Debaran ‘merdeka’ penerima dua dos vaksin

DI sebalik suhu politik negara yang kian panas, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sempat memaklumkan yang beliau dijangka memberi khabar ‘kemerdekaan’ buat penerima dua dos lengkap vaksin Covid-19.

Menurut Muhyiddin, kerajaan dalam peringkat akhir perbincangan bagi memutuskan bentuk kelonggaran yang bakal diberikan kepada individu yang telah mendapat dua dos lengkap vaksin. Mungkinkah setelah sekian lama berkurung di rumah akibat pelaksanaan pelbagai jenis Perintah Kawalan Pergerakan, rakyat akhirnya boleh menghirup nikmat ‘merdeka’?

Adakah hasrat menemui keluarga tercinta di kampung halaman akan tertunai atau bolehkah kita kembali menikmati momen makan di restoran seperti sebelum pandemik melanda?

Pekerja Restoran Capati Arau, Abu Bakar Abdullah, 47, (tengah) menghantar pesanan kepada pelanggan yang makan di restoran berkenaan di Arau pada Khamis.

Bagi Timbalan Dekan (Jaringan & Penjanaan) Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Sharifa Ezat Wan Puteh, walaupun kelonggaran diberikan kelak itu bukan bermakna ‘merdeka’ sepenuhnya untuk penerima dua dos lengkap vaksin.

Sharifa Ezat berkata, pada ketika seluruh dunia termasuk Malaysia diserang Variant of Concern (VOC) baharu seperti varian Delta tidak bermakna penerima dua dos lengkap vaksin menjadi ‘kalis Covid-19’.

Untuk rekod, setakat 5 Ogos, sejumlah 15,162,424 orang (46.4 peratus) telah menerima dos pertama sementara 7,998,831 orang (24.5 peratus) telah menerima dua dos lengkap menjadikan jumlah kumulatif pemberian dos sebanyak 23,161,255 dos.

“Beberapa negara lain turut mencadangkan kelonggaran diberi kepada penerima lengkap dua dos vaksin namun dengan varian baru seperti varian Delta di negara kita, agak sukar untuk ‘melepaskan’ mereka begitu sahaja,” ujar Sharifa Ezat kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Tegas beliau, penerima dua dos lengkap tidak boleh leka sebaliknya harus kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kesihatan walaupun diberi ‘kebebasan’ kelak.

“Kita tidak dapat menjamin penerima dua dos lengkap vaksin tidak boleh kembali dijangkiti atau tidak boleh menjadi pembawa virus.

“Vaksin yang disediakan adalah untuk strain lama seperti strain Alpha dan walaupun kajian awal menunjukkan vaksin masih efektif melawan strain Delta tetapi data negara belum ada,” katanya lagi.

Sharifa Ezat turut mengingatkan, lebih kurang dua minggu diperlukan selepas suntikan vaksin untuk mendapatkan perlindungan optima.

“Kerajaan masih perlu memantau kejadian breakthrough infections yang berlaku dalam kalangan rakyat, situasi di mana individu masih mendapat jangkitan Covid-19 walaupun setelah divaksin lengkap,” katanya lagi.

Sekiranya benar, perjalanan rentas negeri dibenarkan bagi penerima dua dos lengkap, Sharifa Ezat menyarankan ujian saringan RTK Antigen atau self test kit dilakukan sebelum memulakan perjalanan begitu juga sebelum kembali semula ke destinasi asal.

Beliau bagaimanapun tidak menolak senario keberadaan bersama-sama penerima dua dos lengkap di premis seperti masjid, pusat beli-belah, tempat kerja dan sebagainya.

Melihat daripada satu sudut lain, sekiranya benar kerajaan memberikan kelonggaran kepada penerima dua dos lengkap antaranya kebenaran merentas negeri maka ia sedikit sebanyak membantu memulihkan sektor ekonomi.

Pandangan itu turut dipersetujui, Dekan Fakulti Perniagaan dan Pengurusan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Profesor Madya Dr Ahmad Azrin Adnan yang mengakui sektor ekonomi boleh menerima impak positif susulan kelonggaran tersebut.

Menurut Ahmad Azrin, rentetan pelaksanaan PKP yang membataskan pergerakan rakyat, beberapa sektor ekonomi utama negara seperti sektor perhotelan dan pelancongan serta penerbangan terjejas teruk.

“Sekiranya kelonggaran diberikan, sudah tentu ia memulihkan bilangan urusniaga contohnya dalam industri berkaitan penerbangan, pelancongan, perhotelan serta keseluruhan rantaiannya,” ujar Ahmad Azrin kepada Sinar Harian.

Jelas beliau, perbelanjaan rakyat atau pengguna merupakan sumber penggerak utama aktiviti ekonomi.

“Sekiranya pengguna tidak berbelanja maka aktiviti ekonomi tidak bergerak sekali gus merencatkan pertumbuhannya.

“Katakan kerajaan melonggarkan SOP sedia ada khususnya untuk penerima dua dos lengkap vaksin tetapi mereka enggan menginap di hotel atas alasan bimbang terdedah kepada varian Delta misalnya, maka kelonggaran SOP ini tidak mampu meningkatkan permintaan,” katanya lagi.

Ujar Ahmad Azrin, usul memberi kelonggaran kepada penerima dua dos lengkap adalah untuk memastikan survival ekonomi tanpa memberi lebih mudarat kepada survival kesihatan awam.

“Mereka yang telah lengkap dua dos patut diberi kelonggaran untuk meneruskan aktiviti seperti biasa dengan pematuhan SOP.

“Ini yang berlaku di negara Eropah di mana peratus vaksinisasi melebihi 80 peratus,” katanya sambil menegaskan solusi paling tepat adalah meningkatkan proses vaksinasi dan bukannya memikirkan apa lagi bentuk kelonggaran yang boleh diberikan.

 


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Adakah Zahid hilang kawalan ke atas Umno?

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker