Kalau belum ajal, biar besi dalam kepala

Sebaran :

Kalau belum ajal, biar besi dalam kepala

New Delhi: Menakjubkan apabila seorang lelaki terselamat daripada maut selepas doktor berjaya mengeluarkan batang besi yang tertusuk di tengkoraknya.

Besi itu dikeluarkan dari tengkoraknya menerusi pembedahan kecemasan yang memakan masa selama empat jam.

Times of India melaporkan sebelum itu, mangsa yang berusia 24 tahun terkena besi sepanjang enam meter yang jatuh dari tingkat 20 bangunan di sebuah tapak pembinaan di Ghaziabad di sini.

Ketika kejadian, ada individu yang menjerit supaya meminta lelaki itu ke tepi.

Lelaki itu mendongak ke atas dan ketika itu, besi digunakan sebagai perancah menembusi tengkoraknya.

Susulan kejadian, rakannya terpaksa memotong sebahagian daripada besi sepanjang enam meter itu sebelum mangsa dikejarkan ke hospital.

Gambar dan imbasan sinar-X menunjukkan keadaan mengerikan dengan imej besi ‘tertanam’ di dalam kepalanya.

Dalam pada itu, doktor di Hospital Flores berkata, lelaki itu kemungkinan akan bertahan selepas menjalani pembedahan itu.

Namun, bahagian kiri badan mangsa itu akan lumpuh.

Pakar bedah saraf, Dr Abhinav Gupta turut mengeluarkan sebahagian besar tengkorak lelaki untuk mengelakkan kerosakan lebih teruk pada otak mangsa.

Bahagian tengkorak itu diletakkan sementara di ruangan berdekatan perutnya.

Ia kaedah yang digunakan untuk memastikan fragmen tengkorak itu tetap berfungsi dan membiarkan otak membengkak serta memudahkan aliran darah ke organ.

Bagaimanapun, terdapat kerosakan pada bahagian kanan otak pekerja pembinaan itu selepas besi menembusi kranium (bahagian atas tengkorak).

Dr Gupta berkata, pekerja binaan dari Jharkhand itu memerlukan pembedahan susulan dalam masa dua bulan untuk meletakkan kembali tengkorak itu ke tempat asalnya.

Menurut doktor, lelaki itu mempunyai peluang 90 peratus untuk selamat susulan kejayaan pembedahan kecemasan itu.

Dia kini boleh bernafas tanpa menggunakan alat bantuan pernafasan dan sudah membuka matanya.

“Ia akan mengambil masa yang panjang untuk dia pulih sepenuhnya,” kata Dr Gupta sambil menambah pesakit itu perlu menjalani fisioterapi. HM

Kalau belum ajal, biar besi dalam kepala


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Sijil vaksin cetak sendiri, kalau palsu macam mana?


Sebaran :

Leave a Reply