Adakah Muafakat Nasional telah terkubur tanpa nisan?

Sebaran :

 

Adakah Muafakat Nasional telah terkubur tanpa nisan? PIAGAM Muafakat Nasional yang dimeterai oleh dua parti Melayu Islam terbesar negara, UMNO dan Pas pada 14 September 2019, kini telah memasuki usia 22 bulan.

Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) telah menjadi saksi dua parti yang telah berseteru sejak 1977, bergabung atas nama Muafakat Nasional yang membawa agenda penyatuan ummah bagi mensejahterakan Malaysia.

Dalam sejarah perjuangan orang Melayu, terdapat tiga perhimpunan paling besar iaitu perhimpunan menentang Malayan Union (1946), perhimpunan menyambut kemerdekaan (1957) dan perhimpunan menentang ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD) (2018).

Daripada tiga perhimpunan itu, Himpunan Bantah ICERD pada 18 Disember 2018 telah menjadi langkah pertama pembentukan Muafakat Nasional melalui Piagam Muafakat Nasional yang ditandatangani Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Zahid turut membuat pengumuman penarikan sokongan terhadap Muhyiddin lebih awal pada Selasa.

Abdul Hadi menegaskan, penyatuan itu juga memperlihatkan titik persamaan UMNO dan Pas telah berjaya meletakkan asas penting dalam Perlembagaan Malaysia iaitu kedudukan Islam, hak agama lain, hak bumiputera, bahasa kebangsaan, hak bermasyarakat majmuk dan lain-lain.

Pembentukan Muafakat Nasional menyaksikan timbulnya perhimpunan-perhimpunan lain yang berkisarkan Melayu-Islam antaranya seperti Kongres Maruah Melayu pada 6 Okotober 2019 yang dihadiri oleh pelbagai tokoh politik negara antaranya Tun Dr Mahathir Mohamad yang merupakan Perdana Menteri ketika itu.

Kemuncak Muafakat Nasional juga menyaksikan tujuh daripada 12 pilihan raya kecil yang diadakan sejak 2018 hingga 2020 dimenangi oleh Barisan Nasional (BN) yang telah mendapat restu dari Pas.

Bagaimanapun selepas 22 bulan terbentuknya Muafakan Nasional, gabungan itu dilihat berada dalam keadaan retak menanti belah.

Ini kerana UMNO yang turut bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas dalam Perikatan Nasional (PN) iaitu kerajaan yang mengambil alih tampuk pemerintahan negara dari Perikatan Harapan pada 1 Mac 2020, telah menarik sokongan terhadap kerajaan dan Perdana Menteri.

Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 3 Ogos sebulat suara menarik sokongan kepada kerajaan PN dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO memilih untuk mengambil pendirian berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah dan tidak akan mempertahankan kerajaan PN yang didakwa gagal di mata rakyat selaras Fasal 3.3 Perlembagaan UMNO.

Keputusan UMNO itu juga menjadi tanda tanya apakah hala tuju Muafakat Nasional walaupun gagasan itu meletakkan hasrat utama Piagam Muafakat Nasional yang digariskan iaitu berkaitan akidah, keimanan dan keikhlasan, agenda besar, jaminan permuafakatan, elakkan pergeseran, tonggak kepimpinan serta kekal selama-lamanya.

Biarpun begitu, Pas percaya kerjasamanya dengan UMNO menerusi Muafakat Nasional mampu diselamatkan demi kepentingan ummah meskipun tindakan UMNO menarik sokongan terhadap Kerajaan PN merumitkan hubungan itu.

Malah, mesyuarat atau muzakarah Majlis Syura bersama Jawatankuasa Pas pada Rabu telah memutuskan bahawa parti itu akan bersama UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Cuma bagaimana dengan pendirian UMNO sendiri? Adakah Muafakat Nasional kini telah terkubur? Jika telah terkubur dimanakah batu nisannya?

Berikut merupakan kronologi awal pembentukan Muafakat Nasional sehingga ke hari ini.

1. Perhimpunan Himpunan Bantah ICERD

Perhimpunan menentang ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD) pada 8 Disember 2018 menjadi detik bermulanya pembentukan Muafakat Nasional (MN), gabungan dua parti Melayu terbesar iaitu UMNO dan Pas.

 

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut menyertai perhimpunan menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Me­ngenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di Dataran Merdeka pada 8 Disember 2018.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut menyertai perhimpunan menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Me­ngenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di Dataran Merdeka pada 8 Disember 2018.

 

Perhimpunan di ibu negara itu dihadiri ribuan peserta yang menyaksikan Dataran Merdeka bertukar menjadi ‘putih’.

2. Muafakat Nasional

Selepas perseteruan panjang antara UMNO dan Pas sejak 1977, pada tanggal 14 September 2019 menyaksikan terbentuknya gagasan kerjasama dua parti itu yang dinamakan Muafakat Nasional.

 

UMNO dan Pas memeterai Piagam Muafakat Nasional pada 14 September 2019.
UMNO dan Pas memeterai Piagam Muafakat Nasional pada 14 September 2019.

 

Gagasan ini telah dicetuskan hasil daripada Piagam Muafakat Nasional yang dimeteraikan antara dua parti politik Melayu Islam terbesar itu.

Piagam berkenaan ditandatangani Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur

Hasrat utama Piagam Muafakat Nasional yang digariskan adalah berkaitan akidah, keimanan dan keikhlasan, agenda besar, jaminan permuafakatan, elakkan pergeseran, tonggak kepimpinan serta kekal selama-lamanya.

3. Kongres Maruah Melayu

Kurang sebulan selepas termeterainya Muafakat Nasional, satu perhimpunan Kongres Maruah Melayu diadakan pada 6 Oktober 2019 di Stadium Malawati, Shah Alam.

Kongres ini dihadiri oleh beberapa tokoh terkemuka negara antaranya Tun Dr Mahathir Mohamad yang merupakan Perdana Menteri ketika itu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan ahli politik daripada parti UMNO, PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

 

Kongres Maruah Melayu yang diadakan pada 6 Oktober 2019 di Stadium Malawati, Shah Alam berjaya mengumpulkan tokoh tokoh politik negara antaranya Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalan Presiden PKR ketika itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan pemimpin UMNO seperti Tan Sri Annuar Musa.
Kongres Maruah Melayu yang diadakan pada 6 Oktober 2019 di Stadium Malawati, Shah Alam berjaya mengumpulkan tokoh tokoh politik negara antaranya Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalan Presiden PKR ketika itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan pemimpin UMNO seperti Tan Sri Annuar Musa.

 

Dr Mahathir menegaskan, perhimpunan mengumpulkan orang Melayu itu bukan bermotif politik walaupun dihadiri ramai pemimpin politik.

Sebaliknya beliau berkata, kongres itu turut menghimpunkan pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan organisasi mewakili orang Melayu untuk bersama-sama memulihkan maruah dan semangat bangsa berkenaan.

4. Pencapaian Muafakat Nasional dalam pilihan raya kecil

Selepas kejatuhan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018, sebanyak 12 pilihan raya kecil (PRK) telah diadakan.

Empat PRK yang diadakan pada tahun 2018 iaitu di DUN Sungai Kandis, DUN Seri Setia, DUN Balakong dan Parlimen Port Dickson menyaksikan Pakatan Harapan (PH) mengekalkan kemenangan yang mereka perolehi semasa PRU14 lalu.

Bagaimanapun kesepakatan UMNO dan Pas pada tahun 2019 sehingga terbentuknya Muafakat Nasional menyaksikan tujuh daripada lapan PRK dimenangi oleh wakil Barisan Nasional (BN) yang turut mendapat restu daripada Pas.

Pada 2019, Parlimen Cameron Highlands, DUN Semenyeh, DUN Rantau dan Parlimen Tanjung Piai dimenangi oleh BN manakala, Parlimen Sandakan dimenangi oleh PH.

Pada 2020, tiga PRK yang diadakan dimenangi oleh BN iaitu di Parlimen Kimanis, DUN Chini dan DUN Slim River.

5. Langkah Sheraton

Langkah Sheraton pada 23 Februari 2020 merupakan langkah awal yang telah mengubah lanskap politik negara dan buat pertama kalinya di dalam sejarah Malaysia.

Polemik peralihan kerajaan melalui Langkah Sheraton menyaksikan tumbangnya Pakatan Harapan selepas 22 bulan memerintah.

 

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin antara pemimpin yang hadir ketika Langkah Sheraton diadakan.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin antara pemimpin yang hadir ketika Langkah Sheraton diadakan.

 

Langkah Sheraton ini juga memperlihatkan terbentuknya konfigurasi pakatan politik baharu dipanggil Perikatan Nasional pada 1 Mac lalu yang menggabungkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan UMNO.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin kemudiannya diangkat sebagai Perdana Menteri ke lapan Malaysia.

6. Pergolakan dalam Perikatan Nasional

Pembentukan Perikatan Nasional (PN) yang berusia setahun lebih telah melalui pelbagai liku dan rintangan.

PN telah berdepan dengan krisis kepercayaan parti gabungan iaitu daripada UMNO, krisis ekonomi dan krisis kesihatan.

UMNO merasakan dirinya diperguna Bersatu sehingga pada kemuncaknya 3 Ogos lalu, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebulat suara menarik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tindakan itu menyaksikan dua menteri dari UMNO telah meletak jawatan.

Muhyiddin bagaimanapun menjelaskan beliau masih mendapat sokongan majoriti dan akan membuat undi percaya di Parlimen pada September nanti.

7. Pas zahir kekecewaan

Selepas 22 bulan atau hampir dua tahun penubuhan Muafakat Nasional, Pas akhirnya melahirkan rasa dukacita dengan tindakan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mengarahkan ahli Parlimen UMNO menarik diri daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man melalui kenyataan medianya pada 5 Ogos berkata, tindakan UMNO itu tidak selari dengan semangat penyatuan ummah seperti yang termaktub dalam Piagam Muafakat Nasional (MN).

Walau bagaimanapun, Tuan Ibrahim kekal yakin dengan asas penubuhan MN yang bermatlamatkan kesatuan ummah.

Adakah Muafakat Nasional telah terkubur tanpa nisan?


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Adakah Zahid hilang kawalan ke atas Umno?


Sebaran :

Leave a Reply