Polemik RoS-UMNO boleh bawa kepada musibah lebih besar

Polemik RoS-UMNO boleh bawa kepada musibah lebih besar. Pada saat krisis politik negara semakin memuncak apabila UMNO semakin hebat menggasak Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk segera meletak jawatan Perdana Menteri, dengan tidak semena-mena, Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS) mengeluarkan satu surat ‘menggemparkan’ kepada parti terbesar kaum Melayu itu.

RoS dalam satu kenyataan juga menegaskan keputusan UMNO menangguhkan pemilihan parti susulan tempoh kepimpinan penggal 2018/2021 tamat, sebagai tidak sah.

Menurut Ketua Pengarah RoS, Jasri Kasim, keputusan menangguhkan pemilihan itu selama 18 bulan adalah berdasarkan minit mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 7 Julai lalu, sedangkan tempoh sah pemegang jawatan bagi penggal 2018/2021 tamat pada 30 Jun 2021.

Keputusan mengejut RoS, pada saat kerajaan Perikatan Nasional (PN) sedang hebat diasak UMNO dan parti pembangkang ketika ini, turut menimbulkan tanda-tanya dalam kalangan pemerhati politik serta ahli-ahli UMNO sendiri.

Arahan badan kerajaan itu secara tidak langsung turut memberi bayangan bahawa segala keputusan besar dibuat UMNO selepas 30 Jun lalu seolah-olah sudah tidak terpakai.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menjelaskan, keputusan MKT pada 7 Julai yang dimaklumkan kepada RoS melalui surat parti itu bertarikh 30 Julai hanyalah untuk mengesahkan keputusan MKT yang dibuat terlebih awal melalui resolusi pekeliling pada 18 Jun lalu.

Presiden ‘caretaker’?

Untuk rekod, beberapa keputusan besar parti itu termasuklah ketetapan UMNO menarik sokongan daripada kerajaan PN serta tindakan mengutip surat akuan bersumpah (SD) ahli-ahli Parlimen parti itu yang menolak Muhyiddin dibuat selepas tarikh 30 Jun.

Bahkan, amaran UMNO bakal mengambil tindakan tatatertib kepada mana-mana ahli Parlimen parti itu yang ingkar keputusan menarik sokongan daripada kerajaan PN serta-merta selewat-lewatnya pada Sabtu, turut dianggap tiada ‘locus standi’ sekiranya tempoh pemegang jawatan MKT menjadi perkara berbangkit.

Ini kerana jawatan dipegang ahli-ahli MKT UMNO termasuk Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada ketika ini didakwa hanya bersifat ‘caretaker’ serta tidak boleh membuat sebarang keputusan substantif.

“Sebenarnya apabila Zahid bermesyuarat dan buat ketetapan baharu melalui mesyuarat MKT selepas 30 Jun lalu, keputusan itu tidak terpakai kerana selepas tarikh berkenaan, ahli-ahli MKT hanyalah bersifat ‘caretaker’ parti dan tidak boleh membuat keputusan substantif.

“Mereka cuma boleh menguruskan parti bagi bertujuan mengadakan pemilihan UMNO untuk penggal kepimpinan akan datang.

“Itu sahaja bidang kuasa yang mereka ada setelah RoS menolak permohonan UMNO untuk menangguhkan pemilihan parti,” kata Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz kepada Sinar Premium pada Ahad.

 

MOHAMED NAZRI
MOHAMED NAZRI

 

Dari sudut politik, Mohamed Nazri turut mengakui surat terkini RoS itu sebenarnya telah mematikan sepenuhnya gerakan pucuk kepimpinan UMNO diketuai Ahmad Zahid untuk menjatuhkan kerajaan PN ketika ini.

“Zahid telah kena ‘checkmate’. Dia tidak boleh buat apa-apa dah. Kalau parti memutuskan ahli-ahli Parlimen UMNO menyokong kerajaan PN dipecat, keputusan itu tidak terpakai.

“Nasihat saya kepada Presiden UMNO, kalau betul dia ada sokongan akar umbi UMNO, kena berani buat pemilihan parti segera…Tunggu pandemik Covid-19 reda sikit, lepas itu buatlah pemilihan parti. Apa yang dia nak takut sangat?” soalnya.

Ditanya sama ada pucuk kepimpinan UMNO boleh mencabar keputusan RoS di mahkamah sekiranya rayuan parti itu kekal ditolak, Mohamed Nazri mengakui tindakan itu boleh dilakukan parti itu.

“Bagaimanapun, pucuk kepimpinan UMNO perlu menyedari mereka tidak boleh membawa kes-kes mencabar keputusan RoS ke dalam mahkamah.

“Jadi maknanya, bila RoS buat keputusan, pucuk kepimpinan UMNO sedia ada kena akur. Kalau mereka hendak heret RoS ke mahkamah juga, perlembagaan UMNO tidak membenarkannya dengan keahlian parti pemimpin UMNO yang terlibat secara automatik bakal terbatal…Boleh rujuk perlembagaan UMNO baharu selepas peristiwa pengharaman parti itu pada 1988,” katanya.

Pengharaman parti

Bagaimanapun, pandangan Mohamed Nazri itu disangkal peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla.

Beliau berpendapat UMNO boleh meminta RoS mengekalkan segala keputusan parti itu yang dibuat selepas 30 Jun, secara status quo sementara menunggu polemik keputusan RoS terhadap parti itu diselesaikan.”Bagi saya, UMNO serta-merta perlu memajukan satu surat bantahan atau klarifikasi kepada RoS berhubung percanggahan keputusan RoS terhadap keputusan UMNO menangguhkan pemilihan parti, bersandarkan surat jawapan awal badan kerajaan itu bertarikh 19 Julai dengan surat terkini 6 Ogos.

 

Haniff Khatri
Haniff Khatri

 

“Melalui surat itu, UMNO perlu menyatakan sehingga isu percanggahan keputusan RoS ditentukan dan disemak semula, segala aktiviti atau keputusan parti yang dibuat dari tarikh 1 Julai sehingga 6 Ogos perlu kekal status quo dan tidak boleh diganggu gugat badan itu,” katanya.

Tambah Haniff Khatri lagi, sekiranya surat klarifikasi dihantar UMNO tidak dilayan RoS, parti itu perlu melalui satu lagi jalur perundangan ditetapkan iaitu mengemukakan rayuan kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebelum membawa perkara itu ke mahkamah.

Katanya, UMNO perlu mematuhi setiap jalur perundangan sebelum mengheret RoS ke mahkamah, kecuali parti itu dapat menampilkan bukti kerajaan PN melalui menteri KDN yang bertanggungjawab ke atas RoS, mempunyai niat jahat untuk menjejaskan parti itu.

“Bagi RoS, sekiranya mereka tidak mahu dilihat membuat keputusan berat sebelah dan dipengaruhi kerajaan PN, badan itu perlu mengeluarkan satu surat di bawah Seksyen 13 Akta Pertubuhan 1966 untuk melakukan siasatan sama ada semua perjawatan MKT UMNO mempunyai kuasa selepas 30 Jun.

“Pada masa sama, selepas surat itu dikeluarkan, RoS boleh membuat opsyen untuk menggantung UMNO sementara bagi membolehkan siasatan dijalankan,” katanya.

Sekiranya polemik RoS dan UMNO ini tidak diselesaikan segera, UMNO secara realitinya berkemungkinan besar berhadapan krisis perlembagaan parti yang mampu mengulangi peristiwa pengharaman parti itu pada tahun 1988.

“Jika siasatan RoS mendapati keputusan dibuat UMNO selepas 30 Jun tidak sah, maka semua pemimpin parti itu secara automatik dianggap hilang jawatan selepas tarikh berkenaan.

“Dengan tiada pemilihan parti dibuat selepas 1 Julai, UMNO secara teorinya boleh dibatalkan pendaftaran parti itu oleh RoS serta dianggap tidak sah, mengulangi peristiwa pengharaman parti itu pada tahun 1988.

“Segalanya bergantung kepada siasatan RoS di bawah Seksyen 13 Akta Pertubuhan 1966,” katanya.

Tidak berat sebelah

Seorang ketua bahagian UMNO sebaliknya mengendurkan sebarang spekulasi keputusan RoS berkemungkinan membuka jalan kepada parti itu untuk diharamkan buat kali kedua selepas tahun 1988.

Bagi ketua UMNO bahagian Bakri, Mohd Fuad Tukirin, isu surat RoS secara terang dan nyata tidak menyentuh usaha badan kerajaan itu untuk mengharamkan UMNO.

Namun, beliau menegaskan RoS menekankan kesilapan teknikal dibuat Setiausaha Agung UMNO yang tidak memaklumkan keputusan penangguhan pemilihan parti sebelum tamat tempoh penggal perjawatan MKT UMNO sebelum 30 Jun.

 

Mohd Fuad
Mohd Fuad

 

“Surat RoS itu tiada salah dan jelas menyatakan mereka tidak menerima surat pemakluman untuk tangguh pemilihan UMNO sebelum 30 Jun.

“Sehubungan itu, pucuk kepimpinan kena memastikan pemilihan UMNO perlu diadakan segera dengan segala keputusan MKT selepas 30 Jun sudah dianggap tidak terpakai…Insya-ALLAH kita akan pastikan UMNO tidak diharamkan,” ujarnya.

Sementara itu, penganalisis politik daripada Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Sivamurugan Pandian berpandangan RoS perlu meleraikan segera kekusutan yang wujud akibat keputusan terkini badan itu terhadap UMNO.

Jelas beliau, RoS perlu memberikan perincian dan penjelasan agar tidak mengelirukan UMNO dan ahli-ahli parti itu, lebih-lebih lagi keputusan badan itu mampu memberi kesan besar terhadap beberapa keputusan penting dibuat parti itu selepas 30 Jun lalu.

“Penjelasan RoS amat penting supaya badan itu tidak dilihat berat sebelah dan membuat keputusan berdasarkan pengaruh politik.

“RoS perlu mempertahankan kredibilitinya, khususnya dalam membuat keputusan berkaitan hal ehwal politik kepartian. Kalau parti lain seperti DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas dibenarkan penangguhan proses pemilihan parti pada saat krisis pandemik semakin memuncak, mengapa UMNO tidak boleh?

“Ada kemungkinan keputusan RoS itu bakal mengundang simpati rakyat Malaysia terhadap UMNO itu sendiri atas persepsi parti itu dianiaya badan itu yang dianggap menjadi alat kepada kerajaan PN,” katanya.

 

SIVAMURUGAN
SIVAMURUGAN

 

Sekiranya RoS masih bertegas dengan keputusan terkini terhadap UMNO, Sivamurugan mengakui parti itu tiada pilihan dan perlu mendapatkan nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan RoS sendiri untuk menentukan segera tarikh pemilihan parti.

“Yang pasti, pemilihan UMNO kali ini bakal menjadi proses penentuan paling mencabar dalam sejarah parti itu di antara nasib Ahmad Zahid selaku penyandang jawatan Presiden sendiri dan pesaing-pesaing beliau kelak,” katanya.

Polemik RoS-UMNO boleh bawa kepada musibah lebih besar


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Selagi isu keabsahan tak selesai, selagi itu kerajaan hilang fokus isu COVID-19

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker