Ahmad Maslan bidas MP UMNO, jawab sahaja surat

Ahli-ahli Parlimen UMNO tidak sewajarnya mempertikaikan surat yang dihantar kepada mereka, sebaliknya perlu patuh kepada etika dan perlembagaan parti yang telah termaktub.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menegaskan, surat tersebut tidak bertentangan dengan peraturan parti kerana ianya menggunakan kepala surat UMNO dan bukan surat peribadi daripada beliau.

Katanya, tindakan ahli Parlimen yang hanya bersedia memberikan jawapan kepada Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) adalah tidak tepat kerana mereka bertanding mewakili UMNO sebagai komponen BN.



Menurut Ahmad, sebagai Setiausaha Agung, beliau hanya menjalankan tugas yang diberikan oleh parti dan seharusnya mereka faham peranan yang dilakukan itu.

“Surat-surat tersebut dihantar kepada ahli Parlimen yang mewakili UMNO dan seharusnya tidak bijak jika mereka mengaitkannya dengan Dewan Tertinggi BN, kerana saya bukan Setiausaha Agung BN,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Serbaguna Benut, di sini hari ini.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian menyatakan demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang enggan menjawab surat yang dihantar oleh beliau selaku Setiausaha Agung UMNO.



Menurut Mohamed Nazri, beliau mengesahkan telah menerima surat dari Setiausaha Agung UMNO menerusi WhatsApp tetapi tidak akan menjawab kerana tidak melakukan kesalahan.

Manakala Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim tidak akan memberi respons daripada surat yang dikeluarkan UMNO untuk menyatakan pendirian sama ada akur keputusan parti atau sebaliknya.

UMNO telah menghantar surat kepada semua ahli Parlimennya agar menyatakan pendirian mereka secara bertulis sebelum 7 Ogos ini.

Menerusi borang itu, kesemua ahli Parlimen UMNO diminta menyatakan pendirian sama ada tidak menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan meletak jawatan atau menyokong PN dan tidak akan meletak jawatan.



Sementara itu, Ahmad berkata, memandangkan surat tersebut mempunyai kerahsiaan parti, ahli-ahli Parlimen seharusnya faham dan tidak mempertikaikan serta menjawab kepada pihak yang sepatutnya.

“Surat tersebut dihantar kepada ahli-ahli Parlimen dari UMNO sahaja dan tidak kepada ahli Parlimen BN, maka jawablah berdasarkan kepada permintaan bukan mengalihkannya kepada isu lain,” tegasnya


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU




Pertembungan ‘2 kem’ UMNO, kemana kesudahannya?

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker