Fitch Solutions unjur pertumbuhan sifar tahun ini

Fitch Solutions unjur pertumbuhan sifar tahun ini

KUALA LUMPUR: Fitch Solutions membuat semakan semula unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) benar Malaysia kepada sifar peratus bagi 2021 berbanding 4.9 peratus sebelum ini berikutan impak gelombang ketiga jangkitan COVID-19 lebih teruk daripada jangkaannya.

Ia berkata, pertumbuhan KDNK benar Malaysia dari suku ke suku menguncup sebanyak 2.0 peratus dan berasaskan tahun ke tahun meningkat 16.1 peratus pada suku kedua 2021 adalah di bawah jangkaannya.

Tambahan pula, kes jangkitan harian tidak menunjukkan kemajuan meskipun langkah sekatan pergerakan dilaksanakan di seluruh negara dan kes jangkitan terus mencatatkan rekod baharu sepanjang separuh pertama Ogos, katanya.

“Tinjauan permintaan domestik juga malap dan pihaknya menjangkakan penggunaan swasta akan lebih teruk berbanding 2020, sementara pelaburan akan menunjukkan sedikit peningkatan.

“Dengan eksport bersih juga mungkin membuktikan sedikit pengurangan daripada pertumbuhan utama disebabkan oleh gangguan permintaan luaran yang dicetuskan kemelut berdepan COVID-19 di Asia pada umumnya, penggunaan kerajaan kini menjadi satu-satunya sumber sokongan untuk ekonomi pada 2021, katanya dalam nota penyelidikannya.

Fitch Solutions berkata, semua segmen ekonomi dari perspektif perbelanjaan kecuali penggunaan kerajaan dijangka kekal tidak berubah atau malah sedikit berkurangan berbanding paras 2020.

Katanya, penggunaan kerajaan dijangka menyediakan sedikit sokongan di tengah-tengah pertumbuhan perlahan dalam permintaan domestik, dengan menyemak semula unjuran pertumbuhan penggunaan kerajaan kepada 7.0 peratus daripada 4.5 peratus sebelumnya.

Ia menjangkakan risiko penurunan selanjutnya terhadap unjuran pertumbuhan memandangkan risiko politik yang tinggi sejak permulaan separuh kedua 2021 dan risiko wabak kekal teruk dalam bulan mendatang, yang mana akan terus menjejaskan prestasi ekonomi.

Mengenai tinjauan permintaan domestik, Fitch Solutions berkata, dengan sekatan pergerakan dijangka berterusan di kebanyakan separuh kedua 2021, penggunaan swasta dan pembentukan modal tetap (GFCF) kini bertambah teruk.

Justeru, ia telah membuat semakan semula unjuran bagi pertumbuhan penggunaan swasta kepada -2.0 peratus dari 3.0 peratus sebelumnya dan unjuran pertumbuhan GFCF kepada 1.5 peratus dari 4.0 peratus sebelumnya.

“Kadar pengangguran dijangka meningkat pada separuh kedua 2021 dan sudah mula meningkat kepada 4.8 peratus pada Jun berbanding 4.5 peratus pada Mei. Malah, Industries Unite, persatuan 115 perniagaan Malaysia memberi amaran pada awal Julai bahawa pengangguran besar-besaran jika sekatan pergerakan terus berlarutan.

“Seterusnya, data Mobiliti Google menunjukkan kebanyakan orang duduk di rumah dan keluar hanya untuk membeli barang keperluan dan bahan makanan. Tahap lalu lintas ini akan menjejaskan sektor runcit dan perkhidmatan.

“Penularan wabak yang serius juga akan menjejaskan rancangan membuka semula perjalanan antarabangsa, menjejaskan prospek pelancongan dan sektor berkaitan lain mula pulih pada 2021,” katanya. BH

Fitch Solutions unjur pertumbuhan sifar tahun ini


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker