Speaker perlu jawab surat Agong – Asyraf

Speaker perlu jawab surat Agong, Muhyiddin hilang sokongan

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menggesa Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun menjawab warkah Yang di-Pertuan Agong (YDPA) yang mahu penjelasan mengenai kedudukan sokongan Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi berkata, Azhar menjelaskan kedudukan mutakhir bilangan ahli Dewan Rakyat menyokong Perdana Menteri daripada 106 seperti mana dimaklumkan pada 3 Ogos lalu kini hanya berbaki 100 orang sahaja.

“Pemuda UMNO meminta Yang di-Pertua Dewan Rakyat segera menafikan surat yang ditularkan walaupun dalam MalaysiaPost menyebut beliau tidak mahu komen mengenainya kerana melibatkan lstana Negara.

“Kegagalan melakukannya hanya mengesahkan surat tersebut dan menzahirkan bahawa Perdana Menteri secara rasmi sudah sah hilang majoriti,” katanya pada sidang media di ibu pejabat UMNO hari ini.

Terdahulu Pengerusi Gerakan Tuntut Malaysia, A’zlan Abu Bakar membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wang, 1.25 tengah hari tadi berhubung perkara yang sama.

Laporan itu berkaitan mahu tahu mengenai keabsahan status Muhyiddin sebagai Perdana Menteri mengikut Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi mendakwa, keabsahan status Perdana Menteri ini dipersoalkan berasaskan dua faktor.

Jelasnya, ini termasuklah warkah Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang diutuskan kepada Seri Paduka Baginda bertarikh 30 Julai lalu beserta 14 Surat Akuan Ahli-Ahli Parlimen UMNO menarik sokongan terhadap Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

“Dengan penarikan 14 ahli Parlimen ini, kerajaan berasaskan kedudukan tempat duduk di Dewan Rakyat yang mutakhir 114, hilang 14 orang sokongan menjadikan kedudukan sokongan terhadap Perdana Menteri hanya tinggal 100 ahli Parlimen, justeru hilang majoriti.

“Perdana Menteri seolah-olah sudah hilang keabsahannya dan mesti segera meletakkan jawatannya berasaskan Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Berikutan perkembangan itu, Muhyiddin tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat dan beliau hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh YDPA.

“Namun Tuanku YDPA mempunyai kuasa di bawah Klausa (2)(b) dalam Perkara 40 untuk menolak permintaan Perdana Menteri bagi maksud pembubaran Parlimen atas situasi pandemik Covid-19 yang masih meruncing ketika ini.

“Jika ini berlaku, maka Perdana Menteri tiada pilihan lain melainkan untuk meletakkan jawatan,” katanya.

Selain itu, keabsahan status Perdana Menteri amat kritikal dan serius kerana memberi implikasi besar terhadap segala urusan pentadbiran dan hal ehwal kerajaan dan negara.

“Ini termasuklah status keabsahan sebarang kelulusan oleh Perdana Menteri terhadap dasar-dasar dan polisi-polisi baharu kerajaan.

“Status keabsahan segala pinjaman yang dibuat oleh Kerajaan termasuk yang terbaru berjumlah RM11.5 billion.

“Status segala kontrak dan waran yang diluluskan oleh Perdana Menteri yang sudah hilang keabsahan,” katanya.

Katanya lagi, apabila Perdana Menteri sudah hilang keabsahannya, maka di bawah Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan, Perdana Menteri sudah hilang kuasa yang diperuntukkan untuk menasihati YDPA.

“Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mendesak agar Perdana Menteri segera meletakkan jawatan lantaran sudah hilang majoriti sokongan ahli Parlimen.

“Ia mengelak implikasi besar terhadap keabsahan segala urusan kerajaan dan negara yang boleh dipersoalkan kelak,” katanya lagi. MG

Speaker perlu jawab surat Agong – Asyraf


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Saya tak maki Sanusi pun kena juga – Shahanim

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker