soal sokongan majoriti?

Adakah melalui undi di Dewan Rakyat?
Maksudnya bukan satu-satunya cara. Cara utama sepatutnya Dewan Rakyat lah, iaitu usul undi tidak percaya. Tapi kalau usul tak dibenarkan naik, macam mana? Kalau Dewan Rakyat tidak dibenarkan bersidang, macam mana? Jadi barulah wujud cara lanjut untuk menzahirkan hilang kepercayaan itu, kenalah cara dia macam mana? Apa bentuk undang-undang? Surat akuan (SD) lah.



LAGI TERUK DARIPADA ORANG UTAN!
Andai kata lepas kerajaan baru terbentuk, ada lagi politikus menjaja SD jatuhkan kerajaan?
Itulah perkara yang akan diambil kira oleh Yang di-Pertuan Agong sebelum dibuat keputusan mahu lantik PM dengan sokongan yang ada.

Macam mana mahu elak ia berlaku?
Yang di-Pertuan Agong tiada kuasa bermain politik. Baginda boleh titahkan (sahaja). Kalau kita lihat, Perlembagaan di atas, kemudian undang-undang, kemudian keputusan mahkamah nombor tiga, yang keempat adalah adat, hormat-menghormati kedudukan Yang di-Pertuan Agong sepatutnya menjadi sebahagian daripada semangat Perlembagaan. Jadi kalau baginda sudah bertitah, dipercayai orang akan patuh, kalau titah itu berpandukan kepada Perlembagaan dan undang-undang. Jadi kalau baginda bertitah demi kebaikan negara, janganlah ada orang datang lagi bawa SD. Tapi baginda boleh titah sahaja, kalau orang mahu mengingkari titah, walaupun dia kata dia Melayu tapi lagi teruk daripada orang utan, macam mana?

Jadi tiada cara mahu elak isu menjaja SD berulang?
Caranya ialah perkara ini diambil kira oleh Yang di-Pertuan Agong. Kalau baginda bertitah pun orang tak akan ikut, sebab dah berlaku. Titah kepada Datuk Seri Takiyuddin Hassan tak diikuti, titah kepada Peguam Negara tak ikut, titah kepada (Muhyiddin) agar buka Parlimen sejak 23 Februari, tak ikut. Jadi tak mahulah masalah ini berlanjutan dua tahun lagi, takut esok pun orang masih ketuk pintu istana bawa SD. Jadi itulah yang baginda ambil kira, hak baginda lah untuk mengambil kira. Sebab itu penjelasan baginda dalam titah umum, mesti terkandung perkara ini. itulah juga yang saya sarankan, buat Mageran, dan nyatakan perkara ini semua.

SEBALIK KES IMUNITI RAJA-RAJA
Tuan ada hubungan rapat dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad. Bagaimana pengalaman berkhidmat dengan beliau?
Beliau ialah Perdana Menteri yang paling profesional kita semua pernah ada. Cuma orang sebelah kiri kanan dia, adakah penasihat yang paling profesional, itu bergantung. Mungkin pada saya, saya adalah penasihat undang-undang beliau yang profesional, tapi orang lain saya tak tahu. Kalau kita tak berani bagi nasihat yang betul, pedih atau pahit, maka kita tak berlaku adil kepada beliau. Tapi apapun, beliau PM yang paling profesional kita pernah ada. Kalau kita beri nasihat yang betul, beliau akan ikut. Dan kalau beliau tolak nasihat kamu pun, ada hujahnya, ada perkara lain yang beliau kena ambil kira.



Tuan menghormati Tun Dr. Mahathir tapi pada masa sama beliau ada beberapa kontroversi berhubung isu seperti Forex, Memali dan sebagainya?
Bila saya masuk dan bantu beliau sebenarnya saya nampak, niat Tun Dr. Mahathir buat benda-benda itu semua sebenarnya niatnya baik, (tapi) tak terlaksana ada sebabnya. Tak bermaksud beliau salah, kita harus bersikap magnanimous. Banyak benda yang saya anggap beliau salah, rupanya dilaporkan secara salah oleh media pada masa itu. Kita tiada Google dan sebagainya. Ini bukan beliau cakap, sebaliknya saya buat kajian saya sendiri. Contoh Memali, contoh kes Tun Salleh Abas, contoh Forex, Bank Negara Malaysia, imuniti Raja-raja. Semua cerita itu ada lain di sebaliknya. Tapi orang yang rapat dengan beliau tak memberitahu yang betul pada masa itu. Dan akhirnya secara kesimpulan bagi saya tentang beliau, saya bertuah dapat berkhidmat sebab dapat memperbetulkan beberapa persepsi salah yang saya ada. Kalau tak berkhidmat, saya mungkin tak nampak perkara itu.

Boleh ulas isu babitkan Tun Dr. Mahathir terhadap imuniti Raja-raja?
Antara perkaranya adalah orang ingat Tun Dr. Mahathir yang buat (hakis imuniti Raja-raja), macam pindaan kali kedua Perkara 40 (1)(A) dan Perkara 66 pada 1994. Kamu tahu siapa yang bentangkan?

Siapa?
Datuk Seri Anwar Ibrahim. Buktinya bacaan kedua itu ada dalam hansard Parlimen bertarikh 9 Mei, 1994, boleh rujuk. Masa itu Tun Dr. Mahathir tiada dalam negara. Masa isu tentang gubalan undang-undang, setiap undang-undang kena dapat perkenan Yang di-Pertuan Agong. Ada pindaan dibuat, sekali sahaja. Lepas 30 hari, kalau tiada tandatangan, automatik. Siapa yang bentangkan? Anwar. Bukan maksudnya Anwar yang buat undang-undang itu, tidak. Jangan salah faham. Dan sebenarnya Tun Dr. Mahathir cadangkan pada masa itu dalam fikiran dia, cuba buka balik dan jangan dengar cakap saya, buka buku Doctor in The House. Beliau dalam bab pindaan itu, beliau ingat masih lagi pindaan itu dua pusingan. Lepas 30 hari, Agong boleh beritahu apa yang tidak setuju, lepas itu mereka buat pindaan dan pergi balik. Kalau Agong tidak setuju kali kedua, barulah perkara itu jadi undang-undang. Tapi dalam pindaan yang ada satu pusingan saja.

Maksudnya Anwar ada ‘saham’ dalam isu imuniti Raja-raja?
Adalah, sama ada beliau dengan Peguam Negara, itu kena tanya mere­ka, itu saya tiada hak (mengulas). Tapi tuduhan-tuduhan yang songsang terhadap Tun Dr. Mahathir, kononnya beli­au yang buat (harus diperbetulkan). Kalau beliau betul-betul pinda satu pu­singan saja, kenapa dalam buku beliau ingat kata dua pusingan? Sebab Peguam Negara pun tak beritahu dengan betul pada beliau apa pindaan akhir.

TABUR PULUT KUNING DI MAHKAMAH
Tak takutkah berkecimpung dalam bidang perundangan babitkan hal-hal politik?
23 Ogos 2015, adalah titik tolak saya. Masa itu saya diminta atau dirujuk untuk kes bekas Ketua Wanita Bersatu, Anina Saadudin. Malam itu mahu buat keputusan patutkah saya teruskan kes atau tidak. Masa saya turun tangga dalam pukul 12 malam, saya terfikir dua soalan saja. “Hanif, kalau kau turun tangga macam ini malam-malam tiba-tiba kena tembak, atau kena tikam sampai mati? Reda. Kalau kena tangkap mahu siksa kau masuk Sosma, reda”. Hidup saya ini sejak 9 Mei 2018 adalah bonus. Saya anggap saya mati kalau kita (Pakatan Harapan) kalah.

Ada terima ugutan atau sebagainya?
23 tahun dulu, saya peguam Datuk Abdul Khalid Jafri penulis buku “50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM”. Ini soal orang yang taksub kepada ahli politik. Masa itu kalau pergi mahkamah kita akan perasan pulut kuning, limau, beras ditabur. Perempuan tukang sapu di mahkamah, pukul 8 pagi sapu jumpa macam-macam. Malah saya jadi diabetes ini, bukan diabetes yang normal. Pihak doktor pun tak faham pada mulanya macam mana saya jadi diabetes ini. Simptom saya berbeza dengan orang lain, dan hakikatnya pankreas saya rosak.

Rosak sebab apa?
Masa itu saya kena sihir. Saya batuk masa hujah kes buku 50 dalil itu, bila saya duduk baru tak batuk. Bila saya berdiri berhujah, batuk. Tapi kita tak main benda ini semua, sebab sihir ini benda jahat. Pada minggu itulah lidah saya jadi kering, saya pergi klinik dan pusat perubatan Islam. Di pusat perubatan Islam, baru tahu ia menyerang atau terserang pankreas saya. Walaupun sihir itu mungkin sudah hilang atau kesannya dah kurang, tapi kesannya kepada pankreas.

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214

Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Cabaran laluan berliku Pak Long

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker